Diterbitkan pada 29 Oktober 2025, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera di rantau Asia Tenggara semakin dilihat sebagai suara penting bagi negara-negara Global Selatan dalam menyuarakan pengalaman, perjuangan dan jati diri bangsa pascakolonial di tengah dunia yang dikuasai oleh kuasa ekonomi dan budaya Global Utara.

Konsep Global Selatan yang berakar daripada gagasan dekolonisasi (penyajajahan) mula berkembang selepas Persidangan Bandung 1955 dan diperincikan menerusi Declaration on the Establishment of a New Economic Order (1974) serta Laporan Brandt (1980).

Istilah ini menggantikan label Dunia Ketiga bagi menggambarkan negara yang sedang membangun dan berusaha menuntut keadilan ekonomi serta pengiktirafan budaya di pentas global.

Sarjana Sastera, YBhg. Dr Hashim Ismail dalam Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXVI, 2025 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, dalam konteks kesusasteraan, gagasan ini mencerminkan perjuangan pengarang serantau menentang hegemoni pemikiran Barat dan usaha menegakkan naratif tempatan yang lebih berakar pada sejarah, bahasa dan tradisi sendiri.

Katanya, karya-karya dari rantau ini memperlihatkan bagaimana sastera menjadi wadah melawan stereotaip dunia pascakolonial serta menegaskan martabat budaya bangsa.

Hashim menerusi perkongsian bertajuk “Jati Diri Global Selatan dalam Sastera Serantau” berkata, di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, dan Singapura, sastera Melayu terus mengekalkan fungsi sebagai cermin masyarakat dan alat pembinaan identiti.

“Walaupun Singapura kini tergolong sebagai negara maju, pengarang Melayu di republik itu masih berkongsi semangat dan isu serantau, termasuk identiti, kebangsaan, agama, serta jurang sosial akibat kemodenan,” katanya.

Tambahnya, karya prakemerdekaan di rantau ini jelas memperjuangkan semangat kebangsaan, kesedaran sosial dan reformasi pendidikan, manakala karya pascamerdeka menumpukan pengisian makna kemerdekaan, pembangunan bangsa dan perubahan sosioekonomi.

Walau bagaimanapun, selari dengan era globalisasi, tema sastera semakin beralih kepada persoalan pertembungan nilai tempatan dengan pengaruh luar, serta usaha mempertahankan keaslian budaya di tengah arus moden.

Di Indonesia kata Hashim, kepelbagaian etnik dan budaya menjadikan sastera medium penting untuk mengungkapkan realiti masyarakat.

“Pengarang menggunakan mitos, legenda dan budaya lokal sebagai simbol penentangan terhadap homogenisasi budaya global. Pendekatan seperti realisme magis dan intertekstualiti digunakan untuk menghidupkan semula warisan tempatan dengan tafsiran moden, mencerminkan adaptasi kreatif bangsa Global Selatan terhadap tekanan globalisasi.

“Di Malaysia dan Brunei, nilai Islam dan adat Melayu menjadi teras kekuatan sastera dalam membina moral, maruah serta keseimbangan spiritual.

“Karya-karya di negara ini menolak pandangan yang melihat pembangunan hanya dari sudut material, sebaliknya mengangkat dimensi kemanusiaan dan etika,” katanya.

Katanya, fenomena sastera komersial yang berkembang pesat turut mencerminkan cabaran baharu bagi pengarang Global Selatan,  antara memenuhi kehendak pasaran dengan tanggungjawab sosial dan intelektual.

Walau bagaimanapun, muncul generasi baharu penulis yang kembali mengangkat tema jati diri, warisan tempatan dan kesedaran sejarah melalui bentuk penulisan yang lebih eksperimental dan berani.

Apa yang dapat difahami, sastera di wilayah Global Selatan berfungsi bukan sahaja sebagai medan ekspresi seni, tetapi juga wacana intelektual untuk membina kesedaran bangsa, manakala di tengah dominasi Global Utara, karya sastera serantau membuktikan bahawa kekuatan sebenar sesebuah bangsa bukan terletak pada kekayaan ekonomi semata-mata, tetapi pada keupayaan menulis, mentafsir dan mempertahankan makna kemanusiaan mengikut acuan sendiri.

Para peserta Malaysia yang mengikuti Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXVI yang mengangkat sarjana sastera dari Malaysia, YBhg. Dr. Hashim Ismail sebagai pembicara.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi