Diterbitkan pada 19 Februari 2025, 15:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menguak pengalaman persahabatannya dengan Muhammad Lutfi Ishak dan perjalanan kepengarangannya.

Ketika Lutfi dan isteri meneruskan tugas di sekolah dan meninggalkan saya seorang diri di rumahnya, dia menyuguhkan kepada saya agar membaca beberapa buah karya …

Lutfi Ishak mula-mula saya kenali semasa kami sama-sama menjadi peserta program Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 2000 di Country Heights Resort, Kajang. Perkenalan pertama di bengkel sastera selama seminggu tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu membawa kepada persahabatan hingga ke hari ini. Dengan posisi sebagai sahabat akrab ini, saya kira, wajar untuk saya menyorot semula dirinya sepanjang lebih dua dasawarsa usia kepengarangannya, hinggalah pada saat dia tiba di titik puncak seorang pengarang muda pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) terbaharu dengan mendapat dua pengiktirafan khas daripada pihak penganjur utama PPMN, iaitu sebagai penyampai Syarahan Ucaptama program dan sebagai Tetamu Khas pada Malam Kemuncak Puisi PENA pada sebelah malamnya.

Lutfi sebagai Tetamu Khas pada Malam Kemuncak Puisi PENA semasa PPMN ke-4 di Hotel Park Royal, Uniten, Bangi pada 18 Disember 2024.

Lanjutan daripada perkenalan pada permulaan (iaitu pada tahun pertama) alaf 21 itulah menjadikan kami mula berkawan rapat, saya kemudiannya menumpang rumahnya di Klang pada pertengahan tahun 2005 untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (HSKU) 2004 di sebuah hotel terkenal di Seri Kembangan. Saya dan Lutfi sama-sama menerima dua hadiah pada malam tersebut.

Saya yang masih di kampus ketika itu kebetulan cuti semester sewaktu majlis penyampaian HSKU diadakan dan Lutfi bersama-sama isteri sudah pun bertugas sebagai guru. Ketika Lutfi dan isteri meneruskan tugas di sekolah dan meninggalkan saya seorang diri di rumahnya, dia menyuguhkan kepada saya agar membaca beberapa buah karya Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Namun saya pula belum begitu berminat terhadap karya-karya Profesor Naquib ketika itu. Rupanya ketika itu, saat usianya baru 20-an, beliau telah menekuni karya-karya Profesor Naquib al-Attas.

Maka, kini telah genap 20 tahun lamanya Lutfi menghadam buah fikir pemikir ulung Malaysia yang telah mencapai kelas dunia itu. Maka, wajarlah buku sajak Dondang Pembukaan yang dikarangnya mendapat Tempat Pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 (Kategori Kumpulan Puisi) kerana sajak-sajak dalam buku ini merupakan refleksi atau percikan ilham daripada pergulatan Lutfi dengan idea dan pemikiran besar Profesor Naquib al-Attas, yang juga disampaihuraikan oleh anak-anak murid Profesor al-Attas sendiri dalam sekian banyak kuliah dan syarahan yang dihadiri Lutfi. Lutfi kemudiannya menjelmakan semula segala buah fikir dan ilmu itu ke dalam bentuk sajak yang indah dan berilmu.

Lutfi sebenarnya lebih awal memenangi HSKU, iaitu bermula dengan cerpennya, “Bersama Sengsara Kami Cencang Mereka” memenangi Hadiah Penghargaan HSKU 2002.

Sajaknya, “Mencari Srikandi” pula menang Hadiah Utama malam itu dan saya juga menerima Hadiah Utama HSKU 2004 untuk sajak “Ini Tanah Kita”. Tahun 2005, karyanya menang lagi dalam HSKU. Kali ini cerpennya, “E-mel Seorang Lelaki” yang disiarkan dalam Utusan Melayu Mingguan, 8 Januari 2005, memenangi Hadiah Penghargaan (Cerpen Remaja).

Cerpennya yang sering disebut-sebut, “Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung” yang mendapat siaran akhbar Mingguan Malaysia pada 12 September 2010 pula menang dua hadiah sastera sekali gus – Hadiah Utama HSKU 2010 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Untuk HSKU 2010 juga, sebuah lagi karya Lutfi turut memenangi hadiah, iaitu sajaknya, “Orang Dagang” menang Hadiah Penghargaan. Sekian banyak cerpen dan sajaknya yang memenangi hadiah sastera menjadi bukti kukuh akan kewibawaan Lutfi dalam arena penulisan dan kesusasteraan kita.

Saya pula menganggap bahawa ada satu lagi titik puncak Lutfi dalam genre esei …

Sebelum ini, saya sendiri seboleh mungkin akan cuba hadir dalam program sastera anjuran PENA selepas mengetahui bahawa Lutfi ialah salah seorang pembentang kertas kerja dalam acara tersebut. Apabila sesi Lutfi akan mula membentangkan kertas kerja, ada pengkaji yang juga sarjana sastera yang akan cepat-cepat bergegas ke dewan tempat beliau bakal membuat pembentangan. Selalunya, saya akan memerhatikan hal itu, kerana diri sendiri juga termasuk dalam golongan yang bergegas ke dewan seminar tersebut, berjalan cepat-cepat, bimbang kalau-kalau sesi pembentangan Lutfi itu sudah bermula.

Apabila Lutfi mula saja berbicara, saya akan melihat, ada cerdik pandai yang turut sama jadi pembentang dalam bengkel atau seminar berkenaan pun akan sungguh-sungguh memberikan perhatian pada penyampaian Lutfi. Begitulah Lutfi, ramai yang akan memberikan perhatian kepada buah fikirnya kerana dalam program sastera yang besar anjuran PENA, namanya tidak pernah dilupakan sebagai salah seorang pembentang kertas kerja.

Salah satu kegemarannya apabila kami keluar minum ialah air kelapa.

Hinggalah pada satu ketika, kertas kerjanya semasa PPMN ke-3 di Akademi Kenegaraan pada tahun 2011 berjudul “Pengarang Muda, Tanggungjawab dan Cabaran Zaman” diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013. Lutfi sendiri bercerita tentang pengalaman menulis makalah istimewa ini. Katanya, esei berkenaan dikarang menjelang berlangsungnya PPMN ke-3 dalam masa satu hari, dari pagi hingga ke malam. Ketika itu, dia bersendirian di rumah dan berpeluang memberi sepenuh tumpuan kepada penulisan, kerana anak-anak dan isteri pula telah pulang ke kampung halaman kerana waktu cuti persekolahan.

Walaupun mungkin ada yang melihat esei pembentangan semasa PPMN ke-3 itu sebagai titik puncak ketika menilai kewibawaan Lutfi dalam penulisan esei kerana kemenangan tulisan tersebut dalam HSPM 2013, namun saya pula menganggap bahawa ada satu lagi titik puncak Lutfi dalam genre esei, iaitu setelah dia berjaya menghasilkan esei “Sastera dalam Huraian Ketamadunan dan Amalan di Luar Kebiasaan sebagai Langkah Utama Kelahiran Dunia Sastera Malaysia yang Seharusnya” yang ditulisnya untuk dibentangkan ketika Sidang Kemuncak Penulis Malaysia pada tahun 2014.

Hal ini kerana, esei tersebut merupakan antara esei atau makalah sastera terbaik yang pernah ditulis di Malaysia, kerana esei tersebut hampir menyeluruh menyentuh berkenaan masalah yang berlaku dalam dunia sastera Malaysia pada waktu semasa ketika ditulis, berserta penyelesaian pada segala permasalahan turut dibincangkan. Malah, Lutfi sendiri mengakui mengambil masa sekitar empat lima hari juga untuk menyiapkannya dan terus saja demam sejurus selesai menulis esei berkenaan. Esei yang sangat bermutu itu boleh dibaca dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM, 2014).

Pencapaian yang telah dirangkul oleh Lutfi dalam ranah kesusasteraan ini sepanjang lebih dua dasawarsa kehadirannya menjadi bukti kukuh bahawa Lutfi layak berada di kedudukannya sekarang.

Kini, dia telah berdiri dengan gagah berani dan perkasa bersama idea besarnya (yang sentiasa kami nanti-nantikan) sebagai penyampai syarahan ucaptama semasa PPMN yang diadakan bersama Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Hotel Royal Park, Uniten, Bangi pada 18 Disember 2024 lalu. Dalam tentatif acara yang telah pun beredar melalui kumpulan WhatsApp sejak sebelum program, tidak ada judul disertakan untuk syarahannya itu, yang lebih membuatkan kami ternanti-nanti dan berasa begitu teruja untuk mengetahui apakah mauduk syarahan terpenting Lutfi kali ini.

Lutfi sedang membelek buku Prof. Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudyaan Melayu.

Kemunculan Lutfi sebagai penyampai syarahan ucaptama PPMN kali ini saya kira adalah pada waktu yang tepat, iaitu pada bulan yang sama beliau diangkat menjadi Karyawan Bulan Ini majalah Dewan Sastera (keluaran Disember 2024). Tarikh syarahan ucaptamanya itu juga bertepatan pada 44 tahun umur Lutfi kerana pada Disember 2024 itu jugalah merupakan bulan terakhir beliau berada pada usia tersebut, sebelum bakal menginjak usia 45 pada 27 Januari 2025.

Pencapaian yang telah dirangkul oleh Lutfi dalam ranah kesusasteraan ini sepanjang lebih dua dasawarsa kehadirannya menjadi bukti kukuh bahawa Lutfi layak berada di kedudukannya sekarang. Sebenarnya, usia tersebut tidaklah terlalu awal sebagai penyampai ucaptama jika kita berpaling ke belakang seketika menoleh semula pada apa yang telah dicapai oleh para pengarang terdahulu di Nusantara. Goenawan Mohamad menerima SEA Write Award ketika usianya 40 tahun. Shahnon Ahmad menerima Anugerah Sastera Negara dengan gelaran Sasterawan Negara daripada Yang Dipertuan Agong tatkala umurnya 49 tahun pada tahun 1982.

Oleh itu, Lutfi diangkat sebagai penyampai pidato ucaptama PPMN dan Tetamu Khas Malam Puisi PENA ketika usianya 44 tahun merupakan waktu yang tepat. Sedang elok pula selepas dia menerima pengiktirafan peringkat Nusantara, iaitu sebagai Sasterawan Muda MASTERA pada tahun 2023. Ketika memulakan syarahan ucaptamanya itu, Lutfi sendiri memaklumkan bahawa pidatonya itu dianggapnya umpama satu syarahan pengukuhan terhadap kemenangannya sebagai Sasterawan Muda MASTERA.

Lutfi menyampaikan syarahan ucaptamanya di PPMN 2024 dengan tidak lupa menyentuh sedikit tentang titik akhir kehidupan seorang insan pengarang yang juga sama dengan mana-mana insan pun, iaitu berakhir dengan kematian. Walaupun dia sedang berada pada kemuncak kepengarangannya sebagai presiden penyair generasi 2000 (gelaran yang diberikan oleh saya sendiri), namun segala julangan dan pengiktirafan itu tidak pernah melupakan titik akhir kehidupan insan apabila dia yang kebetulan berkunjung ke Kelantan pada akhir Disember 2024 lalu, meminta saya agar membawanya ke kubur Almarhum Rahimidin Zahari di Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu.

Setelah agak lama mencari hingga tersalah ke tanah perkuburan yang lain selepas berpusing dalam kawasan kampung dan bertanya orang, akhirnya, bantuan daripada penyair M. Arif menemukan kami dengan makam penyair Sekepal Tanah yang terletak di Tanah Perkuburan Tok Canggah tersebut. Sejak bersahabat hampir suku abad, maka hari itulah buat pertama kali saya melihat tangisnya. Dia mengesat air mata dengan tekak baju t-shirt birunya yang tidak berkolar. Teramat sebak dia mengenang sahabat baiknya dalam dunia penulisan dan kepenyairan.

Lutfi bersama-sama penulis di pusara Allahyarham Rahimidin.

Saya sendiri apabila rindukan syarahan dan buah fikir Profesor al-Attas, akan segera menghubunginya untuk bertemu mengopi di mana-mana. Biasanya di restoran berdekatan rumahnya di Shah Alam atau sesekali di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Pertemuan itu seperti menjadi satu kewajipan bagi Lutfi untuk mensyarahkan pelbagai ilmu dan buah fikir Profesor Naquib kepada saya. Dialah guru ilmu falsafah di samping menjadi sahabat sehati sejiwa dalam sastera. Pernah sekali, ketika kami berjumpa di Amcorp Mall, saya memang suka bertanya buku-buku yang sedang dibacanya agar saya pun mendapat ilmu daripada buku-buku itu. Lutfi mengeluarkan sebuah buku tebal kulit keras daripada beg galas yang dibawanya bertajuk In Search of The Sacred karya terkenal seorang intelektual tersohor Islam, Syed Hossein Nasr. Buku itulah yang sedang ditekuni pada tempoh berkenaan.

Hari ini baru saja beberapa hari melepasi tarikh 27 Januari 2025, maka sudah genaplah usianya 45 tahun. Biarlah catatan ini dijadikan sebagai hadiah hari jadi yang tidak seberapa, istimewa daripada saya untuknya yang sudi mengiktiraf saya sebagai sahabat dunia akhiratnya. Untuk dapat memiliki sahabat sejati, tentu saja amat sukar; pengiktirafan itu biarlah saya abadikan dalam bentuk tulisan ini, sebagai dokumentasi kami berdua yang sama-sama melalui kepahitan dan jerih perih di jalan sastera ini, sejak lebih dua dekad silam.

Saya yang barangkali sekadar cuba mahu menggantikan tempat arwah Abang Rahimidin untuk menjadi sahabat baiknya, akan meneruskan persahabatan ini dan ingin terus menyorot jiwa, peribadi dan budi seorang lelaki pengarang bernama Lutfi Ishak untuk tempoh masa sekitar 15 tahun lagi. Dua tiga tahun ke hadapan, dia tentunya akan memberikan kita kejutan lagi dan lagi – saya pasti, dengan karya besarnya yang akan muncul di persada sastera Malaysia, yang tentunya, akan memperkukuh kedudukannya sebagai pengarang sejati dan sasterawan ulung.

Saya amat bertuah sebenarnya kerana dapat mengikuti rapat kepengarangan Lutfi yang alhamdulillah, sudi dikongsi oleh dia sendiri. Pada tahun 2040 nanti, insya-Allah, saya akan sekali lagi menyorot perihal kepengarangan dan kepenyairan Muhammad Lutfi Ishak untuk melihat susuknya sebagai sasterawan yang pastinya pada ketika itu telah bergelar pengarang besar dan penyair tersohor Malaysia abad ke-21 pula.

Muhammad Lutfi Ishak ialah Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.12/2024. Beli majalah Beli majalah Dewan Sastera Bil.12/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Salman Sulaiman dan Muhammad Lutfi Ishak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi