Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTasek Gelugor – “Penulis sekarang perlu berhati-hati ketika menulis, termasuklah di aplikasi WhatsApp sebelum sampai ke satelit bagi mengelak tulisan menjadi kes mahkamah,“ kata Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) Malaysia, Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman, ketika diundang bagi mengulas puisi-puisi yang tersiar dalam antologi puisi tokoh Pulau Pinang, Mutiara yang Berkelipan.
Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) melalui kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pulau Pinang menganjurkan Program Diskusi Karya antologi puisi tokoh Pulau Pinang, Mutiara yang Berkelipan, di Perpustakaan Desa Pokok Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.
Antologi puisi yang mengandungi 85 muka surat itu menyiarkan pelbagai kisah kejayaan tentang tokoh terpenting di negeri tersebut, antaranya termasuklah Ahmady Asmara, Tun Abd. Rahman Abbas, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Awang Had Salleh, Tan Sri P. Ramlee, pelakon Nordin Ahmad, Datuk Shukur Salleh, Datuk Nicol David dan Datuk Ahmad Nawab.
Yang menariknya, beberapa puisi yang termuat dalam buku antologi itu telah dideklamasikan oleh peserta program, termasuk “Puisi untuk Pak Lah”, “Seniman Agung Tiada Pengganti” dan “Sampai Salam Sekuntum Mawar”.
Ketua Satu 2PNP, Anuar Ahmad turut menzahirkan rasa terima kasih dan harapan beliau atas kerjasama dalam menerbitkan antologi puisi Mutiara yang Berkelipan. Katanya,
Terima kasih kepada Yang Dipertua MKN Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin, Setiausaha MKN Pulau Pinang, Laili Othman, dan semua pihak yang terlibat kerana telah memberikan kerjasama terhadap program yang diadakan. Diharapkan program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu, 2PNP menyeru agar penulis Pulau Pinang menghasilkan karya berkaitan dengan MADANI pula untuk dibukukan melalui penerbitan antologi puisi pada masa akan datang.