Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKlang – Debaran deklamator yang bakal menjadi johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan (SDPK) Ke-38 bakal terjawab pada 29 Ogos ini.
17 juara dari negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berentap dalam pusingan akhir merebut Piala Pusingan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri SDPK di Dewan 1 & 2, Hotel Wyndham Acmar, Klang.
Menurut pengarah SDPK, iaitu Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, pemenang SDPK ke-38 2024 akan diumumkan semasa Majlis Makan Malam dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari.
Johan SDPK akan menerima hadiah wang tunai RM5000.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan, disusuli dengan naib johan akan menerima wang tunai RM3000.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan serta pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM2,000.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan.
Selain itu, hadiah penghargaan untuk tempat keempat hingga ke-10 juga bakal menerima wang tunai RM500.00, hadiah iringan dan watikah penghargaan, manakala sagu hati menerima wang tunai RM300.00, cenderamata dan watikah penghargaan.
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad juga menyatakan tiga johan SDPK peringkat Kebangsaan, iaitu Ahmad Noor Sulaiman (Johan 1989), Ahmad ‘Asri Khalbi (Johan 1994) dan Intan Marhayu Rahman (Johan 2004) akan ditampilkan untuk membuat persembahan khas semasa Majlis Makan Malam kelak.
Beliau juga menambah antara objektif SDPK adalah untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara serta menanamkan semangat cinta akan negara dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
Terdahulu, SDPK ke-38 ini telah dianjurkan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor
Pada peringkat saringan, seramai 500 orang telah menyertai sayembara yang diadakan di seluruh negeri, peringkat ATM dan peringkat PDRM bagi menempatkan diri ke peringkat kebangsaan.
Sajak-sajak yang dideklamasikan dipilih daripada Antologi Puisi Kemerdekaan: Ke Sarang Cenderawasih terbitan GAPENA pada tahun 2023.
SDPK ke-38 boleh ditonton secara langsung melalui pelantar media sosial DBP.