Diterbitkan pada 10 Disember 2025, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak berbicara tentang kepentingan memahami sejarah, tujuan dan ilmu menukang dan menghayati puisi, juga fenomena puisi “hiliran”.

Dengan merasakan puisi itu sungguh istimewa, maka, peserta akan beranggapan bahawa mengarang puisi juga memerlukan usaha yang gigih, bukannya kegiatan yang berasaskan kesukaan semata-mata, apalagi perbuatan sambalewa.

Kira-kira 10 tahun lepas, dalam salah satu bengkel mengarang puisi untuk mahasiswa, saya disoal tentang fenomena puisi “hiliran” yang begitu mendapat sambutan dalam kalangan pembaca muda. Waktu itu, sebagai balasan, saya mengutarakan dahulu “definisi” Horace, yakni “kata-kata terindah dalam susunan yang paling indah”. Sudah tentu, pandangan Horace tersebut masih umum. Indah, sebagai suatu istilah adjektif, sarat ketaksaan. Lebih-lebih lagi, sesuatu yang indah dalam tamadun Barat, sering berkenaan sesuatu yang hanya memberikan kesedapan pancaindera atau menimbulkan cita rasa kesukaan dalam perasaan. Namun begitu, jika diteliti karya puisi agung dalam sastera Barat sekalipun, unsur akliah dan kebenaran mengambil tempat yang begitu utama. Hal tersebut menjadi lebih jelas apabila dibandingkan dengan puisi oleh para penyair dari Timur, khususnya oleh para penyair Islam yang mempergunakan puisi untuk menyampaikan fikiran dan hikmah. Oleh sebab itulah, pada suatu tahap, puisi itu boleh disimpulkan sebagai logika puitis.

Biarpun ungkapan Horace tersebut sering menimbulkan pelbagai perbahasan yang memerlukan huraian yang lebih mendalam, tetapi saya berharap, dengan memetik “definisi” berkenaan, sekurang-kurangnya akan menimbulkan keinsafan dalam hati para peserta bahawa puisi bukannya suatu “percakapan biasa”. Dengan merasakan puisi itu sungguh istimewa, maka, peserta akan beranggapan bahawa mengarang puisi juga memerlukan usaha yang gigih, bukannya kegiatan yang berasaskan kesukaan semata-mata, apalagi perbuatan sambalewa. Memang, sajak sebagai suatu unsur luar paling baharu yang menyerap masuk ke dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden, pada tahap intinya, melaungkan suatu semangat pembebasan daripada sebarang bentuk ikatan yang lama. Akan tetapi, keadaan itu tidak bermakna semangat “kebebasan” tersebut terbit daripada anarkisme dan dikembangkan oleh para penyair moden Melayu dengan tujuan yang anarki. Jika ditelusuri, sejak era Pungguk, sajak yang menjadi satu bahagian utama dalam puisi Melayu tersebut hanya menuntut kebebasan bentuk, bukannya kebebasan nilai. Malah, sering kali sajak menjadi suatu ruang “percakapan yang istimewa” untuk menuntut kebebasan bagi mengukuhkan nilai-nilai kebenaran yang lebih abadi.

Memang disedari, sesetengah penyair, khususnya yang baru menulis puisi, kadang-kadang mentafsirkan percakapan istimewa itu dengan salah. Ada sesetengahnya hanya bermain kata-kata dan beranggapan hal itu dibenarkan dalam dunia puisi kerana penyair mempunyai lesen puitika. Dengan itu, mereka mempunyai kebebasan dan boleh mengungkapkan apa-apa sahaja, tanpa perlu terikat dengan sebarang ketetapan berbahasa dan nilai. Pada saya, sesiapa sahaja, khususnya penulis yang baru belajar menulis puisi, harus lebih insaf sebelum mengucapkan pandangan tersebut. Perkataan “lesen” itu sendiri mengisyaratkan makna yang khusus, iaitu suatu keizinan yang hanya dimiliki oleh para penyair setelah melepasi syarat-syarat tertentu. Sekurang-kurangnya dalam hal ini, sang penyair tersebut telah pun menulis puisi yang bagus dan berkualiti tinggi, memenuhi pensyaratan seorang yang ahli dan sumbangannya diiktiraf oleh pihak yang berwajib. Oleh sebab itu, lesen puitika bukan lagi sekadar suatu lesen yang membenarkan para penyair yang telah layak memilikinya itu untuk berlaku sewenang-wenangnya, tetapi lebih kepada suatu anugerah atau keistimewaan yang perlu pula dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab.

Setelah selesai menghuraikan serba sedikit tentang maksud puisi beberapa persoalan yang bersangkutan, seorang peserta mengangkat tangan. Dia bukan sahaja mahu bertanya, tetapi juga turut menyatakan ketidaksetujuan. Mahasiswa itu berpandangan bahawa puisi harus mudah agar difahami oleh masyarakat. Puisi tidak akan mampu mengubah masyarakat jika kata-kata dalam sajak itu tidak mampu dicapai oleh orang awam. “Mengapakah sajak perlu ditulis secara ambiguiti?” Untuk membenarkan hujahnya tersebut, beliau menyatakan nama seorang penulis sajak yang kini begitu popular kerana menulis sajak-sajak yang langsung lalu dinyanyikannya. “Penyajak tersebut harus mendapat pengiktirafan dan dianggap sasterawan hebat kerana sajak-sajak beliau yang mudah difahami itu telah mengubah masyarakat.”

Oleh sebab peserta tersebut mengakhiri pandangannya dengan soal pengiktirafan, maka dijelaskan bahawa tidak berbangkit soal penafian pengiktirafan kerana tidak ada orang yang menafikan hasil usaha individu terbabit. Kehadiran ramai penulis marginal yang menulis sajak sebegitu sebenarnya telah menimbulkan kecintaan dan rasa suka golongan pembaca muda, khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar. Dengan teknik pemasaran yang kreatif, aktiviti yang lebih kena dengan gaya anak muda serta ruang sosial yang lebih bebas, “sajak” mula menjadi fenomena anak muda di bandar-bandar besar. Tidak dapat dinafikan, setakat ini, itulah sumbangan terbesar golongan terbabit. Jadi, orang sastera, khususnya pihak yang bertanggungjawab mengembangkan kesusasteraan, harus belajar sesuatu daripada kaedah mereka.

Walaupun diakui sumbangan mereka terhadap membangkitkan minat anak muda terhadap sajak, namun, kuantiti tidak bersangkut paut dengan kualiti. Jika menjadikan populariti sebagai kayu ukur, maka, pelbagai disiplin ilmu dan seni akan musnah. Masyarakat bukanlah hakim yang paling arif. Dalam setiap perkara, akan ada ahli yang lebih berhak dalam membuat penilaian kerana mereka membuat pertimbangan berasaskan ilmu dan pengalaman yang panjang. Sebaliknya, masyarakat yang kurang terdidik selalunya bersifat kekanak-kanakan kerana menilai sesuatu berasaskan pandangan mereka yang subjektif. Malah, menyatakan sajak itu perlu ambiguiti juga ialah satu pandangan memancarkan penilaian yang dangkal akibat salah faham terhadap konsep dan sejarah sajak. Hal ini kerana, puisi sebagai suatu percakapan istimewa tidak semestinya ambiguiti dan sukar, sebaliknya boleh sahaja mudah tetapi tetap indah. Percakapan istimewa tetapi mudah itu boleh ditemui dalam sajak-sajak oleh para penyair agung manusia, seperti Maulana Jalaluddin Rumi dan Iqbal.

Oleh sebab itu, masyarakat tidak akan mampu memberikan justifikasi yang adil. Mereka hanya memberikan suatu tanggapan selintas sebagai suatu refleksi kepada fenomena sementara yang berlaku di hadapan mata. Malah, pandangan mereka sering terkurung dalam suatu pandangan sempit, yakni kecenderungan melakukan suatu generalisasi berasaskan pengalaman peribadi mereka yang kecil. Keadaan ini pernah diungkapkan oleh Maulana Jalaluddin Rumi dalam Mathnawi dengan menggunakan alegori burung nuri yang mampu meniru perbicaraan manusia. Akibat keistimewaan itu, tuannya berasa sangat sayang akan burung tersebut sehingga meletakkannya di dalam kedai.

Suatu hari, ketika tuannya keluar, burung nuri menjatuhkan sebotol minyak bunga ros ke atas kerusi. Tuannya pulang tidak lama kemudian lalu duduk di atas kerusi terbabit. Apabila menyedari pakaiannya telah dicemari oleh bahan yang tidak mudah disental, peniaga itu berasa sangat marah. Dia memukul kepala burung nuri bertubi-tubi sehingga botak. Akibatnya, burung nuri itu tidak lagi mahu berkata-kata. Peniaga melakukan bermacam-macam cara agar burungnya bercakap. Malah, dia sanggup memberikan ganjaran yang lumayan kepada sesiapa yang mampu mengembalikan keinginan burung nuri untuk berbicara. Semua usahanya tidak mendatangkan sebarang hasil. Dia berasa sangat menyesal. Namun begitu, tiga hari kemudian, seorang sami melalui hadapan kedai. Melihat seorang sami yang berkepala botak melintas di hadapannya, burung nuri tiba-tiba sahaja bersuara. Tanya burung nuri itu, adakah sami itu botak kerana dipukul oleh tuannya akibat menjatuhkan botol minyak ros?

Dalam alegori tersebut, burung nuri menggambarkan cara masyarakat dan orang awam berfikir sewaktu merumuskan sesuatu. Pembicaraan mereka hanya didasarkan kepada ukuran yang sangat pendek, iaitu dengan menggunakan pengetahuan dan pengalaman mereka yang kecil untuk menilai sesuatu yang sebenarnya lebih besar dan rumit. Oleh sebab itulah, kita dituntut untuk berlaku adil dengan merujuk dan mengguna pakai pandangan para ahli yang terdidik dan bijaksana. Orang-orang bijaksana atau golongan yang terdidik inilah yang akan memberikan jalan keluar. Namun begitu, seperti kata Maulana Jalaluddin Rumi dalam bahagian akhir puisi tentang burung nuri itu, masyarakat cenderung untuk menyamaratakan semuanya. Mereka tidak dapat membezakan antara orang biasa yang makan sesuatu lalu makanan itu menjadi najis dengan orang tertentu yang menelan makanan lalu menjadi cahaya.

Wallahualam.

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi