Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad telah merasmikan Bazar Buku Perak 2024, semalam.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyatakan buku sangat istimewa bagi pencinta sastera, bahkan melalui Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), jumlah buku dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat pada tahun 2022 – 2023. Ujar beliau;
“ Jika pada tahun 2005, sebanyak dua naskhah buku dibaca setahun oleh rakyat Malaysia, kini melalui kajian itu, sebanyak 24 naskhah buku setahun yang dibaca oleh rakyat Malaysia bagi tahun 2022 – 2023.”
Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik ini menunjukkan bahawa usaha memupuk masyarakat Malaysia membaca semakin membuahkan hasil tetapi usaha itu perlu dipertingkatkan selalu.
“Pembacaan merupakan kunci kepada pembendaharaan ilmu, melalui pembacaan, masyarakat bukan sahaja dapat mengumpul maklumat dan pengetahuan tetapi dapat mengasah kemahiran kritikal, mempertajam kebolehan untuk menilai, menganalisis dan menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan”
“Membaca membuka tingkap kepada dunia yang luas, memperkaya minda dengan idea baharu dan memupuk pemikiran yang lebih terbuka dan inovatif.” Tegas beliau sebelum mengakhiri ucapan perasmian.
Terdahulu, Bazar Buku Perak 2024 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mengangkat tema “Perak Membaca, Rakyat Sejahtera” telah diadakan di Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak dari 1 hingga 4 April 2024.
Pada tahun ini sebanyak 69 pempamer telah menyertai program kali ini dan sepanjang Bazar Buku Perak 2024, sebanyak 24 aktiviti telah diaturkan di pentas utama.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengambil peluang dengan mengadakan Forum Telefilem Capa Rengat Gulai Rawo di atas pentas utama yang akan menampilkan Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Baharuddin Kahar dan Wan Afzam Wan Daud sebagai ahli panel pada 2 Ogos 2024.