Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBenedict Samling membalas bimbingan Roslan Jomel tentang penulisan karya yang “canggih”. Bimbingan tersebut disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera akhbar Utusan Sarawak bertarikh 28 Februari 2024.
Pernahkah anda mendengar atau terbaca kisah Jeron, si tukang masak berpangkat Chef de Partie yang kehilangan pisaunya?
Kehidupan seorang penulis seperti kopi. Ish! Bagaimana ingin saya mulakan pendahuluan ini. Tidak! Saya tidak akan menggunakan perkataan kopi. Kopi telah menjadi simbol yang sangat klise. Kopi muncul di mana-mana. Misalnya, dalam kumpulan sajak yang diswaterbitkan, kopi mencurah-curah di setiap halaman. Kalau tidak terminum pasti basi! Apakah tiada frasa yang lebih canggih untuk menggantikan kopi? Atau hanya terikut-ikut trend penulisan sezaman. Untuk tulisan ini, saya harus menggunakan gaya bahasa yang canggih, jalan penceritaan yang tinggi nilai noveltynya, sofistikated dan yang sewaktu dengannya.
Barangkali saya mulakan sebegini: Zaman ini bukan lagi zaman jamban cangkung berlantaikan lumut hijau yang licin berlendir. Zaman mengorek lubang hidung yang hitam kerana asap daripada pelita minyak tanah dengan jari kelengkeng juga telah lama berlalu. Zaman itu tidak akan kembali. Namun, ada zaman yang menghantui seorang lelaki bernama Jeron puluhan tahun yang lalu kini kembali, zaman itu kembali seperti kembalinya The Terminator memburu Sarah Connor, malah lebih hebat dan semakin kerap bertandang lalu mulai bersarang di lubuk hatinya. Aduh! Seperti tidak canggih ayat-ayat ini. Tidak apa, saya teruskan penulisan ini. Anggap sahaja pendahuluan ini lewah dan tidak secanggih pendahuluan Stephen King, tidak juga mirip Roberto Bolano, jauh sekali seperti pendahuluan Edogawa Rampo dan pasti tidak sama dengan pendahuluan dua puluh dua buah cerpen Roslan Jomel dalam kumpulan cerpen Posmen dalam Televisyen.
Pernahkah anda mendengar atau terbaca kisah Jeron, si tukang masak berpangkat Chef de Partie yang kehilangan pisaunya? Tidak pernah? Kalau begitu, pembacaan anda belum cukup luas. Pembacaan anda hanya seputar lingkungan keselesaan anda atau mungkin bahan bacaan anda hanya untuk menghiasi media sosial. Baiklah, terpulang pada individu tentang bahan bacaan.
Sekarang, kita pusatkan pembacaan tentang seorang lelaki bernama Jeron yang baru kehilangan pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang. Beginilah kisah Jeron:
Cis! Mengapa ia hilang ketika aku perlukannya? Tanpa pisau itu mana mungkin aku dapat menghasilkan masakan yang canggih? Untuk pertama kalinya Jeron memarahi dirinya sendiri.
Kebimbangan ketika zaman malapnya benar-benar mengacau hidupnya, mengacau kerjanya dan mengacau dapurnya di Restoran Suku-suku Separuh sehingga dapur yang dahulunya tersusun rapi seperti perpustakaan mininya menjadi kacau-bilau. Dapurnya yang beberapa kali dicalonkan untuk anugerah Lima Bintang kini tidak ubah seperti Kota Samarahan Ekspresway, jalan yang dikorek, diturap, digali, diluruskan, dibesarkan, dan tiba-tiba dikecilkan secara bermusim. Ada khabar yang dilencongkan oleh angin, jalan raya itu dikacau-bilaukan apabila tiba musim orang kaya tiba-tiba bertukar menjadi papa kedana. Atau, seperti seorang penulis yang dikhabarkan memuji-muji karyanya sendiri. Entah. Khabar angin sebegitu ada kalanya khayalan pemuda pemudi kaki botol yang menerima sekotak dua minuman keras daripada orang kaya yang baru bertukar menjadi papa kedana. Bezanya, kacau-bilau di Kota Samarahan Ekspresway memeningkan pengguna jalan raya, tetapi kacau-bilau di dapur memeningkan dirinya.
Huh! Mengapa aku tidak terima sahaja anugerah itu dahulu? Hatinya berdesis kencang, sekencang tangannya melambungkan butir-butir nasi di dalam kuali yang sepanas hatinya yang tercari-cari pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang. Andai sahaja anugerah itu diterima, pasti pisau pemberian datuk dapat disimpan di dalam muzium. Atau dipamerkan di hadapan ibu pejabat Restoran Suku-suku Separuh, restoran yang tular satu Malaysia dan heboh satu Sarawak, lebih heboh daripada Kedai Kek Mita yang menjual kek mentega yang harum semerbak. Atau, dengan anugerah itu sekurang-kurangnya para karyawan di restorannya tidak akan menghilangkan diri ketika dia dalam kebuntuan. Kalau karyawan-karyawannya masih ada bersama, tentu dapurnya tidak seperti medan perang. Hancur!
“Kamu ego,” bentak Mona ketika mendapat tahu Jeron menolak Anugerah Lima Bintang untuk kali kelima. Mona, penjaga toko buku menjadi tempat tadahan omelan Jeron yang sentiasa tidak berpuas hati dengan masakan pekerjanya.
“Ah! Ini bukan soal ego, ini soal prinsip,” Jeron mempertahankan tindakannya. Giginya berkeriut tatkala penumbuknya dihempaskan ke atas meja kayu. Setelah penumbuknya dikendurkan, dia mencapai surat-surat jemputan Anugerah Lima Bintang yang diterima sejak tahun 2001, 2002, 2003, 2004, dan 2024 yang disimpan kemas dalam sampul lut sinar. Benar, Jeron telah bersumpah di hadapan periuk belanganya bahawa dia tidak akan menerima sebarang anugerah. Dia juga tidak akan menyertai mana-mana persatuan tukang masak atau menyertai Kumpulan Masak Apa Hari Ini. Dia ingin bergerak atas usahanya. Dia ingin buktikan kejayaannya tidak akan diukur dengan anugerah. Dia tidak mahu diraikan di hotel-hotel mewah, majlis-majlis khas dan dihidangkan pelbagai jenis hidangan mewah!
Jeron yang jauh lamunannya dikejutkan dengan bunyi periuk jatuh. Periuk yang kemik buritnya itu terdampar di lantai. Jeron membiarkan matanya menjalar ke ruangan dapur restorannya. Kuali yang seperti kura-kura pecah cangkerang terkangkang di sudut dapur, sudu, garpu dan cawan bergelimpangan di bawah meja. Di atas meja besi tahan karat, terlonggok bawang merah, bawang besar, bawang putih, lada, kunyit, dan halia yang berlendir dan hampir reput. Di atas meja yang sama, satu besen brokoli yang menguning, lima ikat kangkung yang berlendir, lima ketul lobak merah dan sepuluh ketul ubi kentang ditumbuhi kulat.
Setiap sudut ruang di dapur restorannya telah diselongkar isi perut. Pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang belum juga dijumpai. Seingat Jeron, pisau itu digantung pada penyangkut yang disediakan bukan untuk pisau-pisau lain melainkan untuk pisau kesayangannya itu. Pisau pemotong daging yang ditempa daripada bijih besi yang dihadiahkan oleh datuknya dua puluh dua tahun yang lalu. Pada ketika itu, Jeron yang menjual daging ayam berhasrat untuk membuka kedai makan. Sebagai permulaan, Jeron membina sebuah bangsal untuk dijadikan warung menjual nasi ayam. Setelah berbulan-bulan mengusahakan warung nasi ayam, Jeron terpaksa berputih mata apabila warungnya dirobohkan kerana dibina di tepi jalan simpang empat. Huh! Kejadian itu amat memeritkan.
Berputus asa bukanlah sikap Jeron. Dia mengorak langkah selari dengan dunia teknologi maklumat yang semakin memecut laju. Dia mendapat lokasi dan tempat yang menjadi tumpuan ramai. Lokasi warung terbaharunya tidak lain dan tidak bukan, di hadapan bangunan pejabat pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Dia mula mempelajari teknik-teknik masakan yang sofistikated. Dalam YouTube, dia menemui banyak masakan Barat. Masakan Barat itu kemudian diubah suai dengan bahan-bahan tempatan sebagai bahan asas. Sebulan dua, warung kayunya yang berdinding atap zink, mendapat sambutan hangat oleh pekerja pelbagai agensi itu. Namun, sekali lagi dia melongo. Pekerja di bangunan itu tidak lagi dibenarkan makan dan minum di luar pejabat setelah berlakunya pertukaran kepala agensi. Dikhabarkan, setiap agensi di dalam bangunan itu disediakan kemudahan pantri. Dengan itu, luar bangunan tidak lagi kelihatan kelibat pekerja agensi. Merasakan kerugiannya semakin memuncak, dia segera menutup warungnya dan pada keesokan hari, gambar warungnya disondol oleh pengorek kaut majlis daerah tersebar di laman sosial.
Dengan saki-baki kekuatan dan keberanian yang ada, dia merangkak naik ke pejabat kerajaan yang menyediakan geran perniagaan. Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa agensi kerajaan ini mampu mengubah perjalanan hidupnya sebagai seorang usahawan Bumiputera. Lebih-lebih lagi, Menteri Ekonomi sendiri amat menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang perniagaan. Walaupun orang-orang politik acap kali diumpamakan makhluk lidah bercabang, tetapi pada kali ini dia menolak ke tepi khabar itu, biarlah khabar itu seperti angin, datang dan pergi.
Jangkaannya hampir benar. Setelah turun dan naik pejabat agensi kerajaan yang menyediakan pinjaman perniagaan itu, akhirnya dia mendapat kelulusan RM10 ribu untuk memulakan perniagaannya. Latihan demi latihan yang dianjurkan oleh agensi itu Jeron sertai tanpa jemu. Akhirnya, lahirlah Restoran Suku-suku Separuh. Dan, pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang menjadi penemannya. Restoran yang berasaskan makanan ala Barat yang telah diubah suai bahan-bahan masakannya berkembang dengan laju. Daripada satu cawangan di Kota Samarahan Sarawak kepada cawangan yang keseratus di Padang Besar, Perlis.
Namun, cawangan yang keseratus itu tidak dapat menggembirakan hati Jeron. Dia merancang untuk mengambil alih semua restoran di Malaysia lalu menggantikan menu-menu yang lapuk dengan menu ciptaannya. Dia yakin dan mungkin teramat yakin bahawa menunya menu inovasi, menu lain daripada yang lain dan menu paling kontemporari pada zaman kecerdasan buatan ini. Dia percaya, menunya dapat dinikmati oleh semua golongan – kaya, miskin, bijak, dungu, kanak-kanak, dewasa, warga emas, kelainan upaya, dan lelaki mahupun wanita.
Dia juga percaya keenakan menu di restorannya disebabkan pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang. Dia percaya pisau itu membawa tuah kepadanya sehingga dia berjaya mempunyai rangkaian restoran di seluruh Malaysia. Dia hampir dapat buktikan dia mampu berjaya walau tidak menerima sebarang anugerah dan menyertai kumpulan dan persatuan tukang masak.
“Terima saja. Kalau bukan untuk kamu, sekurang-kurangnya untuk pekerja kamu,” ujar Mona yang tidak tahu pertemuan pertama mereka itu akan menjadi pertemuan terakhir.
“Aku akan terima andai majlis anugerah itu hanya untuk aku seorang,” jawab Jeron. Dia berpaling ke arah kedai Mona yang sedang rancak menerima pelanggan yang berpusu-pusu merebut peluang membeli buku puisi swaterbit dengan harga potongan diskaun 95 peratus.
Pening. Jeron amat pening. Kepeningan yang menakluk kepalanya membuatkan dia loya, seperti dia tertelan rerambut kerinting yang sesat dalam mi desir Ah Kok lalu menggeletek tekaknya. Jika terus-menerus dalam keloyaan, isi perut Jeron pasti akan terhambur keluar. Jika dinampak oleh pekerja-pekerjanya, tentu mereka syak keadaan Jeron itu bawaan bayi dalam kandungan isterinya. Andai mereka berfikir sebegitu, mereka silap. Amat silap. Jeron tidak beristeri walaupun banyak kali cuba dijodohkan dengan Mona, pemilik toko buku di hadapan restorannya. Malangnya, pertemuan mereka yang pertama di Restoran Suku-suku Separuh menjadi yang terakhir dan pertemuan itu tidak akan berulang. Tidak mungkin! Jeron berprinsip. Dia tidak akan merayu kepada Mona untuk kembali ke pangkuannya.
Entah mengapa restorannya yang terkenal dengan makanan ala-ala Barat tiba-tiba menjadi lengang. Tiba-tiba sahaja menjadi tersisih. Tidak mungkin diboikot rentetan pembedilan wilayah Palestin. Andai pelanggan memboikot restoran ini tentu restoran makanan segera yang lain juga lengang. Tetapi, mengapa restoran bermaskotkan badut dan restoran ayam goreng pak cik berambut putih masih sesak? Sesesak kedai kek tular yang dahulunya sepi di penghujung deretan kedai. Pembedilan manusia oleh Rejim Benjamin Netanhayu telah pun terhenti setelah mencapai kata sepakat dengan Presiden berkuasa veto, Joe Biden. Ya! Kuasa veto, kuasa yang kononnya dapat memaksa manusia menelan sebutir demi sebutir kata-kata yang dimuntahkan. Apakah pemboikotan juga dihentikan? Atau, buku-buku puisi kedai Mona yang “mengkopikan” setiap halaman dan mengecam tindakan Benjamin Netanhayu telah sampai di atas meja Perdana Menteri yang dahagakan darah manusia?
‘Bukankah aku telah menukar makanan Barat itu mengikut tekak orang tempatan? Apakah mereka tidak lagi menyukai stik yang dibakar di dalam daun pisang? Bukankah telah kugantikan kentang goreng dengan ubi keladi goreng? Mereka tidak lagi suka ayam kampung goreng yang menggantikan ayam belanda panggang? Mungkinkah pisau itu benar-benar membawa nasib yang baik kepada restoranku?’ tanya hati kepada Jeron yang masih duduk memeluk lutut di belakang rak peralatan memasaknya yang mula dijajah sawang.
Kisah ini saya bentangkan kerana tertarik dengan satu perkataan dalam bimbingan cerpen oleh Roslan Jomel.
Begitulah kisah Jeron yang kehilangan pisau pemotong dagingnya. Andai anda cuba mencari cerita yang seumpama ini, pasti anda tidak akan temui. Yang anda jumpa hanyalah harapan palsu atau kata-kata yang tergantung di sana-sini dalam buku yang anda beli setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat. Kata-kata dalam buku itu pula seperti cuba dipadatmasukkan ke dalam mulut kalian. Haruskah kalian mengangakan mulut untuk menyambut kata-kata itu? Terpulang.
Kisah ini saya bentangkan kerana tertarik dengan satu perkataan dalam bimbingan cerpen oleh Roslan Jomel. Terima kasih Tuan Roslan Jomel kerana tidak jemu membimbing penulis baharu seperti saya. Ya, sebagai penulis baharu, saya mengikuti setiap bimbingan yang diterbitkan oleh Utusan Sarawak dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS)[1]. Pembimbing untuk cerpen seperti Abang Median Abang Said dan Lokman Hakim saya ikuti serapat-rapatnya. Malah, bimbingan mereka saya guna untuk mengadunkan karya kreatif. Terima kasih kepada para pembimbing.
Namun, ada sesuatu yang membuncitkan persoalan dalam benak ketika membaca bimbingan itu. Perkataan ‘canggih’ kerap diulang pakai oleh Tuan Roslan Jomel, baik di WBS mahupun di Tunas Cipta. Adakah ini perkataan kegemaran Tuan Pembimbing? Saya tidak pasti. Mungkin Tuan Pembimbing ada jawapannya.
Untuk tidak membiarkan persoalan itu terus membuncit, maka dilontarkan pertanyaan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh penulis baharu (saya juga penghuninya). Pentadbir kumpulan WhatsApp dan salah seorang ahli kemudian mengajukan pertanyaan itu kepada Tuan Pembimbing lalu mereka berdua kongsikan maklum balas daripada empunya badan ke dalam kumpulan itu. Malangnya, jawapan Tuan Roslan Jomel menerbitkan persoalan baharu yang menambahkan kebuncitan persoalan yang sedia ada. Menarik. Persoalan yang terbit ini seperti memadankan rungutan Naim al-Kalantani tentang gaya penulisan Tuan Roslan Jomel yang telah berubah sejak akhir-akhir ini.
Maka dengan ini, bahawasanya saya penulis baharu ingin menghamparkan persoalan berikut: Adakah ada persetujuan bahawa “kecanggihan” penulisan akan menjamin nikmat pembacaan? Mungkinkah “kecanggihan” yang digantungkan itu akan menaikkan nilai estetika sesuatu karya? Bagaimana pula rupa bentuk “canggih” dalam penulisan yang Tuan Roslan Jomel mahukan?
Membaca bimbingan cerpen Tuan Roslan Jomel untuk kali kelima pada hari yang sama mengingatkan saya pada kata-kata seorang profesor. Kata beliau, andai membaca jangan dilihat siapa penulisnya, sebaliknya selongkar dahulu isi perut tulisan tersebut. Jikalau tidak bermanfaat, cepat-cepat tengok siapa penulisnya dan jangan dikenang nama penulis itu. Maka, sepintas lalu saya teringat akan tulisan David Foster Wallace, Sam Sax, Umberto Eco, Voltaire, Ursula K. Le Guin, dan Thomas Merton (sebenarnya banyak lagi).
Kepada Naim al-Kalantani, jelaslah Tuan Roslan Jomel bukan seorang lebai yang biasa. Jika Tuan Naim belum pernah membaca bimbingannya di ruangan WBS, jemputlah menyelongkar citra yang tuan cari daripada penulis ikon tuan ini di situ. Lihatlah bagaimana satu bimbingan ini sahaja telah menjungkirbalikkan jiwa dan perasaan penulis-penulis baharu di Sarawak (paling tidak, dalam kumpulan WhatsApp itu). Tuan Roslan Jomel mungkin sedang merencanakan sesuatu untuk penulis baharu di Sarawak. Beliau sedang mencorakkan penulisan kami menjadi canggih, barangkali secanggih The Lady Matador’s Hotel.
Cuma, mungkin seperti Jeron, beliau belum menjumpai pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang itu. Andai suatu hari nanti Tuan Pembimbing yang kami sayangi ini menjumpai pisau itu, nescaya bukan sahaja WBS terbelah dua, malah rumah-rumah sastera akan kami takluki. Dan, setelah beliau berpuas hati dengan kecanggihan gaya penulisan penulis baharu, mungkin beliau akan kembali kepada fitrahnya – menyarungkan topi, lalu duduk bersama-sama kami di majlis anugerah sastera sambil menikmati lima jenis hidangan sementara menanti namanya dipanggil untuk memeluk Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak atau yang setara.
Kepada Tuan Pembimbing yang kami kasihi, apakah benar pisau pemotong daging berhulukan kayu pokok engkabang itu yang membuatkan masakan itu enak atau ramuan atau teknik menggoyangkan kuali di atas jelaga api?
Kredit Foto: Todd Quackenbush/Unsplash
[1] Ruangan sastera dalam akhbar Utusan Sarawak kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak yang menyiarkan karya penulis pemula.
_________________________
Benedict Anak Samling berasal dari Sarawak. Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Kimia dari Universiti Sains Malaysia. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Dewan Kosmik, Dewan Budaya, dan SelangorKini. Memenangi beberapa sayembara penulisan kreatif termasuk cerpen STEM anjuran Unisel-DBP, cerpen kearifan tempatan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, cerpen kebudayaan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak dan Majlis Seni Sarawak, serta cerpen legasi anjuran Pustaka Negeri Sarawak. Menerima Hadiah Sastera Tunas Sarawak kategori cerpen dan puisi pada tahun 2023.