20 Januari 2024, 21:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Apabila isu hak cipta dikesampingkan, kita sudah nampak kesannya pada hari ini. Dunia penerbitan terbantut kerana ‘keherotan’ dari segi pemahaman tentang perkara ini,” ujar Puan Nisah Haron dalam Sesi Perkongsian dan Soal Jawab “Bual Bicara: Etika, Plagiat, Hak Cipta dalam Penulisan” yang berlangsung di Rumah GAPENA, pada pagi ini.

Tambah beliau lagi, “Paten dan jenama perlu didaftarkan tetapi hak cipta itu lahir secara automatik dan tidak perlu didaftarkan. Perkara ini menyebabkan pemilikan hak cipta seolah-olah tidak ada satu pegangan yang kukuh.”

Puan Nisah Haron, selaku pengemudi Sesi Perkongsian dan Soal Jawab “Bual Bicara: Etika, Plagiat, Hak Cipta dalam Penulisan”.

Menurutnya, situasi ini menyebabkan ramai karyawan yang kurang cakna akan kepentingan hak cipta menghadapi pelbagai masalah dan ketidakadilan ke atas karya mereka pada kemudian hari, terutamanya tentang isu pembayaran royalti.

Berdasarkan Konvensyen Berne bagi Perlindungan Karya Sastera dan Seni, hak cipta segala penulisan dan karya yang dihasilkan (ekspresi) berkuat kuasa serta-merta dan seseorang pengarang tidak perlu “memohon” hak cipta di negara yang mematuhi konvensyen (termasuk Malaysia).

Dalam perkongsiannya lagi, Puan Nisah Haron turut menyentuh tentang isu etika dan plagiat yang semakin meruncing pada hari ini, lebih-lebih lagi apabila hasil karya semakin mudah diakses pada era digital ini.

Curi ialah curi. Suka saya tekankan isu etika dan plagiat ini dengan analogi pisang yang dicuri. Kita ibaratkan pisang yang dicuri itu, dilenyek-lenyekkan untuk dibuat jemput-jemput. Selepas itu, jemput-jemput ini dijamu pula kepada seluruh penduduk kampung termasuklah kepada tuan asal pisang tersebut. Malahan pencuri itu kemudiannya diberikan pula kredit.

Semasa Sesi Soal Jawab bersama-sama hadirin, Puan Nor Azah Abdul Aziz, turut berpeluang berkongsi pandangan dari sudut pandang seorang editor.

Ujarnya, pihak yang paling utama untuk menyedari dan memahami isu hak cipta ialah penulis itu sendiri. Penulis yang tidak mahu cakna umpama membiarkan diri mereka ditindas oleh pihak yang hanya mengutamakan keuntungan dan menepikan soal moral dan etika.

“Sikap penulis yang acuh tidak acuh tidak boleh dibiarkan. Biasakan membuat perjanjian hitam putih,” tegas beliau.

Timbalan Presiden GAPENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyampaikan cenderahati kepada Puan Nisah Haron.

Program ini yang merupakan anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dihadiri oleh pelbagai pemegang taruh dalam industri penerbitan negara seperti para penerbit, para penulis tanah air dan penuntut jurusan Komunikasi dan Pengurusan Media dari beberapa universiti awam.

Kredit foto: Nurul Nabilah Zainal Abidin | GAPENA

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.