Oleh Roslan Jomel
13 Mac 2024, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Roslan Jomel memberikan reaksi tentang situasi kesusasteraan Sarawak kontemporari dan cabaran-cabaran yang dihadapinya sekarang.

Sastera wajar diperbaharui dengan pernyataan terkini untuk menghubungkan talian dengan audiens umum.

Sabtu, 2 Mac, bersama-sama dengan Helmy Muhammad, ahli antropologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan penyair berpotensi besar Qurratul ‘Ain (pemilik kumpulan sajak Momen), kami singgah ke Amcorp Mall, yang tujuannya, sudah tentulah mencari buku-buku langka berharga tentang ketamadunan bangsa tempatan. Suatu pengembaraan intelektual (maaf, bunyinya agak mengada-ada) ke masa silam.

Buat masa ini, saya belum lagi berpeluang ke Leiden, Belanda, sebagaimana yang pernah Helmy Muhammad kunjungi, bertujuan, serupa seperti yang disebutkan di atas. Disebabkan minat saya pada penulisan karya sastera, sayu rasanya menatap buku-buku lama yang memuatkan esei-esei kritikan sastera dan bertambah pedih pula fikiran mengenangkan situasi kritikan sastera pada masa kini.

Sebagai orang Sarawak, menulis tentang senario kesusasteraan kontemporari di sana, bukanlah hal yang menyelesakan. Tidak semuanya bersedia untuk dirempuh oleh kritikan, sedangkan karya-karya yang dinilai bagus pun memiliki aspek-aspek kelemahannya. Beberapa orang pengarang muda tampil dengan mengangkat isu-isu semasa dengan teknik penulisan yang sudah jauh berbeza daripada gaya persembahan pengarang berpengalaman. Mereka tidak lagi cenderung untuk menulis tentang pergolakan domestik mengikut acuan sebelumnya. Dari sudut itu, hal ini suatu kemajuan yang memberangsangkan dan wajar diberi tepuk tangan. Adakah kerja penulisan mereka disemak dengan adil dan mendalam oleh pengkritik?

Sementara itu, beberapa orang pengarang berusia masih terus menghasilkan karya dan mula cuba untuk beradaptasi dengan tekstur penulisan terkini agar awet muda dalam persaingan dengan tempo aliran kesusasteraan. Nama-nama mereka (pengarang berpengalaman) sudah biasa dilihat dalam media tempatan dan kebangsaan, sehingga mampu dibezakan lenggok kerja penulisan antara yang muda dengan matang. Itu soal kedua. Fokus utama adalah bagaimana pengarang-pengarang menulis untuk audiens di luar sana yang rata-rata usia mereka muda dan berpendidikan tinggi serta kritis? Infrastruktur di bandar raya Kuching pada masa kini tidak lagi sama dengan keadaannya pada tahun 1970-an. Jika dahulu, amat sukar untuk memperoleh bahan bacaan terkini yang diterjemahkan. Kini, sesiapa sahaja boleh memesan melalui dalam talian. Maka, apabila pengarang baharu seperti Stefanie Kaso sudah terbiasa dengan karya-karya dari Amerika Selatan, hal ini suatu yang wajar dengan situasi kehidupan semasa.

Daerah baru terbuka luas. Hanya kita mungkin tidak bersedia memasukinya, walaupun calon pembaca kita sudah menunggu di sana. Soal korupsi secara mendalam, soal agama secara jujur dan rasional, soal bangsa dari sudut sejarah dan senario terkini masih belum ditangani sebaiknya – yang disentuh adalah secara sambilan dan tidak menunjam ke dalam inti persoalan …

– Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dlm. “Mentakrif Ruang Kritikan Abad Ke-21”, Permata di Rumput, Gilang Sastera Sebagai Ruang Bangsa (DBP, 2008)

Dalam larutan nostalgia. Kalau mendengar lagu Sayang Sarawak, seluruh fikiran dan emosi (dahulunya) saya selalu terhenti apabila tiba ke seni kata “sungainya sempit”. Hal ini suatu pernyataan yang membingungkan secara harfiah buat saya. Kecil sangatkah sungai di Sarawak yang menjadi laluan kapal-kapal besar mengangkut dan memunggah barang-barang di pelabuhan, contohnya di kawasan Pending?

Sungai di kampung saya, setiap hari (dahulunya) kapal nelayan kerap berulang-alik membawa hasil tangkapan ikan dari laut. Mengapakah penulis seni kata lagu tersebut senang-senang mengatakan saiz sungai (yang panjang dan melingkar dari pandangan udara) di Sarawak tidak seluas apa yang saya lihat secara nyata? Apakah maksud tersirat sehingga suatu yang lebar diibaratkan sekangkang dua kaki dalam lagu mendayu-dayu itu?

Kemudian, setelah mengerti, itulah yang dimaksudkan dengan kata-kata (kehebatan) sastera, sungguh berseni menggambarkan perihal dalaman perasaan secara metafora. Apa-apa pun yang terpamer pada luaran bukanlah isi makna, tetapi siratan jiwa yang tersembunyi dan dipendam oleh penulis seni kata. Apabila segala-galanya terhalang, hajat dan kemahuan, alam yang luas pun berubah mengecil, menjadi sesempit lubang jarum dan menyesakkan jiwa. Kemahiran sebegini sudah maklum dalam alam persuratan Melayu kerana dari situlah ranah kesusasteraan dikembangkan, dimodenkan dan kemudian menjadi perakam realiti kemanusiaan perseorangan dan masyarakat. Akan tetapi, dengan suasana pada masa kini, unsur-unsur berkias yang terlalu kabur dan bersifat ambiguiti sudah dianggap lusuh kerana sastera wajar diperbaharui dengan pernyataan terkini untuk menghubungkan talian dengan audiens umum.

Lupakan romantisisme itu. Hidup semakin keras dan sentimental yang berlebihan hanya menghantar ke bilik doktor psikiatri. Perkembangan kesusasteraan di Sarawak sudah semestinya semakin menarik (hal yang dimaksudkan di sini ialah teks sastera yang canggih, kompleks, serius dan berbeza berbanding sebelumnya) sejak terbinanya bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada tahun 1977. Sejak novel Hikayat Panglima Nikosa (1876) dan Melati Sarawak (1932) diterbitkan, muncullah beberapa barisan pengarang dengan pencapaian kualiti karya yang setanding dengan nama-nama besar di Semenanjung, secara tidak langsung turut sama menyumbang khazanah persuratan kebangsaan. Gaya bahasa dan teknik penulisan dimodenkan, malah ufuk persoalan semakin rencam. Temanya semakin sofistikated atau kosmopolitan, seiring dengan kematangan pengkaryaan dan bantuan capaian internet serta latar belakang kehidupan seseorang pengarang.

Selain Awangku Merali Pangeran Mohamed, Jong Chian Lai dan Abizai, kesusasteraan Sarawak, beberapa deretan pengarang generasi baharu mula mencorakkan gaya penulisan yang tidak lagi stereotaip dengan menyorot isu-isu realistik di depan mata mereka sendiri.

Muncul Abang Median Abang Said, Lokman Hakim, Frankie Latit, dan Sheild Sahran serta yang terbaharu, Stefanie Kaso, dengan kegigihan serta iltizam memeriahkan ranah kesusasteraan. Nama-nama pengarang itu disebut kerana saya sudah biasa dengan kerja penulisan serta keghairahan mereka mengangkat tema-tema baharu dengan teknik penulisan yang semampu bakat masing-masing. Mereka merupakan contoh pengarang kontemporari, datang daripada latar akademik yang baik malahan berkerjaya, tetapi tetap sahaja prolifik, terutamanya Abang Median Abang Said, Lokman Hakim dan Sheild Shahran.

Sebagai pengarang yang terdedah dengan bacaan dari luar, mereka juga maklum bahawa standard penulisan sastera masa depan Sarawak (juga kebangsaan) bergantung pada sejauh mana jangkauan mutu penulisan pada ketika ini. Dunia sastera terlalu luas untuk dihadkan dengan subjek-subjek yang terlalu mengikat kreativiti seseorang pengarang kontemporari yang merdeka jiwanya. Jika tiada peningkatan, aspek itu wajar diperincikan kepada pengkritik yang amatlah diharap lebih berani, jujur, sofistikated, dan mendalam pula sudut penggaliannya. Lebih malang seandainya apa-apa yang dikerjakan dalam naskhah-naskhah hanyalah pengulangan daripada penulisan sedia ada, dan pemaksaan tema kerana sebab-sebab tertentu. Aspek demikian juga tentu tidak menyuntik nilai kemajuan yang diharapkan daripada generasi baharu.

Pada suatu ketika dahulu, ramai pengarang yang merungut sukar untuk menembusi media arus utama peringkat kebangsaan. Ruang untuk mengirim karya sangat kompetitif. Terpaksa pula bersaing dengan nama-nama pengarang mampan tempatan, sama ada berebut tempat dalam akhbar dan peraduan. Editor dituduh pilih kasih kerana hanya menyiarkan karya-karya daripada pengarang tersohor yang sudah mantap struktur penulisannya. Namun begitu, kemajuan dalam bidang teknologi dan komunikasi dunia masa kini membuka peluang dan jalan pintas kepada mana-mana pengarang, berbakat dan baru-baru menulis, untuk melihat karya mereka mudah ditempatkan ke dalam ruangan sastera. Jika barisan editor penerbit ternama sangat rigid dan cerewet, hantar sahaja ke mana-mana penerbitan bebas yang mengalu-alukan karya daripada penyumbang. Namun, untuk mengukur sesebuah karya itu berkualiti atau tidak, bukan bergantung pada kaedah penerbitan

Pintu untuk memasuki sastera tidak lagi sesukar dahulu. Di Sarawak, DBP telah bekerja sama dengan dua buah akhbar, Utusan Borneo dan Utusan Sarawak sebagai medium yang mengkhususkan bahan penulisan karyawan tempatan. Bahkan Sarawak pernah memiliki Jendela Sarawak yang diterbitkan secara berkala sebagai suatu usaha untuk menampungkan karya-karya penulisan pengarang tempatan. Sayangnya, penerbitan Jendela Sarawak terpaksa dimansuhkan pada masa kini. Hal ini bukan noktah penamat pada dunia penulisan di Sarawak. Pengarang muda diberi ruang untuk menghantar karya, sajak dan cerpen untuk disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera. Sebagai bonus, karya-karya terpilih diulas oleh barisan pengarang berpengalaman yang dilantik oleh institusi berkenaan untuk menilai kerja penulisan karyawan generasi baharu. Hal itu mengingatkan saya dengan majalah Tunas Cipta, manakala akhbar Utusan Borneo pula membuka ruangan Yang Indah Itu Bahasa untuk menempatkan karya pengarang-pengarang yang secara merit diakui kebolehan mereka pada peringkat tempatan dan kebangsaan.

Akan tetapi, ada masalah klise yang tetap sahaja serupa sebagaimana dahulu ketika berbicara tentang kesusasteraan (Sarawak) kebangsaan. Walaupun Abizai mengatakan bahawa aktiviti kritikan Sarawak masih rancak dan bernyawa, namun, jika ingin bersikap jujur, faktor ketiadaan barisan pengkritik yang berkaliber (sebagaimana disaksikan oleh peminat sastera pada tahun 1980-an) menyebabkan kerja penulisan yang semakin kompleks dan unconventional pada peringkat kebangsaan (Sarawak) belum lagi dianalisis dengan mendalam dan menyeluruh. Misalnya, karya yang dihasilkan oleh Lokman Hakim dalam genre novel, tidak lagi menekankan subjek yang biasa dengan tema penulisan di Sarawak.

Begitu juga dengan beberapa orang pengarang generasi baharu yang kian terdedah dengan pengucapan terkini. Pendekatan kritikan yang ada sekarang masih terlalu manis dan belum lagi memuaskan hati (secara peribadi buat saya), maka dimensi-dimensi baharu perlu diterokai oleh pengkritik berkelayakan agar kerja penulisan Sarawak kontemporari tidak terbiar begitu sahaja.

Jika sesebuah karya sastera itu terlalu memfokuskan tema yang dikehendaki oleh pihak tertentu, maka, di manakah jiwa tulen seseorang seniman itu semasa berkarya?

Apabila berbicara tentang senario kesusasteraan Sarawak, hal ini sebenarnya melibatkan juga fenomena penulisan pada peringkat kebangsaan. Terutamanya dengan kebangkitan pengarang-pengarang muda yang berkarya di luar daripada arus utama. Saya tidak mahu menyempitkan topik penulisan hanya semata-mata berasal dari Sarawak. Tiada faedahnya terus-menerus bercakap tentang karya pelbagai kaum, etnik dan kenegerian. Malah, persoalan ini sudah lama lapuk dan bersifat mengunci kemajmukan sastera kebangsaan. Jika pengarang itu secara konsisten mengarang dengan tema yang bukan berteraskan apa yang dipanggil sekarang ini sebagai “kearifan tempatan”, itulah jalan kebebasan yang mendarah daging dalam inti penulisannya.

Hal ini kerana, sastera wajar dinilai dengan kaca mata sastera, bak kata Budi Darma dalam Harmonium. Jika sesebuah karya sastera itu terlalu memfokuskan tema yang dikehendaki oleh pihak tertentu, maka, di manakah jiwa tulen seseorang seniman itu semasa berkarya? Demikian juga andai sesebuah karya itu ditulis tanpa bersentuhan dengan budaya setempat (harus ada itu wajib ada ini), namun masih berupaya mengungkapkan kesedaran moral seseorang pembaca dengan pokok persoalan, elemen itu biasanya muncul secara alamiah dan bukan dipaksa.

Dari dahulu lagi saya berpandangan bahawa sastera yang baik tidak semestinya diterbitkan oleh sebuah rumah penerbitan sahaja. Meraikan kepelbagaian jenis karya sastera juga bukan bermakna mencampuradukkan karya yang baik dan sebaliknya. Hanya jauhari mengenal manikam. Bertemu tanpa dirancang dengan Saharil Hasrin Sanin di dalam restoran Yusoof dan Zakhir (sempena acara Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur), kami menyentuh langgam kerja penulisan Junot Diaz dan Arundhati Roy, yang menurut pandangan Saharil Hasrin Sanin telah memperkaya bahasa dengan pelbagai lapisan takrifan baharu. Keluwesan perspektif sebegitulah yang perlu ada dalam mentaliti pengarang-pengarang generasi baharu dalam proses penulisan.

Pengarang-pengarang yang didedahkan dengan pembacaan luar berkeupayaan untuk memuaskan selera generasi masa kini yang hidup di persekitaran dan pemikiran berbeza daripada pengarang-pengarang sebelumnya, tetapi tidak semestinya menolak terus elemen-elemen jati diri yang ada di dalam negara sendiri.

Menyusuri sepanjang Tebingan Sungai di bandar Kuching, sesiapa sahaja pasti berselisih dengan pelbagai latar belakang agama dan negara dalam kalangan pengunjung yang bersantai di situ. Orang kita sudah lama terbiasa berasimilasi dengan kehidupan kosmopolitan (demikian tegas Farish Noor), jadi, pertembungan itu bukanlah sepenuhnya memudaratkan akar identiti sesebuah bangsa. Penulis berketurunan Iban tetap cekal (misalnya Jaya Ramba) mengangkat permasalahan-permasalahan yang mencengkam budaya mereka dalam karya kreatif. Demikian juga penulis-penulis dari mana-mana latar belakang, menyatakan sikap dan perspektif mereka melalui kerja penulisan yang bukan sahaja untuk dibaca oleh komuniti tertentu sahaja. Karya sastera ditulis di mana-mana di dunia ini dan dikongsi bersama. Demikianlah, bahawa Sungai Sarawak itu besar (yang sempit itu pemikiran), berliku-liku dan pernah dilalui oleh pihak kolonial sehingga bertujuan menakluki negeri yang kaya dengan khazanah, potensi tempatan serta pelbagai kaum dan etnik.

Kredit Foto: Karsten Winegeart/Unsplash

_________________________

Roslan Jomel berasal dari Kuching dan kini menulis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk mengenali lebih dekat lagi permasalahan masyarakat Malaywood di samping mengembangkan imaginasinya yang tidak seberapa. Tumpuan penulisannya ialah dalam genre cerpen, sajak serta esei.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.