13 Disember 2023, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kami siarkan kembali esei Fokus Muhammad Lutfi Ishak yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera Bil.12/2023. Esei ini diubah suai daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011. Esei ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.

Para pemikir mereka, khususnya setelah Barat menjadi pusat ketamadunan, sentiasa menghadirkan pandangan-pandangan untuk menyelesaikan masalah mereka yang khusus tetapi kemudiannya memaksakan penyelesaian tersebut secara umum untuk seluruh dunia.

Dalam konteks abad kini, pelbagai tesis tentang dilema sebenar masyarakat diutarakan. Namun begitu, tesis tersebut perlu dianalisis dengan penuh kepekaan tanpa mengabaikan konteksnya. Kebiasaannya, tesis yang diajukan, didasarkan pada pandangan alam dan konteks kesejarahan. Dalam bahasa disiplin pascakolonial dan oksidentalisme misalnya, sentiasa wujud pihak yang dijajah dan yang menjajah. Sentiasa ada self dan the Other. Para pemikir tersebut ialah representasi pandangan alam dan masalah mereka. Sebarang penerimaan analisis, tanpa kritikan dan penelitian yang bersandarkan pandangan alam Islam, dikhuatiri menjerumuskan penulis ke dalam lubang biawak.

Pemikiran Lubang Biawak ialah jargon seorang ahli jiwa Muslim dari Sudan, Malik B. Badri kepada segolongan intelektual di dunia Islam yang sering mengikut apa-apa sahaja tindakan atau pendapat golongan intelektual dari Barat secara membuta tuli. Malik B. Badri (1989:1-2) menyandarkan pendapatnya berdasarkan satu hadis Sahih Muslim yang menyatakan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa satu masa nanti, umat Islam akan mengikut setiap sikap dan pemikiran Barat secara fanatik.[1]

Secara lebih khusus, pemikiran lubang biawak ini juga menggambarkan sikap keseluruhan kehidupan moden masyarakat Muslim khasnya golongan intelektual yang suka mengambil teori dan pendekatan dari Barat, tanpa melihat pada konteks dan tanpa menyaringnya berdasarkan pandangan al-Quran, hadis dan tradisi keilmuan Islam. Oleh itu, sebarang usaha pengambilan pandangan dari luar, dalam mengatasi masalah dalaman mesti disaring secara ketat oleh usaha intelektual yang radikal.

Pada paruh hujung abad ke-20, tesis Fukuyama (1989) tentang pengakhiran sejarah mendapat perhatian yang meluas dalam dunia akademik. Menurut beliau, sejarah manusia telah tamat (sempurna) setelah demokrasi liberal yang termanifestasi dalam kewujudan Amerika Syarikat sebagai adikuasa dunia tidak lagi dicabar. Fukuyama tidak menafikan konflik akan muncul, tetapi konflik yang muncul itu bukan lagi pada skala global dan berbentuk pertembungan idea. Akibatnya, menurut Fukuyama, konflik seperti itu sangat membosankan. Tesis Fukuyama itu kemudiannya mendapat sanggahan oleh Samuel Huntington. Menurut Huntington (1996), kesalahan besar Fukuyama adalah kerana masih berpijak atas “paradigma perang dingin” apabila merumuskan teorinya tentang pengakhiran sejarah. Padahal, pascaperang dingin, pelbagai konflik yang berlaku harus ditilik dalam paradigma yang baru dan tidak terikat dengan paradigma lama, yang tidak lagi mampu menjelaskan pelbagai perkembangan terkini. Dalam hal ini, Huntington menggagaskan teori “benturan peradaban”. Dalam teori tersebut, hegemoni Barat akan dicabar oleh Islam.

Polemik ini mesti dibingkaikan dalam konteksnya. Yang pertama, pada tahap kefalsafahan, kedua-dua pemikir ini ialah penganut Hegelian. Kedua, mereka berpijak pada pandangan alam sekular, yang menafikan keabsahan agama sebagai jalan penyelesaian. Ketiga, kedua-duanya mewakili kepentingan dan sentimen peradaban Barat. Fukuyama berhujah untuk meneguhkan dominasi dan keagungan Barat secara umum dan Amerika Syarikat secara khusus. Huntington pula berhujah supaya Barat tidak leka, dan dalam hal ini Amerika Syarikat perlu melakukan sesuatu agar ancaman Islam, dapat diatasi.

Oleh itu, pada dasarnya, kedua-dua pemikir ini bukannya bercakap bagi kemaslahatan dunia, tetapi demi keagungan Barat semata-mata, cuma nada dan kelunakannya berbeza. Sikap kedua-dua pemikir Barat tersebut bukanlah asing dan baharu. Kedua-duanya memperlihatkan satu sikap yang boleh dipolakan sebagai “keangkuhan Barat” dalam kesarjanaan dan kebudayaan. Para pemikir mereka, khususnya setelah Barat menjadi pusat ketamadunan, sentiasa menghadirkan pandangan-pandangan untuk menyelesaikan masalah mereka yang khusus tetapi kemudiannya memaksakan penyelesaian tersebut secara umum untuk seluruh dunia. Padahal, masalah yang dihadapi oleh masyarakat bukan Barat tidak sama.

Walaupun bahasa yang digunakan oleh Iqbal bukannya bahasa Melayu, namun, kata-kata kunci yang terdapat dalam semua bahasa Islam, termasuk bahasa Melayu, Urdu dan Parsi, akhirnya mewujudkan satu tafsiran yang universal. Hal ini berbeza dengan karya-karya Barat, yang ditulis bukannya berdasarkan perkongsian kata kunci, malah, didasarkan oleh kontekstualisasi, yang tidak dapat melepasi had konteks kelahiran karya itu.

Hal yang sama juga berlaku dalam konteks kesusasteraan, apabila kesusasteraan Barat dilihat mewakili satu universalisme kebudayaan dan kehidupan. Pandangan sebegini timbul akibat tidak melihat konteks kesusasteraan Barat dalam pandangan yang lebih luas dan menyeluruh.

Teks kesusasteraan Barat itu menggambarkan masalah-masalah kontekstual, dan kerana itu, menafikan aspek universalisme seperti yang dihujahkan oleh sesetengah pihak. Sebagai contoh, hasil pengalaman pembacaan terhadap novel Jean Paul Sarte, tidak boleh dijadikan satu konteks universal, kerana, pada dasarnya, novel-novelnya lahir untuk menghadirkan satu ekspresi beliau dalam mengatasi kemelut masyarakat Barat pada zaman tersebut. Depresi perang, keputusasaan terhadap Tuhan, dan keinginan untuk keluar daripada tragedi kehidupan merupakan dasar utama novel-novel beliau. Hal yang sama juga turut berlaku dalam novel kebanyakan penulis agung Barat, misalnya Gustave Flaubert, yang melihat kerja penciptaan sebagai satu perlakuan klinikal.

Untuk itu, seorang pengarang harus bertindak sebagai saintis apabila berhadapan dengan kerja-kerja pengkaryaan, hadir dengan seobjektif mungkin, penuh ketelitian dan ketenangan. Dalam pandangan naturalis sebegini, seperti yang digambarkan dalam konsepsi kepengarangan Gustave Flaubert, seorang sasterawan mempunyai persamaan dengan ahli jiwa dan ahli sosiologi yang sedang mencuba hipotesisnya.

Persoalannya di sini, apakah hipotesis yang diujinya, dan apakah objek ujiannya serta dari manakah objek hipotesisnya itu? Apakah hipotesisnya itu bersifat universal, didasarkan pada masalah universal, atau masalah masyarakatnya? Di sini, timbul bacaan yang khusus, yang menidakkan satu tafsiran umum, seterusnya menafikan aspek kesejagatan karyanya.

Namun begitu, hal ini berbeza daripada sikap dan isi karya yang ditunjukkan oleh kebanyakan penulis Muslim yang melakukan aktiviti kepengarangan mereka berdasarkan pandangan alam Islam. Dari satu segi, masalah tertentu, khususnya yang berkait rapat dengan masalah ekonomi, politik dan budaya, mempunyai kemiripan dengan masalah masyarakat Barat. Namun, perbezaannya wujud apabila masyarakat Islam tidak mempunyai masalah metafizik, seperti yang dihadapi oleh masyarakat Barat. Mereka berkongsi satu pandangan alam yang sama tentang kehidupan, khususnya pemahaman-pemahaman penting yang terangkum dalam kata-kata kunci yang disari daripada al-Quran, yang mempunyai kaitan yang sangat akrab dalam pembentukan pandangan alam umat Islam.

Akibat tidak menghadapi masalah tersebut, tidak berlaku kehampaan dalam kalangan pemikir Muslim, malah, Islam mempunyai rekod yang cemerlang dalam sejarah ketamadunan manusia. Akibat tidak pernah hampa pada agama, maka, masalah-malah tersebut diselesaikan dengan memanfaatkan prinsip-prinsip agama yang tidak berubah. Pada zaman penjajahan, kebanyakan masyarakat Muslim di dunia ini mengalami masalah yang sama, berkaitan kemunduran dalam bidang sosioekonomi dan kekacauan dalam ranah sosiopolitik. Namun, dalam menyelesaikan masalah tersebut, kebanyakan pemikir dan karyawan menggunakan agama untuk mengatasinya.

Sebagai contoh, karya-karya Iqbal ialah satu catatan sejarah yang ampuh. Iqbal kembali ke tradisi tasawuf dengan menggagaskan pengenalan kepada diri untuk kembali merebut kekuasaan di dunia. Pemanfaatan tradisi keilmuan Islam, dan pemahaman yang mendalam terhadap agama, akhirnya menyebabkan karya-karya Iqbal, dalam konteks masyarakat Muslim, boleh dibaca dalam mod universal, memandangkan masalah tertentu yang dihadapi oleh masyarakatnya, diselesaikan dengan pendekatan yang universal. Walaupun bahasa yang digunakan oleh Iqbal, bukannya bahasa Melayu, namun, kata-kata kunci yang terdapat dalam semua bahasa Islam, termasuk bahasa Melayu, Urdu dan Parsi, akhirnya mewujudkan satu tafsiran yang universal. Hal ini berbeza dengan karya-karya Barat, yang ditulis bukannya berdasarkan perkongsian kata kunci, malah, didasarkan oleh kontekstualisasi, yang tidak dapat melepasi had konteks kelahiran karya itu.

Oleh itu, penulis muda dan mapan mempunyai komitmen yang sangat besar untuk melebur dalam masyarakatnya. Suara dan hasil karya mereka menjadi penting, memandang keterlibatan mereka dalam masyarakat, khususnya dalam ruang-ruang wacana, akan memastikan penguasaan mereka terhadap ruang wacana itu. Keterlibatan aktif penulis dalam wacana, dalam ruang-ruang surat khabar, laman sesawang dan lain-lain tidak didasarkan pada tujuan untuk menguasai wacana sebagai jalan melahirkan pengetahuan yang akhirnya untuk memiliki kekuasaan, seperti yang dihujahkan oleh Foucault, namun, penguasaan wacana itu dilakukan untuk menjamin terbelanya kebenaran.

Peminggiran penulis daripada terlibat daripada ruang wacana tersebut, akhirnya akan memudahkan ruang-ruang wacana dikuasai, dan pengetahuan yang dihasilkan kemudiannya, dibentuk untuk mengukuhkan kekuasaan. Sikap meminggirkan diri akhirnya ialah kebalikan kehendak untuk tampil, satu sikap pasif yang menafikan bahawa penulis itu ada dan wujud dalam masyarakatnya.

Setiap generasi mempunyai cita-cita dan tentangan zaman yang tersendiri. Untuk itu, sebelum berhadapan dengan segala bentuk cabaran dan mahu mencapai cita-cita tersebut, penulis sepatutnya mengukuhkan aspek pandangan alamnya. Dengan pengukuhan pandangan alamnya, dalam konteks ini, pandangan alam Islam, maka, setiap penulis akan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipannya berdasarkan teras agama itu sendiri. Dengan itu, pelbagai cabaran zaman akan dapat dijawab dengan betul, masalah-masalah yang sebenar dan palsu akan dapat dikenal pasti, seterusnya penulis mampu menghasilkan karya bagi mengatasi kemelut tersebut. Namun, penulis juga harus terlibat dengan aktif, harus melebur dalam masyarakatnya, menguasai ruang-ruang wacana, agar kebenaran dalam wacana tersebut sentiasa terbela. Peminggiran penulis dalam ruang-ruang wacana tersebut, pada akhirnya akan memudahkan pelbagai bentuk kezaliman bermaharajalela, seterusnya masyarakat akan meminggirkan kepentingan penulis dan memadamkan kewujudan mereka dalam pertimbangan-pertimbangan penting.

Rujukan

Affandi Hassan, Ungku Maimunah dan Mohd Zariat, 2008. Gagasan Persuratan Baru. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Fukuyama, Francis, “The End of History” dlm. The National Interest 16, Summer, 1989.

Hashim Hj. Musa, 2008. Hati Budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad ke-21. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Huntington, Samuel P., “The Clash of Civilizations” dlm. Foreign Affairs 72:3, Summer, 1996.

Jacques Derrida, 1998. Of Grammatology. Maryland: Johns Hopkins University Press.

Jalaluddin Rumi, 2004. Yang Mengenal Dirinya, Yang Mengenal Tuhannya. Diterjemah oleh Anwar Kholid. Bandung: Pustaka Hidayah.

Malik B. Badri, 1989. Konflik Ahli Psikologi Islam. Diterjemah oleh Fadlullah Wilmot. Petaling Jaya: IBS Books.

Muhammad Iqbal, 1991. Javid Namah: Kitab Keabadian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roland Barthes, 1977. Image, Text, Music. London: Fontana Press.

Seyyed Hossein Nasr, 1993. Seni dan Spiritualitas. Bandung: Mizan.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1993. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ISTAC.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2001. Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2007. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

V.I Braginsky, 1993. Nada-nada Islam dalam Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Nor Wan Daud, 2006. Masyarakat Islam Hadhari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Nor Wan Daud, 2007. “Integriti dan Mas’uliah dalam Kepimpinan” dlm. Anis Yusal Yusoff, Mohd Rais Ramli dan Zubayry Abady Sofian (ed.), 2007. Integriti Politik di Malaysia: Ke Arah Kefahaman yang Lebih Sempurna. Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia.

[1] Sabda Nabi, “Kamu akan mengikut tabiat (sunan, cara hidup, tatacara) orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak nescaya kamu turut sama ke dalamnya. Kami (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah (yang Engkau maksudkan itu) orang-orang Yahudi dan Nasrani?’ Baginda menjawab: ‘Siapa lagi?’”

Baca Bahagian Pertama dan Kedua Sekilas |

Kredit Gambar: Nick Brunner/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.