16 Mei 2024, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sempena Hari Guru, Raja Yusoff Ariffin melaporkan kemumculan sebuah filem adaptasi baharu karya novelis terkenal Allahyarham Azizi Haji Abdullah, Memoir Seorang Guru. Filem ini akan ditayangkan di seluruh negara pada 30 Mei 2024.

Kisah ini mengangkat nilai kasih sayang, mengenang budi, kejayaan, kegagalan, dan penyesalan. Kisahnya begitu dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah bergelar guru dan anak murid.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award (Malaysia) 1988, Azizi Haji Abdullah meninggal dunia pada 21 Ogos 2011 ketika berusia 69 tahun.

Selain menulis cerpen semasa hayatnya, Allahyarham turut menghasilkan novel, malah lebih dikenali sebagai novelis. Sejak tahun 1968 hingga 2011, Azizi telah menghasilkan sejumlah 38 buah novel, termasuk yang sangat popular, iaitu Seorang Tua di Kaki Gunung (1982) yang diulang cetak beberapa kali dan turut diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun (2010) dan bahasa Inggeris (2019).

Novel karya Allahyarham Azizi termasuklah Garis Lintang Anak Haram (1968), Senja Belum Berakhir (1971), Bila Hujan Malam (1976), Sami Mekong (1976), Tini (1977), Ayah Bonda (1978), Di Kolam Mulhamah (1978), Gadis Itu Bernama Ina (1978), Debu Takdir (1982), Dee (1987, novel tasawuf), Melukut Kota (1987), Asyraq (1987), Juak (1989), Yang Merusuh (1991), Tukcai (1991), Menebus Maruah (1991), Beruk (1991), Anak Kampung Kuala Raga (1991), Anak Belantara Tropika (1992), Cahaya di Pedalaman (1992), Dunia Bukan Syurga (1993), Sinappapal (1993), Suriati (1993), Kugapai Cintamu Suriati (2003), Hoi! (1994), Wi & Wiliam (1995), Buih (1995), Ateik Putriba (1996), Ayahanda (1997, novel biografi), Pencinta Alam (1998), Pencinta Alam (1998), Kawin-kawin (2002), Sangeetha (2006), Harga Sebuah Maruah (2007), Memoir Seorang Guru (2008), Zikir Rindu (2009), Daerah Beta (2009), Badai Cinta (2011), dan Mandala Dunia Kedua (2011).

Selepas Seorang Tua di Kaki Gunung dan Ayahanda yang pernah diadaptasikan kepada drama televisyen (masing-masing pada tahun 2010 dan 2021), kini Memoir Seorang Guru pula diangkat ke layar lebar.

Setebal 299 halaman, penceritaan novel terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. ini sangat berkesan dalam menyampaikan peranan seorang guru melahirkan insan yang berguna.

Pertama kali diterbitkan pada 1 Januari 2008, Memoir Seorang Guru bukan hanya menarik perhatian ramai, malah pernah menjadi bahan sastera pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama dahulu.

Penceritaan novel ini disusun dengan begitu baik sehingga pembaca tidak terkeliru dengan latar masa yang dipaparkan. Azizi menggunakan teknik imbasan yang begitu berkesan untuk menceritakan pengalaman seorang ustaz yang mendidik setiap anak muridnya yang berbeza.

Datuk Rosyam Nor sebagai Cikgu Sunan yang berkonflik dengan anak muridnya.

Hakikat ini mendorong produksi Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dan Kamalariff Holdings Sdn. Bhd. mengadaptasikannya ke layar lebar.

Menurut penerbitnya, Datuk Arisz Ab. Rahman, Memoir Seorang Guru bukan hanya cerita tentang hubungan anak murid dengan guru semata-mata, sebaliknya padat dengan mesej positif.

“Kisah ini mengangkat nilai kasih sayang, mengenang budi, kejayaan, kegagalan, dan penyesalan. Kisahnya begitu dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah bergelar guru dan anak murid,” ujar Datuk Arisz.

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang guru agama dari bandar, iaitu Ustaz Sunan yang ditukarkan ke sebuah sekolah di pedalaman, lalu diberi tanggungjawab untuk mengajar kelas yang paling corot.

Ustaz Sunan cukup keras melarang anak gadisnya, Kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya, bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan, dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua kerana dia tidak mahu Kamariah mengikuti apa-apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.

Kejadian Mat yang tercucuk selumbar kayu sehingga ditembak mati oleh ayahnya sendiri akibat tidak mahu Mat terseksa menanggung kesakitan, menyebabkan Ustaz Sunan menganggap penduduk kampung sebagai masyarakat yang tidak celik dan mundur, sehingga dia tidak ingin bertanggungjawab dalam kalangan penduduk kampung.

Pembaca kemudian dibawa menghayati kebencian Ustaz Sunan kepada anak-anak muridnya yang ada pelbagai ragam dan kisah yang mengundang simpati. Antaranya termasuk kisah Sakinah yang juling, Mihad yang suka menangkap katak untuk dijadikan umpan haruan, Alias yang tercedera telinganya akibat ditampar oleh Ustaz Sunan, serta Mohd. Dhuha yang rajin mengerjakan solat sunat duha.

Saya mengusulkan nama Rosyam sebagai watak utama kerana melihat kriteria watak ‘Cikgu Sunan’ amat sebati dalam dirinya.

Oleh sebab Azizi sendiri merupakan mantan guru agama sekolah, pastinya pengalaman Allahyarham mengajar banyak hal dalam hidupnya, lalu mempengaruhi pelbagai kisah dalam karya karangannya.

Termasuklah Memoir Seorang Guru.

Filem arahan Kyoll Hamzah dengan judul serupa judul novelnya akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 30 Mei ini.

“Istimewanya, Datuk Rosyam Nor diberi peranan utama sebagai Cikgu Sunan, bersama-sama barisan pelakon kanak-kanak, serta pelakon popular lain, seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan, dan Trisha Ooi,” ujar Arisz.

Lebih istimewa, tambah beliau, Memoir Seorang Guru mendapat kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Setakat ini, YGMB yang mempunyai keahlian ratusan ribu daripada kalangan guru, dilihat mampu memainkan peranan dalam usaha mempromosikan filem ini ke sekolah-sekolah.

“Mereka juga boleh menyarankan kepada guru yang lain agar mengajak anak murid menonton filem ini di pawagam yang secara kebetulan ditayangkan dalam suasana semua pelajar merayakan sambutan Hari Guru 2024,” tambah.

Kyoll Hamzah pula memberitahu yang beliau bersetuju mengarahkan Memoir Seorang Guru kerana melihatnya sebagai sebuah naskhah yang menarik apabila diadaptasikan menjadi sebuah filem.

“Sebelum ini, saya banyak mengarahkan drama televisyen. Saya sendiri yang meminta penerbit untuk memilih Datuk Rosyam untuk memegang watak Cikgu Sunan. Saya mengusulkan nama Rosyam sebagai watak utama kerana melihat kriteria watak ‘Cikgu Sunan’ amat sebati dalam dirinya,” jelasnya.

Lagipun, kata Kyoll lagi, Rosyam sendiri belum pernah membawakan watak guru dalam mana-mana filem, dan pastinya hal ini amat dinantikan oleh para peminat dan penonton.

Jelas beliau lagi, pemilihan pelakon lain juga dibuat atas perbincangan bersama-sama dengan penerbit, malah mereka turut menjalankan sesi uji bakat untuk pelakon kanak-kanak apabila kelas lakonan dikendalikan oleh pelakon terkenal, Elly Suriaty.

Memoir Seorang Guru menjalani penggambaran pada bulan Disember tahun lalu di beberapa buah lokasi di Perlis, Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur. Dalam proses penggambaran, Kyoll mengakui berhadapan dengan beberapa cabaran meskipun perjalanan menghasilkan filem adaptasi ini secara umumnya tidaklah terlalu sukar.

“Antara cabaran yang ditempuhi ialah memilih lokasi yang terbaik, serta keadaan cuaca yang tidak menentu pada akhir tahun. Misalnya, apabila membabitkan pelakon kanak-kanak, kami perlu menganjurkan sesi kelas lakonan untuk mereka bagi menghayati watak masing-masing,” ujar Kyoll. Beliau sememangnya meletakkan harapan yang besar pada filem pertama arahannya ini.

Lakon layar filem ini ditulis oleh Maizura Ederis yang amat terkenal dengan filem Bisik Pada Langit (2017) dan drama adaptasi bersiri Ayahanda. Filem ini mendapat sentuhan sinematografi Madnor Kassim (Setem, Budak Kelantan, Hikayat Merong Mahawangsa, 29 Februari, Magika, dan Cinta).

Kredit Foto: Kalam Ariff/Facebook

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.