Oleh Rasoul Manan
9 Mei 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keterujaan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyaksikan persembahan Malam Langkahan Wira terpamer di wajahnya sepanjang program berlangsung.

Program tersebut merupakan anjuran Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dan Dewan Bahasa dan Pustaka yang menggabungkan persembahan berkonsepkan puisi teaterikal, iaitu elemen lakonan, gerak tari, puisi, muzik, dan latar di Balai Budaya Tun Syed Nasir, semalam.

Beliau kelihatan gembira dan sesekali menggerakkan bibir apabila turut menyanyikan lagu yang didendangkan oleh kumpulan Kopratasa di penghujung persembahan.

Persembahan selama dua jam tersebut dijayakan dengan penuh bersemangat dan lebih menarik apabila Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek dan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga turut mendeklamasikan sebuah puisi.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim terpaku melihat persembahan yang disajikan oleh barisan penyair di Balai Budaya, semalam. Turut kelihatan, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (kiri),  YB Fadhlina Sidek, dan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.

“Surat daripada Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang menjadi puisi pilihan YB Fadhlina Sidek.  Dalam perkongsian di Facebook miliknya, beliau berkata acara yang diadakan semalam cukup bermakna apabila dihadiri seorang figura yang memang mencintai bahasa dan sastera.

“Saya tahu benar bahawa YAB Perdana Menteri sendiri merupakan salah seorang aktor dalam perjuangan memartabatkan khazanah bangsa ini sejak zaman belianya.

“Ekspresi rasa yang termuat dalam setiap persembahan, ditekuni dengan penuh minat,”  coret YB Fadhlina dalam Facebook.

Pengerusi Lembaga Pengelola SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan juga menjayakan program dengan membaca sebuah puisi, “Bagaimana Ku Kenal Bahasaku” karya beliau sendiri. SN Dato’ Rahman Shaari turut mendeklamasikan sebuah puisi “Langkahan Wira” ciptaan beliau sendiri.

Sebelum itu, Sekolah Seni Kuala Lumpur membuka pentas dengan penuh simbolik apabila mengusung Keranda 152 sebagai pembukaan dan tuan rumah, Ketua Pengarah DBP YBrs. Dr. Hazami Jahari membuka panggung dengan mengaplikasikan teknik teromba dengan gayanya yang tersendiri.

Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP membuka panggung dengan membaca puisi melalui teknik teromba di Balai Budaya, semalam.
Sekolah Seni Kuala Lumpur membawa Keranda 152 yang menjadi sejarah perjuangan bahasa tanah air.

Langkahan Wira merupakan kisah pejuang yang memperjuangkan keadilan sebelum merdeka. Terdapat tiga segmen yang disajikan, iaitu segmen 1 (Malaysia sebelum merdeka), segmen 2 (Malaysia selepas merdeka) dan deklamasi puisi tamu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.