Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak membicarakan hakikat proses kreatif dalam dua konteks pandangan alam. Dengan memanfaatkan anekdot dari dunia Timur dan pengalaman pengarang Barat, beliau menjelaskan beberapa perbezaan mendasar yang kemudiannya menghasilkan implikasi pada hakikat kepengarangan.

Cara pandangan kebanyakan penulis besar sastera Barat, sangat berpusatkan kemanusiaan …

Ketika ditanya dalam satu wawancara oleh majalah terkemuka sastera Barat, The Paris Review tentang kepengarangannya, Italio Calvino lantas memetik suatu cerita dalam hikayat Cina. Menurut kisah tersebut, suatu hari, maharaja meminta seorang seniman melukis seekor ketam. Pelukis tersebut bersetuju dengan syarat diberikan masa selama sepuluh tahun, sebuah rumah yang besar dan dua puluh orang pelayan. Maharaja menunaikan kehendaknya. Selepas sepuluh tahun, sang pelukis meminta diberikan masa tambahan selama dua tahun lagi. Kemudian, pelukis berkenaan meminta diberikan ruang sebanyak tiga bulan. Selepas tiga bulan, maharaja menitahkannya menghadap dan bertanyakan lukisan ketam yang dijanjikan oleh sang seniman. Tanpa banyak bertanya, dengan tiba-tiba sahaja pelukis itu mengambil berus dan menyiapkan lukisan tersebut pada waktu berkenaan dalam sekelip mata.

Italio Calvino sengaja memetik kisah berkenaan untuk menggambarkan proses kreatifnya. Menulis untuknya sekejap sahaja, tetapi proses sebelum menulis selalunya kompleks dan panjang. Sebelum mampu menulis, beliau akan mengalami proses “blank page” yang lama, seperti yang dilalui oleh seniman dalam kisah tadi. Hal yang berbeza pula dikongsi oleh Chinua Achebe. Merujuk proses kreatifnya, Achebe mengakui penulisan sebagai suatu proses yang sukar sekali gus menyeronokkan kerana memerlukan tenaga yang banyak untuk “bergusti” dengan idea dan cerita. Oleh sebab itu, beliau melihat kerja mengarang umpama suatu hukuman penjara. Dalam suatu pemenjaraan, setiap pidana mengetahui sebab dimasukkan ke dalam penjara serta tempoh hukuman yang akan dijalani. Maksudnya, biarpun beliau terpaksa berhadapan dengan suatu pekerjaan yang susah tetapi menyeronokkan, namun dalam proses itu beliau menemui suatu kepastian, iaitu tujuan yang jelas untuk mengarang sesuatu karya serta tempoh masa yang boleh dijangka.

Sudah tentu terdapat pelbagai proses kreatif yang pernah dikongsikan oleh ramai penulis terkenal yang lain. Namun, dalam konteks karangan kali ini, kedua-dua contoh tersebut sudah memadai untuk menggambarkan hakikat kebanyakan penulis sastera moden yang menghubungkan kegiatan mencipta, iaitu mengarang – hanya dengan dirinya sendiri. Dalam erti kata yang lain, cara pandangan kebanyakan penulis besar sastera Barat, sangat berpusatkan kemanusiaan atau human centric. Sudah pasti, “human centric” itu ialah satu cara pandang humanisme sekular yang mengeluarkan penjelasan teologi/matafizikal, khususnya ajaran agama dalam menjelaskan prosesnya. Dalam cara pandang sebegitu, kerja mengarang hanya menemui maknanya yang bersifat keduniaan semata-mata, seterusnya kehilangan maknanya yang lebih asasi dan penting, iaitu maknanya yang rohani.

Dengan hanya melihat proses kreatif dari sudut diri sendiri juga, maka pengalaman tersebut hanya menemui maknanya yang relatif dan subjektif. Proses mengarang yang pelbagai hanya akan dilihat sebagai suatu keunikan yang hanya dimiliki oleh golongan pengarang dan juga seniman. Sebab itu, golongan penulis kreatif dan seniman dalam konteks kebudayaan Barat dilihat sebagai insan istimewa yang unik serta sering bertindak di luar ukuran yang rasional. Justeru, pada suatu tahap yang lebih dalam, hasil karya yang dihasilkan, biarpun memberikan kebaikan kepada manusia secara amnya, namun, tidak akan sesekali menyedarkan diri si penulis akan hakikat keinsanan. Mereka sebaliknya akan kagum dengan diri sendiri dan merasakan karya mereka sebagai suatu pancaran kebijaksanaannya. Oleh sebab itu, ada sesetengah penulis Barat yang dikagumi beranggapan merekalah “tuhan sebenar” terhadap karya-karya yang dihasilkan.

Ketakjuban kepada diri umpama “Narcissus” ini pastilah tidak dapat dielakkan. Seperti juga Narcissus yang mati lemas akibat jatuh ke dalam kolam kerana terpukau dengan biasan wajahnya pada permukaan air, pengarang yang tidak menghubungkan proses penciptaannya dengan sesuatu Zat Yang Agung, yakni Tuhan, biarpun tidak mati jasadnya, namun hatinya tidak akan sesekali hidup. Mereka akan menjadi orang yang angkuh, tidak menghormati kewibawaan orang lain dan menuntut kebebasan tanpa had untuk terus berekspresi. Kerana itu juga, sikap dan karya mereka tidak memperlihatkan keselarasan. Sebagai contoh, Paul Johnson dalam bukunya, Intellectuals merumuskan, terdapat percanggahan yang ketara antara idealisme yang diperjuangkan oleh golongan intelektual dengan penulis berpengaruh Barat dengan akhlak dan perbuatan mereka dalam kehidupan seharian. Misalnya, biarpun karya Ernest Hemingway memancarkan sikap yang sangat manusiawi, namun, dalam kehidupannya yang sebenar, Hemingway dikenali sebagai seorang yang suka berbohong dan oportunis dalam mencapai apa-apa sahaja yang diingininya.

Mencipta dan hasil ciptaan yang baik, ialah milik Allah SWT …

Oleh sebab itu, sangat penting untuk melihat proses kreatif dalam cara pandangan yang lebih menyeluruh. Dalam konteks pandangan alam Islam, Pencipta yang Hakiki hanyalah Allah SWT. Walau bagaimanapun, sebagai manusia (dalam konteks perbincangan ini ialah pengarang), mereka sentiasa dapat merasakan kemampuan untuk mencapai sesuatu, termasuk mencipta sesuatu. Dari sudut akidah, hal ini dinamakan sebagai kasb, yakni “daya usaha”, iaitu suatu kurniaan kepada manusia.

Dengan kurniaan tersebut, wujudlah kemungkinan untuk setiap pengarang memilih dan mencipta sesuatu karangan. Namun, kurniaan ini bukanlah bersifat mutlak. Jika direnungi, hasil dan kesan daya usaha demikian tidak semestinya bertepatan dengan apa yang ingin diusahakan. Sebagai contoh, setiap pengarang mahu mencipta suatu sajak. Setelah lama berusaha untuk mengarang, sajak yang diimpikan itu tidak juga terhasil. Atau, setelah terhasil, karangan yang ditulis itu tidak bertepatan dengan apa yang diusahakan sejak mula. Sebagai contoh, seorang penulis pada asalnya menulis sajak cinta. Setelah siap, sajak tersebut menjadi suatu sajak tentang masyarakat.

Hal itu, secara tidak langsung memperlihatkan bahawa proses penciptaan tidak boleh dijelaskan dalam konteks sebab-akibat (cause and effect), apatah lagi huraian yang hanya berpaksikan human centric semata-mata. Kenyataan ini juga menegaskan bahawa proses penciptaan oleh manusia bersifat relatif. Setiap pengarang tidak mampu mengawal dan menentukan hasil karya mereka. Untuk itu, perlu diakui bahawa ada suatu kuasa yang lebih mutlak dalam menentukannya. Jika proses penciptaan difahami dalam konteks ini, maka, kita akan sampai kepada suatu implikasi yang sangat penting, yakni mencipta dan hasil ciptaan yang baik, ialah milik Allah. Dengan itu, Allah SWT ialah Pencipta yang sebenar-benarnya, manakala karya yang baik itu hanyalah suatu anugerah.

Dengan memahami hakikat ini, dan menyimpulkan karya itu ialah suatu anugerah, maka aktiviti mengarang dan mencipta, yang selama ini sering dihuraikan secara sehala dan relatif sifatnya (“human centric”) menemui maknanya yang rohani dan mutlak. Maka, dengan itu juga, suatu pandangan yang lebih menyeluruh dapat dirumuskan daripada hakikat ini, iaitu proses kreatif perlu dilihat daripada dua “gerakan” yang utama. Gerakan yang pertama ialah daya usaha daripada si pencipta, yakni pengarang atau penulis. Usaha ini jika dinisbahkan kepada jumlah pengarang, bersifat unik kerana setiap pengarang mengarang dengan kaedah dan usaha yang berbeza. Manakala “gerakan kedua” ialah proses penciptaan oleh Maha Pencipta. Yang pertama ialah gerakan yang “memungkinkan”. Namun, gerakan kedua ialah yang “memutlakkan”. Gerakan yang pertama bersifat subjektif manakala gerakan yang kedua bersifat mutlak.

Oleh itu, apabila dilihat daripada kefahaman ini, maka setiap hasil karya yang baik itu sebenarnya hanyalah anugerah-Nya kepada si pengarang. Sang pengarang pada hakikatnya hanyalah pengantara. Dengan itu, kesannya amat besar pada kerja-kerja mengarang. Antaranya, tidak sepatutnya wujud sikap saling mencemburui terhadap pencapaian dan hasil karya orang lain memandangkan hal itu ialah suatu kurniaan yang telah pun ditetapkan oleh Allah SWT. Dengan keinsafan seperti ini, maka, sang penulis akan reda dan sentiasa beradab, yakni meletakkan hasil karyanya pada tempat dan makam yang sepatutnya. Malah, pengarang atau penulis, akan sentiasa mengharapkan rahmat-Nya kerana hanya dengan rahmat-Nya sahaja, kerja-kerja kepengarangan akan dapat terus dilestarikan.

Wallahualam.

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023. Lutfi juga kini aktif berbicara di TikTok.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi