20 Februari 2024, 08:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak menampilkan kepentingan memahami sensitiviti epistemologi kata kunci apabila mengarang dalam karya sastera.

Sesiapapun yang masuk dalam sastera, pasti akan menganut salah satu faham daripada dua kelompok ini, tidak kiralah langsung atau tidak langsung. Dua kelompok ini sifatnya macam air dengan minyak, tidak akan boleh bersatu.

Berkenaan hakikat bahasa dalam sastera Melayu moden – yakni bukan dalam pengertian moden yang sebenar tetapi yang digunakan secara meluas dan popular kini ada dua kelompok dominan yang begitu menyerlah dengan mentaliti bahasa masing-masing.

Kelompok (1) melihat bahasa sebagai alat. Haknya bukan saja dimiliki secara mutlak oleh kaum penulis, malah fungsi dan peranannya juga boleh digunakan sesuai dengan keinginan mereka. Selari dengan adat alat yang tertakluk pada hukum perubahan, maka begitu juga hakikat bahasa. Dari situlah kemudiannya amalan bahasa mereka dikaitkan dengan kebebasan. Kesan seterusnya, perbincangan tentang bahasa dalam kerangka adab dengan kumpulan ini, menjadi tabu, lebih-lebih lagi jika mereka mengakui sebagai “kaum penyair” – satu kaum yang sering melazimkan kebebasan dengan lesen puitika.

Satu lagi kelompok iaitu kelompok (2) juga tidak menolak hakikat bahasa sebagai satu alat serta konsep kebebasan dan lesen puitika sepenuhnya. Namun, mereka mengaitkan asas tertentu dalam memahami hakikat dan fungsi bahasa, seperti peranan etika dan kaitannya dengan konteks normatif sosiobudaya atau bersifat kejiwaan dan kaitannya dengan unsur-unsur dalaman mental manusia. Pihak yang bercakap dengan menggunakan alasan ini, jika ditanyakan prinsip kepada asas-asas yang menjadi tunjang perbincangan itu, tidak akan dapat melangkaui bahasa sebagai sesuatu yang arbitrari, atau bahasa hanyalah binaan masyarakat dan persekitaran, atau bahasa ialah konstruksi minda. Maksudnya, hakikat dan fungsi bahasa akan dirumuskan tanpa melangkaui pengalaman transempirikal.

Dalam kelompok (2) ini juga, terdapat satu lagi pecahan kecil. Pecahan kecil tersebut boleh dikenali dengan ciri khas mereka yang cenderung menarik perbincangan fungsi bahasa dalam sastera ke ruang tatabahasa semata. Inilah rentetan kurangnya pendedahan mereka dengan wacana metalinguistik dan falsafah bahasa. Kelompok pertama suka menjoloki mereka sebagai polis bahasa.

Sesiapapun yang masuk dalam sastera, pasti akan menganut salah satu faham daripada dua kelompok ini, tidak kiralah langsung atau tidak langsung. Dua kelompok ini sifatnya macam air dengan minyak, tidak akan boleh bersatu.

Pengalaman yang sama juga turut saya tempuh dalam dunia penulisan sehinggalah saya terdedah dengan faham kata kunci atau peristilahan dasar yang digagaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut al-Attas, kata kunci atau peristilahan dasar dalam bahasa Melayu itu adalah sejumlah perkataan yang diserap masuk daripada al-Quran ke dalam bahasa Melayu. Kata-kata itu kemudiannya berfungsi memperlihatkan dan menayangkan pandangan alam Islam. Contoh-contoh penyerapan kata kunci itu boleh dilihat seawal abad ke-16, khususnya dalam puisi dan prosa moden Hamzah Fansuri, yang kemudiannya mengakibatkan satu wacana panjang intelektual yang menyentuh psikologi, ontologi dan kosmologi. Wacana inilah yang telah membentuk keperibadian baharu budaya di Kepulauan Melayu-Indonesia, yang menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, bercirikan kebudayaan rasionalisme, intelektualisme dan universalisme.

Pucuk pangkalnya, setiap kata kunci itu, perlu digunakan secara berhati-hati, dengan pertimbangan ilmu dan berkait rapat dengan metafizik. Jika digunakan sesuka hati tanpa menepati maknanya yang sebenar – atas apa-apa pun alasannya, semisal lesen puitika, menuturi atau ingin membuat perubahan dalam masyarakat atau mencari mercu tanda peribadi kepengarangan (originality dan idiosinkrasi), maka implikasinya, pandangan alam kita akan keliru atau rosak. Sebab itulah, dalam menggunakan kata-kata kunci tersebut, jika membelakangi panduan seperti yang ditunjukkan oleh para pengarang besar, seperti yang ada dalam persuratan dan sastera warisan, maksudnya digunakan sekata dengan kehendak nafsu/diri haiwani, maka, apa-apa yang dilakukan itu seakan-akan mengambil sebilah jarum lalu mencucuk anak mata. Tidak ada orang yang mampu melihat jika anak matanya rosak. Begitu juga, apabila kata-kata kunci digunakan sesuka hati, maka, pemahaman kita terhadap Islam yang syumul juga turut batil dan keliru.

Dengan memperkenalkan faham kata kunci dan peristilahan dasar dalam Bahasa Melayu yang menjadi anak mata kepada pandangan alam Islam, hal itu tidak seharusnya ditanggapi sebagai sesuatu yang pada akhirnya menyekat kebebasan dan kreativiti. Di sana, masih terdapat kata-kata yang jumlahnya lebih banyak, yang konteks penggunaannya lebih terbuka. Sekadar mengambil contoh, dahulu di kampung saya, kalau orang tua bercerita tentang zaman komunis, mereka merujuk pengganas komunis sebagai bandit. Sekarang, generasi yang lebih muda menggunakan komunis saja. Perubahan bandit kepada komunis, ialah satu contoh kreativiti dan konvensyen bahasa. Perubahan daripada bandit kepada pengganas komunis ternyata tidak mengubah pandangan hidup.

Namun begitu, hal ini berbeza apabila pendekatan yang sama turut diterapkan untuk kata kunci, yang mana bibitnya telah pun ada belakangan ini. Misalnya, kata yakin, suatu konsep penting dalam epistemologi Islam, digunakan hanya sebagai slogan politik atau propaganda, seperti yakin boleh atau dengan tujuan komersialisme seperti kata Mukmin yang merujuk jenama ubat gigi atau wahyu yang digunakan untuk menamakan satu kawasan perumahan. Malah, dalam konteks semasa sastera, saya sendiri pernah terbaca kata wahyu yang selama ini digunakan khusus buat para nabi (kecuali dalam beberapa kes digunakan buat Siti Maryam dan Bonda Nabi Musa), digunakan dalam karangan sastera sekadar menggambarkan lintasan atau bisikan, yang asasnya khayalan insan. Tidak seperti perubahan bandit kepada pengganas, penggunaan kata seperti itu, jika diteruskan dengan sengaja, lama-kelamaan akan mengubah faham yang benar dan jelas maksudnya kepada faham yang keliru dan kabur, yang kemudiannya pasti mengakibatkan perubahan pandangan hidup.

Hal ini telah pun terjadi dalam konteks kata iman dan Koran dalam bahasa Indonesia. Sudah tentu, sebagai pengarang kebanyakan, menguraikan kekusutan ialah tugas sukar. Namun, hakikat ini tidaklah bermakna merumitkan keadaan adalah sama sukarnya.

Wallahualam.

Kredit Foto: Isak Gundrosen/Unsplah

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.