Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam Sekilas kali ini, kolumnis Muhammad Lutfi Ishak berkongsi tentang merenung hal-hal utama bagi melawan lupa.
Beberapa bulan sebelum bertolak, hasil menggelintar di Google, semuanya negatif: Caracas ibu kota paling berbahaya di dunia, lebih 60 peratus rakyatnya bergantung hidup dengan subsidi tepung jagung, rejim Maduro paling korup di dunia, inflasi tidak terkawal, mata wang Bolivar tidak stabil, jenayah amat tinggi, dan aktiviti penyeludupan tidak terkawal.
Maulana Jalaluddin Rumi, sewaktu menjelaskan maksud “kenal diri maka kenal Tuhan”, membawakan kisah seorang pelayan Sultan Mahmud Ghaznawi asal Georgia yang bernama Malik Ayaz. Oleh sebab kasih Sang Sultan yang tumpah begitu besar kepada Malik Ayaz, maka sudah adat kehidupan istana, timbal baliknya iri dan dengki para pembesar. Lalu, beliau difitnah.
Dalam fitnah itu, Malik Ayaz dituduh berbuat khianat. Setiap pagi, begitu menurut para pembuat angkara, Malik Ayaz senyap-senyap meninggalkan istana untuk ke sebuah tempat rahsia. Di sanalah, beliau menyembunyikan barang-barang berharga. Sudah tentu Sultan Mahmud dari Ghazna mengarahkan orang kepercayaannya melakukan siasatan. Hasilnya, tuduhan tersebut setengah betul. Benar, setiap pagi Malik Ayaz meninggalkan istana. Benar juga dia pergi ke dalam sebuah bilik rahsia. Namun, di dalam bilik itu, tiada barang berharga apa pun yang disembunyikan oleh Malik Ayaz. Satu-satunya barang yang ditemui ialah sepasang kasut lusuh.
Ketika ditanyakan sebab setiap pagi beliau senyap-senyap meninggalkan istana untuk kemudiannya mampir ke dalam sebuah bilik yang menyimpan sepasang kasut buruk, Malik Ayaz menjelaskan bahawa itulah kasut yang dipakainya sebelum ditemui Sultan Mahmud. Dengan melihat kasut tersebut pada setiap permulaan hari, dia bukan sahaja dapat “melawan lupa” akan asal usulnya yang dahulu amat daif dan miskin, malah, menyedari dan insaf akan hakikat dirinya kini; Bahawa segala persalinan indah yang menyarung tubuhnya, kemewahan harta benda yang dimilikinya, darjat serta pelbagai penghormatan sekeliling yang diraihnya, adalah akibat kemurahan hati dan perhatian Sultan Mahmud Ghaznawi.
Beberapa minggu setelah PKP 1.0 ditamatkan, saya mengemas rak kasut. Tujuannya adalah untuk membuang kasut, terutamanya yang sudah tidak lagi boleh digunakan. Ketika itulah ditemui kembali sepasang kasut sukan berwarna biru.
Kasut tersebut dibeli pada pertengahan tahun 2017. Pada penghujung tahun yang sama, dengan tajaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta kerjasama pihak konsulat Malaysia di Venezuela, saya mendapat jemputan dari Pusat Kebudayaan Venezuela untuk menghadiri Festival Buku Antarabangsa Venezuela ke-13 di Caracas. Itulah perjalanan terjauh dalam hidup saya, tanpa peneman, kecuali dengan kasut biru. Justeru, ketika kasut biru yang lusuh dan rosak tapaknya itu direnung, kenangan di Caracas mengimbau dalam fikiran.
Beberapa bulan sebelum bertolak, hasil menggelintar di Google, semuanya negatif: Caracas ibu kota paling berbahaya di dunia, lebih 60 peratus rakyatnya bergantung hidup dengan subsidi tepung jagung, rejim Maduro paling korup di dunia, inflasi tidak terkawal, mata wang Bolivar tidak stabil, jenayah amat tinggi, dan aktiviti penyeludupan tidak terkawal. Pendek kata, kepada sesiapa sahaja yang sedang mencari kota yang ingin dilawati waktu itu lalu melihatnya dari kaca mata Google, Caracas akan masuk dalam senarai paling atas yang perlu dihindari.
Apa pun, saya menjejakkan kaki di bumi Caracas pada 15 November 2017 setelah lebih 26 jam terapung-apung di atas awan. Di antara langit Kuala Lumpur dan Caracas, perlu transit 18 jam di Istanbul dan dua jam di Cuba. Ketika mata saya menangkap bukit bukau sewaktu kapal terbang mendarat, hari sudah menganjak petang. Beberapa jam kemudian, di hotel penginapan, seorang lelaki tinggi lampai memperkenalkan dirinya sebagai Luis Manuel Negron dan menyatakan tugasnya sebagai pembantu sekali gus penterjemah peribadi.
Kasut itu hingga kini kekal di rak, berulang kali menghantar fikiran saya jauh ke Caracas, setiap kali memandangnya.
Sepanjang empat hari di Caracas, kebanyakannya adalah bersama Luis. Dialah yang menyunting pandangan Google saya terhadap Caracas. Secara umumnya, Caracas selamat untuk para pelancong. Beberapa bulan sebelum itu, vokalis Aerosmith, Steven Tyler, mengunjungi Caracas. Di lobi hotel, mereka melarangnya untuk berjalan seorang diri. Namun, Steven Tyler masuk ke dalam bilik, menukar pakaiannya, menyarung kemeja-t dan selipar, lalu berjalan seorang diri di tengah kota. Tiada siapa pun yang merompak Steven Tyler. Kata Luis, Caracas selamat selagi tidak menonjolkan diri dengan pakaian dan jam mahal. Caracas juga meraikan semua penganut agama, termasuk orang Islam. Hal ini bukanlah keterlaluan memandangkan masjid terbesar di Amerika Latin, betul-betul dibina berhampiran gereja utama di kota Caracas.
Luis mempunyai perwatakan luaran yang tidak banyak berbeza daripada pemuda tipikal Venezuela, yang kebanyakannya campuran Hispanik, Negro dan peribumi. Namun, apabila dia membuka mulut dan memberikan pandangan, citranya sebagai seorang patriot sejati Venezuela mula kelihatan. Dia sangat kritikal terhadap semua ahli politik. Sesekali mendengar pandangan beliau tentang pembaikan sosiopolitik Venezuela, saya seakan-akan mendengar seorang pemuda yang tiada kompromi, yang hanya percaya pada tindakan revolusi. Dia bukan sahaja begitu kritikal terhadap semua ahli politik dalam kerajaan, malah begitu sinikal terhadap oposisi, khususnya anak muda Venezuela yang menyerukan perubahan dari New York atau Madrid. Baginya, mereka ialah golongan pengecut yang mahukan perubahan tetapi tidak sanggup menanggung pedihnya akibat menuntut perubahan.
Empat hari di Kota Caracas berlalu dengan pantas. Selama empat hari jugalah, Luis membawa saya ke pelbagai mercu tanda Kota Caracas, memberikan pelbagai pandangan dan menambah pelbagai input, sehingga tanggapan saya terhadap Caracas dan masyarakatnya, berubah. Ketika kapal terbang berlepas meninggalkan Caracas pada 18 November 2017, di pasaran gelap tukaran wang, 10 USD bersamaan 80000 Bolivar. Beberapa tahun sebelum itu, kadar tukaran USD dengan Bolivar ialah 1 USD sama dengan 4 Bolivar. Namun, ketika kapal terbang makin jauh, saat memejamkan mata untuk tidur, saya mula mengingat kenangan tak ternilai yang diberikan oleh Caracas: Orang-orang yang baru dikenali tetapi ikhlas membantu, pelbagai aktiviti kebudayaan di Caracas yang terus berjalan biarpun para karyawannya kelaparan, sikap penduduknya yang tenang-tenang saja biarpun hidup amat menghimpit, serta pelbagai koleksi seni halus di Museum of Beauty yang kelasnya jauh meninggalkan koleksi seni semua galeri di Malaysia.
Beberapa tahun selepas kepulangan, kami masih berhubung melalui e-mel. Ketika pertukaran kerajaan berlaku pada tahun 2018, kami sempat bertukar pelbagai perspektif, terutamanya perkembangan politik, ekonomi dan peranan kuasa-kuasa besar dunia dalam mencatur dan mencampuri urusan politik tempatan. Namun, seiring masa berlalu, lama-kelamaan, hubungan kami terputus. Justeru, ketika kasut biru itu ditemui, segala ingatan tentang Luis dan Caracas, pun kembali berkristal dalam fikiran. Kasut itu hingga kini kekal di rak, berulang kali menghantar fikiran saya jauh ke Caracas, setiap kali memandangnya.
Kata ‘insan’ yang difahami sebagai manusia dalam bahasa Melayu, menurut Ibn Abbas, berakar kata daripada ‘nasiya’, bermaksud pelupa. Ketika menjelaskan hal ini, Ibn Abbas mengaitkan sifat pelupa itu merujuk penyaksian setiap insan, seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-A’raf, pada ayat 172. Maksud Ibn Abbas, sebelum dilahirkan ke dunia, semua jiwa insan dikumpulkan di alam arwah lalu melakukan penyaksian dan memperakukan keesaan Allah. Namun kemudiannya, setelah lahir ke dunia, insan melupai perjanjian tersebut. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, hal ini kerana kesedaran manusia yang lebih tertumpu dengan hakikat dunia yang kelihatan dekat manakala alam hari asali yang sudah jauh, ditinggalkan. Justeru, lupa (nisyan) adalah sebahagian daripada sifat yang mencirikan manusia (insan).
Biarpun pelupa, insan ditakrifkan sebagai hidupan yang berakal. Dalam konteks pandangan alam Islam, akallah yang dirujuk sebagai hakikat insan. Ketika Allah berfirman, “Bukankah aku Tuhanmu?” dan semua jiwa insan menjawab, “Bahkan”, maka yang mengiakan dan menyaksikan Allah itu ialah “akal”. Justeru, dengan merenung akal yang ada dalam setiap insan, setiap manusia akan dapat mengingat kembali fitrahnya yang azali.
Sekilas sebelum ini telah pun cuba mengenal pasti isu utama yang dihadapi sastera semasa. Sudah tentu, mengenal pasti masalah adalah sebahagian daripada penyelesaian. Namun, apakah penyelesaiannya? Untuk menjawab hal ini, Sekilas pada bulan-bulan akan datang akan bertolak daripada hakikat insan, yakni akal yang berada dalam diri setiap manusia.
Hal ini kerana, itulah unsur utama yang selama ini berada dalam diri setiap orang tetapi malangnya telah dilupai dan diabaikan. Moga-moga dengan merenung hakikat akal, kita dapat mengingat kembali pelbagai perkara yang telah lama dilupakan dalam sastera, yang mungkin menjadi sebahagian penyebab kepada masalah dalam sastera semasa dan dunianya.
Wallahualam.
Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.