4 November 2023, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kami siarkan kembali esei Fokus Muhammad Lutfi Ishak yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera Bil.12/2023. Esei ini diubah suai daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011. Esei ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.

Teks sastera dilihat seperti pelacur yang – apabila hadir ke dalam masyarakat, hanya menjadi objek pemuasan nafsu pembaca. Akibatnya, visi peribadi penulis tidak relevan untuk dikenal pasti.

Keadaan tersebut sangat berbeza apabila kehidupan dilihat dalam konteks pandangan alam yang sekular. Karya-karya sastera tersebut mengagungkan kehidupan yang sementara dan dilihat dalam perspektif yang diasaskan pada peluapan emosi, hedonisme dan ketiadaan makna. Sastera, dalam semangat pascamoden melihat sesuatu teks mengalami kehampaan makna akibat pelbagai masalah dalam teks (Jacques Derrida, 1998), di samping matinya pengarang setelah sesuatu teks sastera itu ditulis (Roland Barthes, 1977).

Teks sastera dilihat seperti pelacur yang – apabila hadir ke dalam masyarakat, hanya menjadi objek pemuasan nafsu pembaca. Akibatnya, visi peribadi penulis tidak relevan untuk dikenal pasti. Pembacaan karya sastera dalam semangat pascamoden ini menukar dunia sastera sebagai pasar pelacur. Oleh itu, kualiti teks kesusasteraan dan persuratan, dirumus berdasarkan standard individu/konvensyen dan kehendak pasaran seperti yang tergambar dalam fenomena dunia sastera tanah air sekarang, apabila kebanyakan penerbit meletakkan standard laku keras sebagai syarat utama penerbitan buku.

Tanpa menafikan masyarakat boleh sahaja sedar dan akhirnya insaf akan kepentingan membaca bahan sastera dan bahan bacaan yang berkualiti dengan menidakkan selera yang terlalu menekankan kehendak peribadi yang relatif, namun terlebih dahulu, hal itu menjadi sukar dalam konteks pasaran sekarang, apabila kehendak golongan terbesar terlalu diutamakan.

Dalam hal ini, pengukuhan terhadap pandangan alam merupakan satu tuntutan, agar dunia sastera dapat disorot dalam visi yang betul. Peneguhan terhadap pandangan alam Islam akan mewujudkan mas’uliah[1] atau sikap bertanggungjawab. Akibat sikap bertanggungjawab itu lahir hasil penghayatan pandangan alam Islam, maka, sikap bertanggungjawab itu lebih kukuh dan teguh. Jalaluddin Rumi (2004:4), seorang gergasi tasawuf menegaskan potensi agama yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Menurutnya, agama sentiasa menghadirkan satu keyakinan dan pemahaman yang jitu, khususnya apabila penggunaan nalar dimanfaatkan dengan semaksimum mungkin. Namun, apabila fungsi nalar dikesampingkan, pemahaman yang tumbuh di dalam diri tidak akan mampu mengenali kekuatan yang ada dalam agama. Oleh itu, apabila mas’uliah atau sikap bertanggungjawab dilihat dalam pandangan alam Islam, maka, pemahaman terhadap konsep mas’uliah itu tentunya lebih menyeluruh, sesuai dengan potensi nalar dalam mengenal pasti dan menghujahkan kebenarannya.

Hal ini berbeza dengan sikap bertanggungjawab yang berlandaskan falsafah sekular. Sikap bertanggungjawab yang ditambat pada falsafah sekular akan menghalang pencapaian sikap bertanggungjawab yang hakiki (Wan Nor Wan Daud, 2007:26–27). Falsafah sekular, yang menafikan kewujudan Tuhan atau mengeluarkan Tuhan dalam sistemnya yang mekanikal, akan meletakkan manusia sebagai satu-satunya penilai yang sah seperti yang didakyahkan dalam humanisme. Apabila manusia dijadikan satu-satunya penilai, pelbagai kerancuan akan timbul, akibat wujudnya pelbagai tafsiran yang dipengaruhi oleh pertimbangan peribadi, realiti semasa, kebudayaan dan sejarah. Hal ini tidak berlaku dalam sikap bertanggungjawab yang dipasak oleh pandangan alam Islam. Tuhan, sebagai satu Kewujudan yang Absolut, serta Maha Mengetahui, akan menimbulkan kesedaran kepada setiap individu agar sentiasa melakukan sesuatu sesuai dengan perintah-Nya. Apabila Tuhan tidak terbatas pada ruang dan jisim[2] dan manusia pula sebagai jisim yang sentiasa terbatas pada ruang dan waktu, maka implikasinya, segala yang dilakukan itu berada dalam ruang dan waktu, dan segala yang berada dalam ruang dan waktu sentiasa ada dalam pengetahuan-Nya.

Selain itu, penjelasan tentang sikap bertanggungjawab tersebut tidak didasarkan pada rumusan peribadi, tetapi satu ketetapan yang ditentukan oleh Tuhan, sesuai dengan perkembangan kejadian manusia itu sendiri, dan dirumuskan berdasarkan maqasid syariah, yang meletakkan lima perkara sebagai tunjangnya, iaitu menjaga, memartabatkan dan memperkasakan (1) agama, (2) akal, (3) nyawa, (4) harta, dan (5) keturunan (Wan Nor Wan Daud, 2006:13). Dalam Islam, kewajipan tidak ditentukan oleh undang-undang, seperti kewajipan dan tanggungjawab yang didasarkan pada faham sekular, yang menafikan perbezaan perkembangan setiap individu. Martabat setiap kewujudan dan perkembangan yang berbeza, menyebabkan masa wajibnya melaksanakan tanggungjawab akhlakiah tidak sama. Setiap individu diwajibkan melaksanakan kewajipan-kewajipan tersebut, sesuai dengan fitrahnya, sesuai dengan penggunaan perkataan tanggungjawab (tanggung – kemampuan fizikal + jawab kemampuan akaliah/ilmu) itu sendiri, yang tidak sahaja merangkumi tanggungjawab terhadap diri, malah kepada orang lain dan juga kepada entiti lain yang lebih tinggi dan penting.

Tanggungjawab tersebut pula tidak perlu dilakukan sekali gus tetapi secara bertahap, bermula dengan tanggungjawab terhadap diri dan Tuhan setelah baligh, kemudian diikuti oleh tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Dasar tanggungjawab itu dirumuskan oleh satu kontrak individu, yang dilakukan oleh setiap insan di hadapan Tuhannya sewaktu berlangsungnya perjanjian Asali (Al-Attas, 2001:83–84). Syed Wali-Allah al-Dihlawi (2005:85–89) sewaktu menghuraikan dimensi batin di sebalik pembebanan tanggungjawab agama ini, merumuskan bahawa amanah yang dipertanggungjawab oleh Tuhan itu didasarkan oleh kemampuan manusia yang mampu menilai dan menerima segala kesan daripada penerimaan tanggungjawab itu berdasarkan potensi malaikat dan potensi haiwaniyah yang terkandung dalam diri manusia. Dalam merumuskan hal ini, Affandi Hassan (2008:34) menjelaskan penjelasan konsep tanggungjawab agama Syed Wali-Allah al-Dihlawi itu dicirikan oleh tiga perkara penting, iaitu ilmu pengetahuan, keberanian dan keadilan.

Akibat tiga ciri yang terselindung di sebalik tanggungjawab agama itu, dan setelah dikaitkan dengan aktiviti penulisan dan pengkaryaan, maka, aktiviti penulisan dan pengkaryaan akan ditanggapi sebagai satu bentuk aktiviti yang sedar. Seperti juga potensi memikul tanggungjawab yang dihujahkan oleh Syed Wali-Allah al-Dihlawi, maka, penulisan yang dijadikan sebagai satu aktiviti yang dilakukan dengan penuh sedar, tidak boleh terkeluar daripada lunas-lunas agama akibat pengoptimunan potensi kemalaikatan dalam diri manusia. Bersandarkan pandangan seperti ini juga, maka penulisan akan memiliki makna yang mulia, dan tidak lagi dilihat sebagai satu aktiviti pelampiasan perasaan dan pemenuhan keinginan-keinginan peribadi yang semu.

Tentangan, Cabaran dan Kewajiban untuk Tampil

Keterlibatan penulis dalam masyarakat ialah satu pelakuan positif diri untuk tampil, satu usaha untuk mengesahkan kewujudan diri penulis, satu gerak kreatif kehidupan untuk menyatakan aku sebagai penulis itu ada dan hidup dalam masyarakat.

Apabila penulis mengabaikan tanggungjawab, kewujudan penulis itu sendiri akan dipersoal. Akhirnya, kewujudan mereka tidak memberikan apa-apa erti kepada masyarakat. Pada tahap ini, golongan penulis akan terjerumus ke dalam longkang zaman. Biarpun penulis bertanggungjawab untuk menulis, namun hakikat itu tidak menafikan kewujudan tanggungjawab lain yang lebih besar.

Tanggungjawab seorang penulis sastera tidak tamat setelah berjaya melahirkan karya-karya yang tinggi nilai estetikanya, namun dalam masa yang sama penulis perlu sentiasa hadir ke dalam masyarakat dengan pandangan-pandangan yang rasional atau karya-karya kreatif yang menggugah. Dalam karya monumentalnya, Javid Namah, Muhammad Iqbal (1991:7) menghuraikan falsafah ada dan tiada serta makna hidup. Ada dimaknakan sebagai kehendak untuk tampil dan menjelmakan diri manakala hidup pula dijelaskan sebagai kemahuan untuk membuktikan bahawa diri itu wujud.

Keterlibatan penulis dalam masyarakat ialah satu pelakuan positif diri untuk tampil, satu usaha untuk mengesahkan kewujudan diri penulis, satu gerak kreatif kehidupan untuk menyatakan aku sebagai penulis itu ada dan hidup dalam masyarakat. Penulis bergantung pada kewujudan masyarakat dalam satu bentuk hubungan yang organik. Apabila hendak menulis, seorang penulis pada zaman ini tidak akan mampu mengerjakan kerja kepengarangannya hanya dengan memiliki idea tetapi sekurang-kurangnya memerlukan sebuah komputer bimbit untuk mengarang, meja untuk meletakkan peralatan serta kertas dan mesin pencetak untuk mencetak karya yang siap dikarang. Ketiga-tiga jenis peralatan itu, semuanya berkaitan masyarakat. Komputer bimbit, meja, kertas dan mesin pencetak mesti dibeli kerana tidak ada penulis yang mampu mencipta semua peralatan tersebut, dan kerana itu, segala punca kepada transaksi agar berjayanya proses pembelian itu, memerlukan keterlibatan pelbagai pihak dalam masyarakat.

Keadaan itu meletakkan penulis sebagai sebahagian daripada masyarakat. Untuk itu, para penulis perlu meleburkan diri mereka ke dalam masyarakat, dan menggalas tanggungjawab. Setiap zaman mempunyai cabarannya yang tersendiri dan cabaran tersebut dihadapi oleh golongan penulis sesuai dengan kapasiti ilmu dan kreativiti mereka. Dalam konteks merumuskan pelbagai masalah zaman, pelbagai golongan, khususnya ilmuwan gigih menganalisis bagi mengenal pasti masalah yang sebenar.

Kerja-kerja menganalisis masalah dan cara mengatasinya, tentu tidak dapat dilakukan oleh semua orang, termasuk semua penulis. Dalam hal ini, terdapat segelintir kecil golongan pemikir yang mempunyai kekuatan akal dan penglihatan batin yang mendalam bagi mengenal pasti masalah sebenar, dan mencadangkan jalan penyelesaiannya. Namun, kenyataan ini tidak menafikan perlunya semua penulis melibatkan diri dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut, khususnya dalam menjadi ejen sosial, dan menggerakkan masyarakat secara umum untuk sedar akan masalah yang dihadapi.

[1] Menurut Wan Nor Wan Daud, penggunaan istilah mas’uliah lebih tepat, kerana berdasarkan perkataan Arab, Masuliyyah. Istilah tersebut berakarkan agama dan akhlak Islam dan digunakan dalam banyak tempat dalam literatur Islam. Untuk penjelasan lanjut, rujuk Wan Nor Wan Daud, “Intergriti dan Masuliah dalam Kepimpinan”, hlm. 26 dlm. Anis Yusal Yusoff, Mohd Rais Ramli dan Zubayry Abadi Sofian (ed.), Intergriti Politik di Malaysia (Institut Intergriti Malaysia, 2007).

[2] Tidak ada yang tersembunyi daripada ilmu Allah walau seberat atom, di langit, dan tidak juga di bumi. Rujuk Surah Saba, ayat ke-3.

Bersambung

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Sekilas |

Kredit Gambar: Nick Brunner/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.