Oleh Salman Sulaiman
31 Januari 2024, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman kenal dengan penulis yang berada di belakang nama “Jusoh Gobek”. Inilah jawapan Salman buatnya.

Saya sebenarnya telah mengenali Jusoh Gobek sudah hampir suku abad.

Jusoh Gobek, nama yang unik dan aneh ini tiba-tiba muncul memberikan komentar di Facebook majalah Dewan Sastera yang memuat naik pautan esei terbaru saya, “Pengarang Sejati, Penulis Olok-olok” yang disiarkan dalam e-Dewan Sastera pada 18 Januari 2024 lalu. Apabila muncul saja nama Jusoh Gobek, segera mengingatkan saya pada beberapa kenangan lama. Saya sebenarnya telah mengenali Jusoh Gobek sudah hampir suku abad.

Pada satu ketika yang amat jauh, sekitar dua puluh tahun dulu – Jusoh Gobek mengirimkan khidmat pesanan ringkas seingat saya, atau mungkin menelefon, ingin bertemu. Saya datang menemuinya, dengan bas. Dan kami terus duduk memesan minuman di kedai kopi yang berdekatan, betul-betul berhadapan dengan stesen bas tempat baru saja saya turun sebelum itu.

Sampai sekarang saya ingat, Jusoh Gobek menunjukkan sebuah karyanya yang baru saja siap dikarang, yang mahu dikirimkannya ke sebuah akhbar. Dia cetak elok-elok karyanya yang baru selesai ditulis itu pada kertas A4 untuk diberikan kepada saya untuk baca. Dia meminta saya memberikan komen terhadap tulisan tersebut. Jusoh Gobek telah pandai mengarang ketika itu, dan namanya juga sudah agak terkenal. Namun begitu, dia masih meminta komen saya terhadap karya baharunya yang ingin dikirim ke media penerbitan. Ini satu sikap baik yang ada pada Jusoh Gobek yang wajar dicontohi oleh penulis muda dan pengkarya-pengkarya baharu hari ini. Dia mahu ditegur dan ingin diajar walaupun dirinya telah agak pandai dan terkehadapan daripada orang yang diminta pendapat dan nasihat.

Pada ketika yang lain, dia singgah di Machang dan menelefon saya ajak keluar ke kedai Tok Siak di tengah bandar – katanya, dia hendak belanja makan. Ini pun kisah yang sudah belasan tahun berlalu. Ketika itu, dia dengan seorang kawan, dan kebetulan pula lalu dan singgah di Machang untuk makan tengah hari. Jadi, dia teringatkan saya yang tinggal di daerah tersebut. Ini satu lagi sikap terpuji Jusoh Gobek yang saya ingat, iaitu dia tidak lupa akan kawan-kawan. Berkebetulan lalu atau singgah di daerah tempat tinggal kawan-kawan, segera pula mengajak makan.

Ingatan-ingatan ini muncul kembali kerana Jusoh Gobek tiba-tiba memberkani komentar terhadap tulisan terbaharu saya di pelantar maya Dewan Sastera. Katanya dalam satu perenggan pendek, berisi tiga ayat:

“Artikel tahun bila ni? Artikel-artikel macam ni saya biasa baca sebelum tahun 2000. Umum sangat.”

Kepada Jusoh Gobek, saya cuma ingin menjawab begini:

Ini artikel tahun 1838, zaman Abdullah Munsyi atau mungkin lebih awal lagi, yang ditulis di alam roh, ketika saya dan Tuan masih ghaib. Tuan seorang pengarang besar, saya cuma seorang penulis kecil. Tuan tulislah artikel tahun 2048 Tuan yang khusus, mendahului zaman dan terkehadapan itu. Saya teringin sangat hendak membacanya.

Jangan tanya saya siapa Jusoh Gobek. Saya tidak akan beritahu. Sebagai pembaca, peminat dan penikmat, serta pengkaji sastera – kalian siasat, dan carilah sendiri.

Kredit Foto: Csabi Elter/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.