Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akademi DBP, pengelola Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) 2023 melalui wakilnya berkata, bengkel ini dijayakan agar para pesertanya dapat membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mendaulatkan bahasa Melayu, menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air.
Calon yang terpilih sebagai Munsyi Dewan (Sastera) akan mewakili DBP sama ada sebagai pembimbing, pakar rujuk dalam bidang sastera (lisan, tulisan dan digital), selain pembentang kertas kerja bertauliah.
Peserta yang dilantik sebagai Munsyi Dewan (Sastera) berpeluang untuk menerima watikah pelantikan, menerima lencana khas Munsyi Dewan, terlibat dalam program kesusasteraan di dalam dan luar negara, serta layak menjadi panel penilai atau penyunting buku dan manuskrip terbitan DBP.
Peserta terpilih kelak akan ditauliahkan dalam satu majlis yang akan ditentukan oleh DBP.
Seramai 26 orang peserta telah terpilih sebagai calon dan mengikuti bengkel ini yang berlangsung pada 12 hingga 14 September lalu, di Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Peserta terdiri daripada pelbagai latar bidang penulisan kreatif, yang merupakan dalam kalangan pendidik, ahli akademik, pegawai agensi kerajaan dan swasta, penyelidik, sasterawan, aktivis, dramatis, dan penggiat sastera dari seluruh negara.
Bengkel kali ini dikendalikan oleh beberapa penceramah yang juga merupakan kakitangan DBP atau Munsyi Dewan (Sastera), termasuk Encik Shah Rizal Azwan Ghazali, Dr. Ariff Mohamad, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Encik Wahab Hamzah, Encik Saifullizan Yahaya, Encik Muhammad Lutfi Ishak, Encik Roslan Madun, dan Dr. Mohamad Shahidan.
Kredit Foto: Nelawati Ngadul dan Izzat Isa