Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAdakah 21 resolusi Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu mampu mengubah hala tuju industri perbukuan Malaysia? Dalam hal ini, Lokman Hakim agak skeptis terhadapnya.
Tika kerja ini disudahkan, saya mendapati tiada rumah penerbitan yang sudi menerbitkan terjemahan tersebut.
Ketika menelusuri 21 resolusi Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu, kita menemui perkataan seperti yang berikut: diperkukuh, dirancakkan, dipergiat, dan memperhebat. Sebenarnya, saya agak terkilan kerana tidak mampu hadir di acara berkenaan atas faktor kekangan kerja hakiki. Ah, kerja hakiki ialah musuh utama terhadap pelaksanaan resolusi yang begitu banyak itu kelak. Bagaimanakah kerja hakiki seorang penulis boleh jadi halangan besar? Baik, saya kemukakan pengalaman sendiri untuk kalian telaah dan bincangkan.
Saya secara sukarela menterjemahkan cerpen-cerpen H.P. Lovecraft. Saya melakukannya ketika saya masih bujang dan banyak masa lapang. Tika kerja ini disudahkan, saya mendapati tiada rumah penerbitan yang sudi menerbitkan terjemahan tersebut. Atau dalam erti kata lain, kesudian itu ada, hanya atas kekangan pasaran yang tidak menentu memaksa para penerbit itu meminggirkan dahulu penerbitan buku seumpama itu.
Maka saya peramlah hasil kerja terjemahan itu. Apabila The Biblio Press bertanya jika ada karya yang saya ingin terjemah, saya dengan rela hatinya mengajukan manuskrip tersebut kepada mereka. Ya, saya mengemelkan manuskrip terjemahan itu tanpa menanyakan perihal kontrak atau harga satu halaman kerja penterjemahan kerana khuatir hal-hal karenah birokrasi seumpama itu akan merencatkan niat penerbit untuk menerbitkan karya tersebut.
The Biblio Press hanya entiti kecil dalam industri buku. Syarikat ini bergantung pada jualan buku hampir sepenuhnya, menurut telahan saya yang memerhati pola pembayaran royalti dan upah pihak yang terlibat dalam penerbitan buku-bukunya. Mutakhir ini, saya juga cuba menterjemah Ulysess tulisan James Joyce yang saya tidak begitu punya kesempatan untuk menterjemahkannya secara konsisten. Kalaulah saya digaji sebanyak RM10,000 sebulan untuk kerja-kerja menterjemah, pastilah saya akan lebih produktif dan berfokus.
Konsistensi saya dalam kerja mengarang barangkali tidak perlu dipersoalkan lagi. Sejak saya mula menulis seawal tahun 2014, saya sinonim dengan perkataan prolifik atas kekerapan punya buku baharu saban tahun. Disiplin menulis bukan suatu masalah besar tetapi seiring waktu, usia juga meningkat, maka bebanan kerja hakiki juga kian besar tanggungjawabnya dan menuntut perhatian. Anak dan isteri juga harus diberi perhatian memandangkan saya sudah berkeluarga.
Lalu, saya menulis secara gerila – ada peluang, tulis. Saya terpaksa menjauhi acara-acara sastera atas faktor kesibukan menulis, membaca, meluangkan waktu untuk keluarga, dan kerja hakiki. Tiada lagi istilah menulis dalam keadaan selesa. Sering kali saya menulis dalam keadaan otak yang sudah penat. Sehingga sampai suatu tahap, saya tidak lagi membawa komputer riba ke rumah. Saya tidak lagi menaip ketika di pejabat. Saya hanya mengarang apabila saya ada taklimat projek pembinaan baharu, yang saya akan hadir sejam lebih awal dan mengarang apa-apa yang berbaki dalam komputer riba saya. Ataupun, saya akan datang awal sejam dua ke pejabat dan menulis di dalam kereta sebelum masuk ke pejabat tepat pada waktunya.
Secara kuantitatif, saya yakin saya masih boleh memenuhi kuota cerpen eceran dan bilangan buku baharu terbit saban tahun. Secara kualitatif, tidak banyak yang saya boleh janjikan. Kerja mengarang ini sering kali prioritinya saya kesampingkan pada tangga keutamaan nombor lima dan seterusnya.
Hal ini merupakan satu tindakan rasional. Meskipun saya produktif menulis, tidak kesemua buku saya laris dijual. Ada yang dibayar sekali harung dan tiada lagi susulan royalti walaupun bukunya diulang cetak entah kali ke berapa. Ada juga yang royaltinya saya dapat setelah tiga tahun bukunya terbit. Mujur sahaja ada penerbit yang mendahulukan wang royalti. Namun lazimnya, amat jarang saya menerima royalti kali kedua untuk buku-buku saya. Menyedari senario bayaran yang tidak menentu itu, saya terus melakukan kerja hakiki dan menulis tika ada peluang.
Kuasa membeli kian mengecil dan jika tiada tindakan diambil, dikhuatiri bahawa kuota pembelian buku akan dikesampingkan.
Berbalik pada soal resolusi Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu yang mahukan kerjasama setiap pihak dalam membangunkan industri buku negara ini, saya ingin tahu, berapakah nilai kesanggupan para pemimpin kita dalam konteks pelaburan untuk menghasilkan industri buku yang mapan? Usaha membangunkan budaya membaca yang sihat mahu tidak mahu memerlukan suatu iltizam dan juga penggubalan polisi-polisi baharu yang akan menggerakkan masyarakat untuk membaca buku.
Lazimnya kita tahu bahawa era ini ekonomi rakyat jelata agak tidak begitu memberangsangkan. Kuasa membeli kian mengecil dan jika tiada tindakan diambil, dikhuatiri bahawa kuota pembelian buku akan dikesampingkan.
Para penerbit yang bergantung pada jualan buku menjadi lebih kreatif dalam penjualan buku tetapi seperti kita sedia maklum, untuk menerbitkan buku berkualiti menuntut para pembaca yang juga berkualiti. Namun begitu, andai kata masyarakat yang sudah pincang budaya membacanya akibat ketidaktentuan sistem pendidikan yang secara tidak disedari sedang mengganggu perkembangan intelektual masyarakat, di mana letaknya kemampuan menerbitkan karya berkualiti?
Saya tidak tahu apakah strategi yang ada dalam perancangan penerbit seperti The Biblio Press ketika mereka berminat mahu menerbitkan terjemahan Ulysess. Untuk buku setebal itu, pastilah harganya mahal dan tidak ramai yang mampu membelinya nanti. Saya tidak dapat membayangkan sama sekali karya agung seperti Ulysess itu akan memberikan saya selaku penterjemahnya pendapatan lima angka yang akan saya manfaatkan untuk meneruskan kerja-kerja penulisan lain sesudahnya.
Apabila membaca Haruki Murakami and The Music of the Words tulisan penterjemah Jay Rubin menemukan saya pada keadaan betapa bebasnya pengarang tersohor Jepun itu menciptakan suasana yang sesuai untuk mengarang karya-karya hebatnya. Beliau dan isteri berkelana dari satu negara ke negara lain dan mengarang novel-novelnya dalam perkelanaan itu. Saya tidak tahu berapa ramai pengarang di negara kita yang mampu berbuat demikian. Lebih-lebih lagi yang menulis dalam bahasa Melayu yang saya tahu, tidaklah begitu besar demografi pembacanya berbanding bahasa-bahasa asing di luar sana.
Namun demikian, saya mudah sahaja. Demi meneruskan kesinambungan kerja-kerja mengarang, menterjemah dan apa-apa sahaja kerja membabitkan memartabatkan sastera tanpa dibayangi kekangan fizikal dan mental, siapa yang sudi membayar saya sebanyak RM10,000 setiap bulan? Pastilah bukan The Biblio Press ataupun mana-mana penerbit yang menerbitkan buku-buku saya. Pastilah bukan majikan kerja hakiki saya yang enggan saya menggunakan waktu senggang di pejabat untuk mengarang. Adakah kerajaan Madani akan membayar saya jumlah sebesar itu? Saya meraguinya.
Selaku pengarang yang sudah terbiasa menulis secara gerila, saya harus menggunakan keajaiban 24 jam sehari yang sudah sedia ada terhad itu sehikmah-hikmahnya.
Di ceruk komputer riba saya, sebuah terjemahan Ulysess menanti peluang untuk saya sambung terjemahannya. Malangnya, kerja itu sudah berminggu-minggu terbengkalai. Barangkali hal itu akan kekal begitu, sepertimana projek-projek penulisan gratis lain yang tidak mampu saya sudahkan.
Kredit Foto: Darwin Vegher/Unsplash
_________________________
Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.