Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBrunei Darussalam – Kesepakatan Negara Anggota Mastera dalam melaksanakan kegiatan dan aktiviti Mastera amat penting bagi merealisasikan dan menjayakan projek sastera yang telah dirancang dan disepakati. Keputusan ini diputuskan semasa Sidang ke-28 Mastera baru-baru ini di Negara Brunei Darussalam.
YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Pengerusi Mastera Malaysia dalam ucapan pembukaan Sidang ke-28 Mastera menyatakan, “Dalam kita meneruskan perjalanan Mastera yang telah disepakati, Mastera Malaysia sentiasa menyokong dan memberi kerjasama dalam setiap program dan kegiatan Mastera yang dianjurkan oleh negara anggota Mastera.
“Walaupun ada ketikanya terdapat masalah sewaktu melaksanakan program, tetapi dengan kesepakatan kita semua ia dapat diselesaikan dengan baik.”
Perkara ini turut dipersetujui oleh Pengerusi Mastera Brunei Darussalam, Yang Mulit Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit.
Dalam ucapan pembukaan beliau menyatakan bahawa “Pelaksanaan Mastera sangat mencabar, baik dari aspek perancangan, pelaksanaan dan pengurusan, namun banyak projek kesusasteraan telah dilaksanakan dengan jayanya hasil daripada teguhnya kesepakatan bersama antara Negara Anggota Mastera.”
Tambah beliau lagi, seiring dengan perkembangan dan kemajuan dunia pada hari ini, Mastera perlu menggandakan usaha mempromosikan dan memperkenalkan semua produk Mastera di peringkat antarabangsa.
Keberhasilan ini tidak lepas daripada komitmen kerjasama di antara Negara Anggota Mastera dalam membincangkan, membahaskan dan mengesahkan rancangan usul strategik Mastera dengan teliti dan sepakat.
Keputusan ini diputuskan dengan mengambil kira kekuatan dan kekangan yang ada dalam struktur organisasi Mastera setiap Negara Anggota, sama ada tenaga kerja, tenaga pakar, dana, dan kemudahan tempat.
Sidang Mastera merupakan persidangan eksekutif yang diadakan setiap tahun di Negara Anggota Mastera mengikut pusingan giliran.
Pada tahun ini, Sidang ke-28 Mastera diadakan di Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah Mastera pada 2 – 3 Oktober 2024 bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Brunei Darussalam. Tujuan utama adalah untuk mengusul, meneliti, membahas, membincangkan, mengesahkan, dan meluluskan kegiatan dan projek yang telah diputuskan dalam sidang sebelumnya, dan projek-projek yang dibincangkan dalam Mesyuarat Sekretariat/Musyawarah Mastera.
Sidang ke-28 Mastera dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, selaku Pengerusi Peringkat Rantau dan berakhir dengan Penandatanganan Bersama Pengerusi/Ketua setiap Negara Anggota Mastera sebagai tanda persepakatan dan persetujuan bersama terhadap kegiatan dan program Mastera.
Perwakilan Mastera Malaysia dihadiri oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Puan Roziah Md Yunus, (Setiausaha), YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim bin Ali (Pakar Bidang), YBrs. Dr. Mohd Hanafi bin Ibrahim (Pakar Bidang), YBrs. Dr. Abang Patdeli bin Abang Muhi (Pakar Bidang), dan Puan Musazliza Mustan Shir (Sekretariat).