Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWeng Poh Leng menjejak kakinya ke premis khazanah simpanan ilmu Negara Brunei Darussalam. Beliau sempat membelek buku-buku di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei selama dua jam dan menemui sesuatu yang mengagumkannya.
Saya terkejut dan tergamam kerana bangunan dan lukisan pada dinding bangunannya mirip Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (bangunan DBP lama) di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Bangunan yang dibina pada tahun 1960-an dalam stail modenisme itu menarik perhatian kepada penggemar seni bina seperti saya.
Bagi sesetengah orang, sudah menjadi semacam suatu tradisi atau “senarai semakan” untuk melawat perpustakaan, muzium, arkib, dan tampat warisan kebudayaan kerana di situlah biasanya tempat penyimpanan khazanah literasi negara masing-masing. Bagi saya sendiri, tempat itu juga penunjuk tamadun dan budaya negara itu. Saya selalu menggunakan peluang mencari tempat seperti itu untuk meluaskan lagi pengalaman serta pandangan alam dalam bidang pembukuan dan penulisan.
Kali ini, saya berpeluang ke Negara Brunei Darussalam dan ibu kotanya di Bandar Sri Begawan. Saya meluangkan masa bersiar-siar dan singgah di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP Brunei). Saya terkejut dan tergamam kerana bangunan dan lukisan pada dinding bangunannya mirip Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (bangunan DBP lama) di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Bangunan yang dibina pada tahun 1960-an dalam stail modenisme itu menarik perhatian kepada penggemar seni bina seperti saya.
Negara Brunei tidak mempunyai perpustakaan negara tetapi mempunyai satu perpustakaan pusat atau central library (yang saya sempat melawat tapaknya di Jalan Elizabeth II) berserta lapan cawangan di seluruh negara. Antaranya termasuk Perpustakaan Muara, Perpustakaan Lambak Kanan, Perpustakaan Sengkurong, Perpustakaan Daerah Belait, Perpustakaan Kampung Pandan, Perpustakaan Seria, Perpustakaan Daerah Tutong, dan Perpustakaan Daerah Temburong. Selain perpustakaan yang dimaklumkan itu, sudah tentu “balai pustaka” di DBP Brunei menjadi tempat kunjungan para peminat buku dan sastera.
Negara Brunei juga mempunyai lima sudut bacaan atau reading corners, iaitu Rumah Panjang Mendaram Besar, Rumah Panjang Sibut, Rumah Panjang Amo, Rumah Panjang Lepong Baru, dan Rumah Panjang Aminah Long Mayan.
Pendaftaran di DBP Brunei mudah sahaja, staf-stafnya sangat mesra dan sedia membantu. Suasana sejuk daripada pendingin hawa mengundang para tetamu dan memberikan kelegaan daripada cuaca panas terik jam 12.00 tengah hari di luar. Beg sandang saya disimpan di dalam peti simpanan yang besar dan percuma. Saya mulalah menjelajah di setiap tingkat.
Di Bahagian Koleksi Kanak-kanak, terdapat meja dan kerusi bersaiz kecil yang sesuai bagi adik-adik kecil untuk menjalankan aktiviti rekreasi interaktif serta pembacaan bersama-sama poster yang tertampal dan dinding yang berwarna-warni dan bercorak.
Saya mara ke tingkat atas. Di situ, terletaknya susunan buku yang dihadiahkan oleh duta-duta negara antarabangsa. Terukir senyuman di balik pelitup muka apabila mata saya merenung ke arah rak khas Nukilan Malaysia yang disumbangkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Sri Begawan. Majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa turut dipamerkan untuk bacaan umum. Alangkah bangganya!
Antara buku koleksi sumbangan negara yang ada di rak pemberian termasuklah buku dan majalah dari Republik Rusia. Terdapat sebuah buku kumpulan puisi yang mempunyai hiasan khas, dari muka depan kulit hingga pada setiap muka surat. Betapa teliti dan halusnya motif hiasan itu, yang diserikan lagi dengan sentuhan puitis penyairnya, Alexander Aleksandrovich Blok (1880–1921). Buku tersebut merupakan koleksi terhad, yang hanya terdapat 250 naskhah yang dicetak di Slovenia, menggunakan gred Perak 925 atau Sterling Silver bagi logo khas di atas kulit buku tersebut. Hal ini mencerminkan betapa pentingnya sumbangan susastera Blok terhadap kesusasteraan Rusia dan juga kepentingan puisi bagi warga Rusia, walaupun pada masa kini.
Tidak kurang juga hebatnya buku-buku terbitan Malaysia yang dipamerkan di situ. Sebahagian besar buku itu amatlah popular dalam kalangan pengikut dan peminat sastera Malaysia. Contoh buku yang sempat saya sentuh dan lihat nama penulisnya termasuklah Faisal Tehrani, Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, SN Zurinah Hassan, Tan Xiao, SN A. Samad Said, Ding Choo Ming, dan Junaini Kasdan (penyelenggara).
Sempat juga saya menyelak beberapa muka surat penulis tempatan Brunei, seperti Awang Haji Markandi bin Haji Kuris atau lebih dikenali dengan nama penanya Mykandy dan Noraini Mohidin. Penulis dari Mesir, Mustafa Lufti Al Manfaluthi dengan terjemahan bukunya Sang Penyair juga ada di situ.
Atas kekangan masa, saya hanya sempat berlegar di DBP Brunei sekitar dua jam sahaja. Namun begitu, saya dapat rasakan seolah-olah saya dibawa mengembara ke seluruh dunia di dalam portal masa, di satu ruang yang kecil berisi rak buku di tingkat satu. Saya amat bersyukur kerana dapat meluangkan sedikit masa dan nostalgia kembali ke zaman persekolahan saya di DBP Kuala Lumpur, mencari bahan rujukan untuk pemahaman KOMSAS atau Komponen Sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
Jelas, saya membawa pulang:
Renungan dua jam cepat berlalu. Semuanya telah menjadi tatapan minda dan jalinan litar memori otak yang memberangsangkan. Inilah kembara buku saya di Kampung Ayer.
Kredit Foto: Weng Poh Leng
_________________________
Weng Poh Leng atau PL Weng berasal dari Kuala Lumpur dan gemar menghasilkan karya seni kreatif, mengembara bersama buku dan penulisan bertemakan dualisme serta gelotologi. Karyanya pernah tersiar dalam Eksentrika, Burning House Press dan majalah Samudera.