Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari memuji usaha yang ditunjukkan oleh Management & Science University (MSU) dalam usaha menjulang bahasa dan sastera ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau menyatakan ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Puisi Nusantara yang berlangsung di Dewan Canselor MSU, Shah Alam, semalam.
Dalam ucapannya, Dr. Hazami Jahari berterima kasih kepada pihak MSU yang menyambut tangan mencitrakan perkembangan sastera tanah air, terutama dalam konteks puisi.
Ujarnya, “Penganjuran aktiviti sebegini adalah bukti MSU membenahi setiap hasrat kerajaan, iaitu pembinaan sahsiah dan jati diri melalui bahasa dan sastera
“Melalui pengucapan puisi yang sifatnya akrab dengan perasaan, fikiran, kreativiti, dan penguasaan bahasa tahap tinggi dapat menjayakan hasrat tersebut.”
Selain itu, kerjasama DBP dan MSU dalam bidang penyelidikan mahupun program pada masa hadapan turut boleh dimeterai dalam mengukuhkan sinergi menyokong institusi pendidikan swasta dalam pemerkasaan bahasa Melayu.
“MSU mempunyai pelajar antarabangsa dari 67 negara dan hal ini merupakan peluang terbaik untuk memartabatkan bahasa Melayu menerusi program kerjasama dengan DBP,” tambah beliau sebelum mengakhiri ucapan.
Terdahulu, Majlis Apresiasi Puisi Nusantara dengan tema “MSU Jiwa Merdeka” telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid, presiden dan pengasas MSU.
Beberapa tokoh tanah air dalam pelbagai bidang turut tampil memeriahkan pentas, termasuk Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Raja Penyair Nusantara, Roslan Madun dan penyanyi, Zaki Yamani.
Kredit Foto: Adib Zulkifli