29 Mac 2023, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin yang telah menonton filem Imam bercerita sedikit sebanyak tentang buku Di Sebalik Tabir Pembikinan Filem Imam.

Walaupun sekadar bertulis tangan/tidak bertaip, tetapi M. Nasir yang memegang watak Haji Mihad, menulis artikel yang penuh makna, berjudul Seorang Imam.

Sekali pandang, buku Di Sebalik Tabir Pembikinan Filem Imam (DTPFI), setebal 216 halaman terbitan Nuha Creative Resources bersama-sama Alkahfi Pictures Sdn. Bhd. (2023) ini seperti sebuah penerbitan mewah.

Dari kertas yang digunakan, dan reka bentuknya, saya turut kagum apabila menyelak lembar demi lembar buku selenggaraan Ishak Hamzah, Rosman Md. Shah, Nurul Iman Nuha dan Mohamed Nasser Mohamed ini kerana ia dipenuhi gambar berwarna yang menarik, dan bermutu tinggi. Pendek kata, tidak malu atau canggung untuk meletakkannya di atas meja di ruang tamu!

Menariknya, Sasterawan Negara (SN) ke-13, Zurinah Hassan turut menulis salah satu tulisan berjudul “Imam: Sebuah Novel dan Satu Wasiat.” Buku ini mengandungi 26 buah tulisan lain. Antara lain, SN Datuk Zurinah bahawa SN Abdullah Hussain (Pak Lah) memanggil anak-anaknya pada suatu malam selepas solat maghrib, dan berwasiat jika terjadi apa-apa kepada beliau, anak-anak mesti mengusahakan penerbitan novel Imam walaupun terpaksa berbelanja sendiri.

Tulisan SN Zurinah Hassan.

Jadi, tambah Datuk Zurinah, Pak Lah bermaksud bahawa manuskrip Imam ialah suatu wasiat yang mahu disampaikan kepada bangsa, dan masyarakat.

Dr. Lim Swee Tin menerusi tulisannya yang bertajuk “Catatan Tiga Tentang Keberanian” dalam buku tersebut juga mengatakan watak Haji Mihad besar kerana membawa pemikiran besar. Tentangan yang dihadapinya juga bukan kecil. Watak-watak lain di sekelilingnya, tambah beliau, juga perlu disorot dengan cukup teliti serta mendalam.

Sementara Profesor Dr. Md. Nasir (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi tulisannya iaitu “Peranan FINAS Menyokong Pembikinan Imam dan Filem Tempatan” menegaskan bahawa tidak banyak filem cereka tempatan yang berani mengangkat karya daripada novel kerana risiko besar yang dihadapi daripada aspek penyediaan skrip, pemilihan watak dan pelakon yang sesuai, penggambaran dan tayangan kepada umum.

Filem Imam, arahan Mior Hashim Manap yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa karya Pak Lah, dibintangi (sekadar menyebut beberapa nama) Dato’ M. Nasir, Datin Natasha Charmaine, Faizal Hussein, dan Vanidah Imran.

Tambah menarik, dalam buku itu, pelakon filem Imam iaitu Dato’ M. Nasir, Datin Natasha, Faizal, Rasdi, Noramin, Sani, dan Qathlin turut menulis perasan dan pengalaman masing-masing. Walaupun sekadar bertulis tangan/tidak bertaip, tetapi M. Nasir yang memegang watak Haji Mihad, menulis artikel yang penuh makna, berjudul “Seorang Imam.”

Tulisan M. Nasir.

Antara lain, M. Nasir menyatakan, menjadi satu tugas yang berat dan mengujakan untuk menginterpretasikan salah satu watak penting daripada sebuah novel penting negara.

Natasha, pelakon baharu yang memegang watak Siti Nur Aishah (isteri Haji Mihad) pula menulis bahawa beliau merasai pengalaman sinematografi yang cukup indah dan klasik yang membawanya ke alam dan era yang cuma boleh kita mimpikan.

Faizal Hussein pula menulis bahawa dalam filem Imam, beliau dikehendaki bertutur dalam bahasa Arab. Beliau diajar oleh jurulatih lakonan yang turut menjaga lenggok penggunaan bahasa Arabnya. Berminggu-minggu dialog bahasa tersebut bermain dalam kepalanya.

Tulisan Faizal Hussein.

Memang pembaca tidak dapat menelaah ulasan atau pandangan mengenai persembahan filem Imam kerana buku ini tidak dibuat untuk tujuan sedemikian. Begitu pun, pelakon/pengarah teater dan pengkritik sastera, iaitu Zakaria Ariffin, dan Rasdi yang pernah terlibat dengan teater Imam menyatakan beberapa perkara menarik.

Dalam tulisannya, iaitu “Adaptasi Imam ke Teater”, Zakaria yang mengarahkan teater Imam menyatakan krisis dan konflik dalam novel Imam sudah lengkap dan cukup mantap dan berpotensi diangkat ke medium yang lain, terutamanya teater dan filem.

Tulisan Zakaria Ariffin.

Watak-watak utamanya, tambah beliau, iaitu protagonis dan antagonis sudah dilengkapkan dan diperkuat dengan perwatakan yang memperlihat kelainan, serta keistimewaan yang tersendiri.

Zakaria turut memberitahu, apabila terpilih untuk mengikuti Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 1997, novel Imam telah terlintas dalam fikiran beliau, dan bertekad mengadaptasinya ke skrip drama pentas sehingga menjadi “projek” utama sepanjang program penulisan tersebut.

Menurut Rasdi pula, Imam telah dipentaskan beberapa kali pada tahun 1998 dan 1999. Ketika itu, beliau memegang watak Debok, seorang pemuda yang telah lama meninggalkan kampung sebelum kembali dam membantu Haji Mihad menyebarkan dan mengukuhkan Islam.

Tulisan Rasdi Daud.

Dalam filem Imam, beliau memegang watak Lebai Saat yang merupakan pengikut Haji Syamsuri. Jelas Rasdi, Debok dan Lebai Saat memang watak yang berbeza.

Sebagai filem yang dikatakan filem patuh syariah, tugas menyemak skrip dan mengatasi gangguan makhluk halus diamanahkan kepada Ustaz Firdaus. Beliau yang turut memegang watak kecil dalam filem tersebut menceritakan serba sedikit pengalamannya.

Selain kejadian tayar van dan kereta yang tersangkut di lokasi pembinaan surau (set penggambaran), Ustaz Firdaus memberitahu antara lain kejadian yang lebih menghairankan ialah pembinaan masjid yang tidak siap sehingga menyedari lokasi tersebut sebenarnya berada di atas tanah perkampungan jin.

Mior Hashim turut menulis tulisan bertajuk “Perjalanan Imam dan Dakwah Saya.” Isterinya yang juga penerbit, Izzaidah Khairan pula menghasilkan Mengurus Pembikinan Imam Sejak Hari Pertama, sementara anak mereka, Mior Mohamed Imran sebagai penerbit eksekutif menulis artikel bertajuk Imam.

Dalam artikelnya itu, Mior Hashim menegaskan bahawa imam itu pemimpin, dan beliau mahu imam bukan sahaja menjadikan masjid sebagai tempat ibadat, tetapi juga tempat bersosial dan bermasyarakat.

Tulisan Mior Hashim.

Tenaga di belakang tabir filem Imam juga turut menulis. Antara mereka ialah pereka kostum, Mahyuddin Sidik (Dino) menulis Wardrobe dalam Imam; pereka produksi, Faizal Zamir Zunib (Menangani Karyawan Seni Produksi Imam); operator kamera b/gambar pegun, Ikhlas Ridzuan (Pengalaman dalam Imam); jurukamera, Indera Che Muda, MySC (Catatan Bersama Filem Imam); jurusolek, Hanafiah (Mizi) (Imam yang Cool); kru produksi, Telani Naemat (Bekerja Sebagai Runner dan Handyman); dan penulis sarikata bahasa Inggeris, Tee Lin Dee (Imam Permulaan Baharu Mior Hashim Manap).

Sementara itu, Mohamed Nasser sebagai editor perunding menyatakan bahawa penghasilan buku yang mengiringi sebuah filem memang mencabar. Sambil menyatakan tentang ratusan gambar memukau dan berseni dalam buku DTPFI ini, beliau berharap buku ini akan memberikan pengalaman baharu kepada para pembaca.

Ishak, Rosman dan Nurul Iman sebagai penyelenggara pula sepakat mengatakan novel Imam telah diperam oleh penulisnya sebelum dihantar ke sayembara. SN Pak Lah, tambah mereka, diketahui dalam kalangan dunia penulis tidak gemar menyertai sayembara. Dengan tuah yang tidak disangka-sangka, novel Imam diangkat sebagai pemenang pertama Sayembara Novel Nasional Sako.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.