Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJakarta – Pengarang asal Kedah, Muhammad Lutfi Ishak hari ini dinamakan sebagai Sasterawan Muda MASTERA 2023 dalam majlis khas bertempat di Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Jakarta, Indonesia.
Muhammad Lutfi menerima penghargaan itu mewakili Malaysia, manakala Faisal Oddang mewakili Indonesia; Awangku Mohd Noor Sham (Brunei Darussalam) dan Farihan Bahron (Singapura).
Muhammad Lutfi dalam responnya susulan penganugerahan itu berkata, sebarang hadiah atau penghargaan bukanlah tujuan beliau untuk mengarang.
Bagaimanapun, apabila diberikan penghargaan seperti ini, ia memperlihatkan sastera ada peranan yang penting dalam usaha membangunkan kemanusiaan, sebab itu pihak berkaitan masih melihat sastera.
Katanya, keberadaannya dalam dunia sastera banyak disokong oleh orang sekeliling, khususnya bapanya yang sudah uzur di kampung tetapi masih lagi bertanya sesekali mengenai karyanya.
“Keluarga juga banyak beri ruang, khususnya dalam soal masa.
“Waktu mula menulis dulu, Nawawee Mohamad dan arwah Sutung Umar RS banyak bagi dukungan. Mereka ini sangat penting sebab hadir waktu saya betul-betul memerlukan dorongan,” katanya.
Tambah Muhammad Lutfi, kawan-kawan, editor, penerbit, dan pembaca juga sangat mendukungnya, kerana tanpa perhatian mereka, sukar untuknya kekal menulis. Begitu juga dengan insan-insan yang dianggap sebagai guru yang selalu mengingatkannya mengenai tujuan sebenar penulisan.
Katanya, sepanjang berkarya, beliau juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak penerbit.
Jika yang terkini ialah Kata-Pilar Books, sebelum ini, institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang banyak membantu perjalanannya sebagai seorang pengarang.
“Mula-mula menulis dulu, saya diberikan peluang menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR).
“Belasan tahun kemudian, DBP juga menghantar saya menghadiri Bengkel MASTERA. Begitu juga dengan ITBM, kerana perhatian merekalah, saya boleh terbang sejauh Caracas.
“Sebelum saya meninggalkan PENA beberapa tahun lepas, sebelum itu, sejak tahun 2005, saya diberikan peluang bersama-sama rakan-rakan di Biro Penulis Muda PENA. Kami buat macam-macam aktiviti. Kami buat Perhimpunan Penulis Muda Nasional, Dialog Orang Muda (DOM), Borak Buku, dan Layar Kata. Melalui peluang inilah saya dapat faham kenapa aktivisme penting dengan syarat orangnya betul,” katanya.
Namun tegasnya, sebagaimanapun beliau tidak melihat perlunya orang lain mengikut jejaknya sebagai pengarang.
Hal ini katanya disebabkan oleh sejarah peradaban sudah banyak meninggalkan contoh yang lebih baik untuk diikuti.
“Kita ada Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah, Amir Hamzah, Za’ba, Syed Naquib, Usman Awang, dan lain-lain lagi.
“Kerana tokoh seperti merekalah, kita ada sastera dan persuratan seperti sekarang. Jadi, jika kita turut nak capai apa yang mereka capai, saya fikir, kita perlu mendalami karya-karya mereka. Di atas bahu merekalah kita berdiri melihat masa hadapan,” katanya.
Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA ialah pengiktirafan yang dilaksanakan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) untuk tokoh penulis muda dari negara anggotanya.
Pengiktirafan ini bertujuan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan bertaraf rantau kepada tokoh penulis muda yang memberikan sumbangan berterusan dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui karya bermutu tinggi.
Sebelum ini, antara pengarang tanah air yang pernah menerima penghargaan yang serupa termasuklah Faisal Tehrani (2005), Siti Jasmina Ibrahim (2007), S.M. Zakir (2010), Rahimidin Zahari (2013), dan Nisah Haron (2017).
Majlis pengiktirafan ini diadakan pada pagi tadi bersempena dengan Sidang MASTERA ke-27 di Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Jakarta. Seterusnya, diadakan Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2023.