Oleh Suyuthi Yusuf
23 September 2023, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Hadiah dan Apresiasi Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia Ke-4 Peringkat Kebangsaan dan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Malaysia Sektor Korporat UMW 2023 telah berlangsung dengan jayanya di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam tadi.

Majlis tersebut bertambah serinya apabila disempurnakan oleh YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan.

Sayembara yang telah diadakan tersebut merupakan hasil program kerjasama antara DBP dengan UMW Holdings Berhad dan Persatuan PEMUISI.

YBhg. Dato’ Seri Ahmad Fuaad Kenali, iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif menyampaikan ucapan alu-aluan sewaktu majlis diadakan di Balai Budaya DBP, semalam.

YBhg. Dato’ Seri Ahmad Fuaad Kenali, iaitu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dalam ucapannya menjelaskan aktiviti sebegini merupakan usaha yang julung-julung kalinya bagi kumpulan UMW Holdings Berhad berganding bahu bersama-sama rakan sinergi menjayakan program sastera. Ujar beliau;

Bukan kelaziman sesebuah syarikat yang berorientasikan perniagaan atau korporat terjun dalam lapangan sastera dan menganjurkan program sebegini.

Oleh itu, dengan adanya penganjuran program sebegini yang melibatkan sektor korporat diharapkan dapat merancakkan lagi apresiasi masyarakat terhadap sastera, khususnya puisi.

Dalam majlis tersebut, untuk kategori Puisi Hari Malaysia Sektor Korporat Kumpulan UMW Holdings telah dimenangi oleh Anas Muhammad Farihin dari Maybank Islamik. Beliau membawa pulang RM 2000.00, piala pusingan R.Hamkama dah hadiah iringan.

Tengku Temenggong Kelantan menyampaikan hadiah kepada Anas Muhammad Farihin dari Maybank Islamik, pemenang kategori Puisi Hari Malaysia Sektor Korporat Kumpulan UMW Holdings.

Manakala, bagi kategori Puisi Artistik Hari Malaysia Ke-4 pula menjadi milik peserta yang mewakili negeri Sabah, Muhammad Norazizi Samsudain. Beliau membawa pulang RM 2000.00, piala pusingan Seri PEMUISI dan hadiah iringan.

Muhammad Norazizi Samsudain, wakil negeri Sabah yang menjuarai kategori Puisi Artistik Hari Malaysia Ke-4 menerima piala kemenangan daripada Tengku Temenggong Kelantan.

Turut hadir dalam majlis yang sama ialah YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara, Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara Dato’ Zurinah Hassan, dan YBhg. Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI.

Datuk Ramli Sarip.

Selain itu, majlis tersebut juga dimeriahkan dengan nyanyian lagu oleh Datuk Ramli Sarip.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.