Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Muhammad Lutfi Ishak. Beliau Sasterawan Muda Mastera 2023 dan merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.12/2024. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.
Buku yang dibaca sekarang | Saya biasanya baca lebih daripada satu buku dalam satu masa. Ada dua jenis bahan yang saya baca. Satu, bidang-bidang yang memang saya ingin dalami. Sekarang saya sedang baca Maarij al-Quds dan buat bacaan ulang, Aqal dalam Islam.
Jenis buku kedua pula biasanya macam-macam. Tujuannya untuk hilangkan keletihan akibat membaca buku jenis pertama. Jika kena gayanya, saya akan habiskan buku jenis ini. Untuk sekarang, saya baca The Death of Expertise oleh Tom Nichols. Nichols menulis dengan lincah tentang isu yang beliau bangkitkan, malangnya tak dibagi pula sebarang penyelesaian. Walau sudah hampir habis, saya tak nampak ada keperluan untuk selesaikan pembacaan. Jadi, saya akan bergerak ke buku lain, mungkin buku AR Azzam yang belum saya sempat habiskan lagi, The Other Exile.
Buku yang digemari sepanjang zaman | Banyak, tapi saya nak sebutkan dua. Yang pertama, Risalah untuk Kaum Muslimin.
Prof. Syed Naquib melarang terjemahan Risalah ke dalam bahasa lain agar bentuk dan maknanya terjaga. Jika ada pelajar asing ingin tahu isi Risalah, mereka kena belajar bahasa Melayu. Ini dikongsikan oleh Dr. Roslan Jelani sewaktu pemasyhuran edisi jawinya di UTM.
Buku ini saya beli pada tahun 2005 di Kinokuniya. Tetapi pemahaman yang lebih tepat hadir bila mendapat penjelasan daripada Prof. Wan Mohd Nor dan mengikuti kelas kelolaan mereka yang arif tentang pemikiran al-Attas.
Buku kedua pula ialah Javid Namah. Pengalaman saya membaca puisi moden, biasanya, dipenuhi oleh pengalaman subjektif diri penyair. Kadangkala aneh. Tapi Javid Namah lain. Malangnya, saya hanya mampu membaca terjemahan. Besarnya pengaruh karya ini hingga saya pernah menyimpan keinginan untuk mempelajari bahasa Parsi.
Plato menyebut, “Beauty is the splendour of truth.” Jika diminta contoh, saya akan beri Risalah untuk Kaum Muslimin dan Javid Namah.
Watak dalam karya sastera yang digemari | Raskolnikov kalau “digemari” itu dimaksudkan sebagai sesuai untuk direnungkan. Bagi saya, novel yang kuat mesti didasarkan atas pembinaan watak yang meyakinkan. Saya jumpa pada pertukangan Dostoevsky melalui Raskolnikov.
Genre penulisan yang seronok dibaca | Saya tidak melihat pada genre. Jika sesuatu buku itu penting kepada diri saya, saya akan baca.
Buku yang diulang baca | Javid Namah dan buku-buku Prof Naquib. Yang paling banyak saya ulang ialah Islam dan Sekularisme, khususnya Bab 1 dan Bab 5. Waktu 20-an, saya mengulang Naratif Ogonshoto, sajak-sajak terpilih Rendra, sajak-sajak Baha Zain, dan Sapardi.
Buku yang menjadikan saya penulis | Di Penjuru Matamu, antologi yang menghimpunkan teks sastera zaman 80-an saya rasa.
Buku bacaan kanak-kanak | Antara yang saya ingat, Darah Titik di Semantan, Di Penjuru Matamu, Debu Hiroshima, Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, dan siri manga Dragon Ball.
Buku bukan fiksyen yang disukai | Risalah untuk Kaum Muslimin.
Buku tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | A Confession oleh Leo Tolstoy.
Buku yang biasa saja tapi tidak bagi orang lain | Buku-buku best seller yang tak ada insight. Contohnya, buku agama popular yang penuh dengan gambar dan tulisan besar-besar.
Rancangan bacaan yang seterusnya | Bacaan terpilih yang dapat mengukuhkan pandangan alam saya.
Beli buku tulisan sendiri? | Ya, sampai sekarang masih ada permintaan terhadap Dondang Pembukaan, malangnya susah untuk ada di kedai buku. Jadi, saya beli untuk jual kembali.
Rak buku atau pustaka? | Sesuai dengan kemampuan saya, rak sahaja. Kalau ada duit masa depan, saya nak buat pustaka khas. Satu bilik pun cukup.
Selera pembacaan | Saya membaca untuk mengenal diri. Apa-apa sahaja buku yang dapat membantu saya mencapai hal ini ialah selera saya.
Susunan ideal untuk membaca | Bila datang mood, saya boleh baca bila-bila masa sahaja. Jika tidak, saya suka waktu pagi, sebelum asar atau sebelum tidur.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Saya ada dua nama, Zaen Kasturi dan S.M. Zakir. Saya memilih Zaen dahulu sebab seniority.
_________________________
Kenali Muhammad Lutfi Ishak dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.12/2024. Beli majalah Dewan Sastera Bil.12/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.