Diterbitkan pada 27 April 2026, 14:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puisi terapi merupakan penggunaan bahasa, simbol, cerita, dan penulisan kreatif sebagai alat terapeutik untuk pendidikan, pertumbuhan diri serta merawat emosi atau duka.

Pendekatan ini berfungsi sebagai wahana merawat jiwa dengan membantu menyulam rasa dan mengurus duka. Melalui kaedah tersebut, pelepasan emosi menjadi saluran untuk meluahkan perasaan terpendam, khususnya bagi individu yang pemalu atau sukar berkomunikasi secara langsung.

Demikian dikongsikan oleh Sasterawan Negara (SN) ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari dalam Program Puisi Terapi: Menyulam Rasa, Merawat Duka, anjuran Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sudut Karyawan (Stor Teater), Wisma DBP pada 25 April 2026 lalu.

Menurut beliau yang juga Presiden PENYAIR, puisi merupakan antara kaedah terapi jiwa yang berkesan. Katanya, setiap individu cenderung melakukan sesuatu yang diminati dengan penuh kerelaan dan kegembiraan tanpa terlalu memikirkan tekanan atau tanggapan negatif.

“Begitu juga dengan penulis yang berkarya sepenuh jiwa hingga siap tanpa menghiraukan cabaran yang timbul. Saya sendiri berasa gembira ketika berkarya dan bersungguh-sungguh menyiapkannya. Rasa seronok itu ialah terapi,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kesedaran terhadap fungsi puisi sebagai terapi mendorongnya untuk terus berkarya sehingga diiktiraf sebagai SN pada tahun 2022.

Mengulas lanjut, beliau mengambil contoh sajaknya berjudul “Sengsara” yang mencerminkan pengalaman menghadapi kesukaran hidup. Menurutnya, kesengsaraan tidak wajar dielakkan, sebaliknya perlu dihadapi dengan kekuatan diri.

“Saya mengambil keputusan untuk ‘berkawan’ dengan kesengsaraan. Dengan cara itu, tekanan dapat dikawal dan tidak lagi dirasakan sebagai beban,” katanya.

Sebelum itu, mantan penyiar Radio Televisyen Malaysia, Zazmie Mohd. Zain turut mendendangkan lagu puisi Sengsara yang diangkat daripada karya tersebut.

Selain itu, puisi terapi juga berperanan merangsang deria dan pemikiran manusia, sekali gus mempengaruhi tingkah laku ke arah lebih positif serta membina kekuatan dalaman. Pendekatan ini turut dimanfaatkan dalam kalangan pengamal perubatan bagi memupuk kesabaran dan ketabahan.

Program Puisi Terapi: Menyulam Rasa, Merawat Duka dirasmikan oleh Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar.

Turut hadir termasuklah SN ke-13, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan; penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2000, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md. Yunus; pelakon terkenal tempatan, Zaidi Omar, pelakon terkenal; dan Pengasas Pertubuhan Teater Hidayah, Kamarul AR.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi