Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 06:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Acara Tiba-tiba, Puisi! akan dianjurkan oleh Super Kinties & Friends di lokasi yang mesra pengunjung, iaitu Pasar Besar Ipoh pada 26 Julai 2025, pukul 12.00 tengah hari.

Para pengunjung terutamanya peminat puisi akan dapat menyaksikan persembahan puisi yang unik dalam acara tersebut dengan berjalan ke aras-aras yang berbeza sambil menikmati persembahan oleh sembilan orang pemuisi.

Pengelola utama acara, Puan Herinza Syadza berkata, pemuisi yang terlibat terdiri daripada pemuisi pemula dan pemuisi yang sudah berpengalaman dalam mendeklamasi dan menulis puisi.

Barisan pemuisi yang akan membuat persembahan termasuklah Azmi Ismail (Sifu Azmi); Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2012, Abdul Aziz Ali; Aliff Awan; Faiz Hanip; Hanif Nour; Haqim Ankeni; Jasad Bersiong; Petak Daud; dan Wan Syafiqah.

“Acara dimulakan di Aras C (Medan Selera), seterusnya ke Aras A (bahagian ikan) dan di beberapa ruang berbeza di Aras B dan Aras C.

“Sifu Azmi akan melengkapkan ‘perjalanan’ dan konsep persembahan acara Tiba-tiba, Puisi! di ruang acara Zine Fest (Kinta Zine Club),” jelasnya lagi.

Orang ramai yang berminat untuk menghadiri acara Tiba-tiba, Puisi! boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan.

Kredit Foto: Herinza Syadza
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi