Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSingapura – Penulis dan penterjemah dwibahasa (Melayu-Inggeris), Nagaranee Moorthy dari Malaysia diumumkan sebagai salah seorang daripada empat pemenang Hadiah Terjemahan MASTERA (HTM) 2025.
Nagaranee Moorthy telah menterjemahkan cerpen “Winchester Laras Dua” karya Zainol Idris terbitan majalah Dewan Sastera Ogos 2021 ke dalam bahasa Inggeris dengan judul “Barrel and Boar”.
Sementara itu, tiga pemenang lain termasuklah Syakirah Matusin (Brunei Darussalam – karya “Thud”, karya asal “Gubrak”), Denda Rinjaya (Indonesia – karya “Corporal 228”, karya asal “Koperal 228”), dan Fathiah Jamal (Singapura – karya “Axis”, karya asal “Paksi”).
HTM 2025 disampaikan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, YBrs. Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sempena Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Sidang ke-29 MASTERA dan Rangkaian Kegiatan MASTERA 2025 di Dewan Perpustakaan Negara, Singapura, semalam.
HTM 2025 memilih genre cerpen dan peserta dikehendaki untuk menterjemahkan satu cerpen bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris berdasarkan pilihan cerpen yang telah ditetapkan oleh negara masing-masing.
Di Malaysia, pertandingan ini telah dibuka kepada umum pada 21 Julai 2025 dan setiap peserta perlu menterjemahkan satu daripada 10 cerpen yang telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022.
Sementara itu, Pengerusi Mastera Singapura, YBrs. Dr. Azhar Ibrahim semasa berucap merasmikan majlis berkenaan berkata, MASTERA kini mencecah usia 30 tahun, namun negara tersebut hanya menyertainya pada tahun 2012.
“Tetapi kami sangat menghargai ketekunan negara-negara anggota seperti Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia yang lebih lama telah menyumbang bakti untuk dunia sastera di rantau ini.
“Mastera sebagai titik kesepaduan sastera di Asia Tenggara perlu memperluas peranan dengan menjunjung sastera tempatan ke persada antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran sayembara terjemahan ini bertujuan bagi menggalakkan para penulis menterjemahkan karya-karya terpilih ke dalam bahasa Inggeris, sekali gus memperluas capaian karya sastera tempatan ke peringkat antarabangsa.
Setiap pemenang HTM 2025 membawa pulang S$3,000, sijil dan sebuah piala.