Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAliff Awan menzahirkan sebutir dua pengalamannya tentang beberapa buku dan penerbitnya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 baru-baru ini.
Hadiah percuma, happy hour, acara pentas utama, mikrofon, dan diskaun tampaknya lebih penting daripada reka letak buku yang didagangkan. Dan, masalah ini cukup mengecewakan.
Antara rak-rak buku yang telah dikemas, di belakangnya ada bungkusan-bungkusan buku yang masih berbalut dengan surat khabar berserta label masing-masing. Bungkusan itu tidak dibuka sejak diletakkan di situ. Dan pelan-pelan, buku-buku di dalamnya mati kelemasan kerana tidak diberi udara. Kerana tidak dipegang-raba.
Ini mungkin satu bayangan yang melampau, tapi dalam selang-seli imaginasi, saya berfikir yang hal ini betul-betul terjadi. Terutama selepas pesta buku Malaysia yang paling besar itu baru saja menutup tirainya. Terutama selepas bersepah-sepah buku baharu yang diterbitkan oleh tangan penerbit kita. Buku-buku yang belum tentu dilayan sebaik atau sebesar pesta buku paling besar tahun ini.
Bungkusan-bungkusan buku tadi ialah bayangan terhadap buku-buku yang saya belek; rasa menarik (ada yang tidak, tapi terjumpa sesuatu yang istimewa di dalamnya), kemudian diletakkan semula. Mengapa takdirnya hanya menjadi bungkusan yang gagal dibuka? Saya mengharapkan semua pembeli melayani buku yang malang ini sama dengan layanan saya. Sebagai hukuman kepada penerbit. Penerbit yang menyorok sebalik “memeriahkan industri”, tapi hakikatnya gagal memelihara barang dagangan paling utama dalam industri mereka.
Hadiah percuma, happy hour, acara pentas utama, mikrofon, dan diskaun tampaknya lebih penting daripada reka letak buku yang didagangkan. Dan, masalah ini cukup mengecewakan.
Kalut ramai orang. Saya tak singgah semua reruai seperti tahun sebelum ini. Fokus lebih tertumpu kepada penerbit-penerbit di tingkat tiga dan empat. Lagipun, kemeriahan naskhah yang menawarkan karya-karya yang lebih segar biasanya ada di situ.
Akan tetapi, sesegar mana pun karya-karya itu, dengan reka letak yang bermasalah, melayukan saya untuk membacanya.
Saya menghampiri sebuah penerbit yang mesra, kemudian membelek-belek buku baharu keluaran mereka. Oh, kulit buku yang saya nak miliki! Yang saya akan beritahu semua orang, “The cover is good enough untuk buat aku beli, despite the work”, tapi syukurlah, saiz fon di dalamnya terlalu kecil dengan susun letak dan susun atur bahan yang dianggap sambil lewa. Jadi, buku diletakkan semula sebelum penulisnya yang ada di situ, berkecil hati.
Selepas kecewa, saya mendekati reruai yang lain pula. Sedikit jauh terkebelakang, tapi masih sibuk dengan kerumunan. Menarik. Dan, buku jingga itu melihat saya dari jauh. Menegur dan assalamu–. Belum pun sempat menghabiskan salam, saya dah tutup dan biarkannya bersandar semula bersama-sama buku-buku lain di rak. Kecilnya tulisan! Mata saya akan terlalu penat membacanya nanti.
Lalu, kekecewaan merehatkan langkah saya. Untuk berfikir. Sejenak.
‘Kenapa kerja percetakan ini seakan terburu-buru?’
‘Apa yang membuatkan buku-buku ini bernasib malang? Manuskrip baharu? Penerbitan yang terlalu banyak? Gerak kerja masa yang singkat?’
‘Tapi, bukankah sekurang-kurangnya enam bulan lepas lagi dah tahu bila pesta ini akan berlangsung?’
‘Mengapa pesta ini besar dengan diskaun, tapi buku-bukunya tak dilayan sebesar nilainya?’
‘Mungkin inilah sebab-sebab lain yang menyebabkan orang malas beli dan baca buku kita?’
Rehat menemukan saya dengan seorang penulis baharu. Yang bukunya menerima penghargaan dan di sebalik senyumannya, ada air mata yang saya bayangkan turun dari hujung bibir.
“Alhamdulillah okey … tapi, sebenarnya, dekat buku ’tu, penerbit salah eja nama saya.”
Saya gagal menjadi orang baik selain bertanyakan ejaan namanya yang sebenar. Biarpun satu huruf, hal itu masih satu kesalahan dan satu dosa yang penerbitnya perlu tanggung sampai bila-bila.
Hal ini menimbulkan keraguan lain: (i) Adakah penulis tidak diberikan peluang untuk membuat penyemakan pruf semula sebelum cetak?; (ii) Kalau sudah dan penulis telah maklumkan, kenapa penerbitnya abaikan?; dan (iii) Sudahkah penerbit meminta maaf dan maklumkan kepada pembeli mereka di media sosial tentang kesilapan tersebut sebagai tanda menghormati penulis dan pembaca?
Keraguan ini menimbulkan garis-garis kerut di dahi yang kemudian menghentikan saya di sebuah kerusi sebuah reruai lain.
Di depan, terjemahan Kahlil Gibran dan skrip drama pentas Zulfadli Rashid memandang saya. Meminta diraba dan dibelek. Lalu, saya belek, sebelum setia menekuni buku buah tangan Bilik Penyair dan Moka Mocha Ink ini.
Ketelitian reka letak Bilik Penyair memadam kerut di dahi. “Kesederhana-biasaan” susunan buku-buku Moka Mocha Ink cukup untuk buat saya lega dan berasa selamat. Fikir saya, sekurang-kurangnya ada penerbit yang masih melayani buku dengan baik. Akan tetapi, hal ini mengembalikan kegerunan saya yang sebenarnya makin memuncak kerana jika penerbit ini boleh, kenapa yang lain, yang lebih besar, kerja penerbitannya tak semenggah?
Selepas membelek dan mengambil buku-buku lain daripada penerbitan yang sama, saya segera ke kaunter dan kad memindahkan wang tanpa tunai. Pesta buku biasanya membuatkan saya teruja dengan belian yang tak cukup tangan, tapi hari itu, saya gagal menahan langkah menuju ke KTM untuk kembali ke Kuala Kubu Bharu. Eloklah saya pulang daripada kecewa. Dan, antara rel dengan tayar gerabak, antara earphone dengan lagu-lagu, saya terbayangkan hati penulis baharu tadi yang mungkin akan terus kecewa sampai bila-bila. Kerana kesalahan penerbit mereka.
Kredit Foto: Clem Onojeghuo/Unsplash
_________________________
Aliff Awan ialah artis persembahan yang selalu di Kuala Lumpur. Dia berehat daripada terlibat dengan apa-apa penglibatan kerana menjadi seorang pemerhati lebih seronok.