Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Bagi pencinta sastera, buku sering dihargai sebagai karya seni dan bukan hanya atas kandungannya atau sekadar bahan bacaan sahaja.
Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, menyatakan hal tersebut dalam ucapan perasmiannya bagi Bazar Buku Perak 2024 di Ipoh Convention Centre (ICC) pada 1 Ogos 2024.
Dato’ Seri Saarani turut menyatakan melalui Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), jumlah bacaan buku dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat pada tahun 2022 – 2023.
“Jika pada tahun 2005, sebanyak dua naskhah buku dibaca setahun oleh rakyat Malaysia, kini melalui kajian itu, sebanyak 24 naskhah buku setahun yang dibaca oleh rakyat Malaysia bagi tahun 2022 – 2023,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik ini menunjukkan bahawa usaha memupuk masyarakat Malaysia untuk membaca semakin membuahkan hasil tetapi usaha itu perlu dipertingkatkan lagi agar amalan membaca terus dipupuk.
“Melalui pembacaan, masyarakat bukan sahaja dapat mengumpul maklumat dan pengetahuan tetapi dapat mengasah kemahiran kritikal, mempertajam kebolehan untuk menilai, menganalisis dan menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.
“Membaca membuka tingkap kepada dunia yang luas, memperkaya minda dengan idea baharu dan memupuk pemikiran yang lebih terbuka dan inovatif,” tambah beliau.
Bazar Buku Perak 2024 dengan tema “Perak Membaca, Rakyat Sejahtera” diadakan dari 1 hingga 4 April 2024.
Sebanyak 70 pempamer, termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyertai bazar ini kali ini.
Majlis Perasmian Bazar Buku Perak 2024 yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut dihadiri oleh YAB Encik Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Sepanjang Bazar Buku Perak 2024, sebanyak 24 aktiviti telah diaturkan di pentas utama.
DBP mengambil peluang ini dengan mengadakan Forum Telefilem Capa Rengat Gulai Rawo di pentas utama yang menampilkan Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Baharuddin Kahar dan Wan Afzam Wan Daud sebagai ahli panel pada 2 Ogos 2024.
Kredit Foto: Hafizul Osman