Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMuhammad Lutfi Ishak memberikan reaksi terhadap polemik kefahaman puisi yang baik.
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus menempatkan pertanyaan pada tempatnya yang betul. Salah meletakkan tempat atau meninggalkan salah satu persoalan, akan menyebabkan soalan ini terperangkap dalam dualisme objek-subjek, yang pada akhirnya, menyebabkan perbincangan ini tidak akan pernah selesai.
Saya ingin memulakan dengan anekdot. Seorang suami mengesyaki isterinya mengalami masalah pendengaran. Dia teringat dengan satu petua untuk mengenal pasti seseorang itu pekak atau tidak. Suatu hari, sepulang dari pejabat, dia pun mencuba petua tersebut.
Ketika membuka pintu, isterinya sedang memasak di dapur. Dia pun bertanyakan jenis masakan yang sedang disiapkan oleh isterinya. Namun, dia mendapati tiada sebarang respons. Kemudian, dia bergerak lebih dekat. Soalan yang sama ditanyakan. Malangnya, dia mendapati isterinya tetap tidak memberikan jawapan. Akhirnya, dia berdiri betul-betul di belakang isterinya lalu bertanyakan soalan yang sama. Ketika itulah dia mendengar isterinya berkata: “Sudah tiga kali saya cakap, mi goreng!”
Anekdot di atas cepat hadir dalam fikiran saya apabila beberapa bulan lepas ketika satu pandangan yang menegaskan ciri utama puisi yang baik adalah boleh difahami dibincangkan secara meluas. Penyataan tersebut kelihatannya diterima secara harfiah. Apabila diterima secara literal, maka, akibat mantiknya jelas sekali: Puisi yang tidak boleh difahami ialah puisi yang cela.
Mungkin sebab itulah, pandangan tersebut kelihatannya memicu kehebohan dalam kalangan penulis sajak dan peminat sastera, khususnya mereka yang (1) kurang atau (2) tidak bersetuju.
Kedua-dua kelompok itu jelas mempermasalahkan premis yang dinyatakan. Kelompok yang kurang bersetuju melihat puisi yang baik tidak semestinya difahami. Kelompok yang tidak bersetuju pula melihat bahawa tidak ada kaitan antara puisi yang baik dengan soal boleh atau tidak sesuatu puisi tersebut difahami. Pandangan ini kelihatannya menegaskan puisi sebagai suatu kejadian objektif.
Kemungkinan persoalan ini berpanjangan kerana tidak meletakkan perbincangan pada tempatnya. Sewaktu menjawab persoalan ini, kelihatannya ramai yang mencari kata putus tetapi tanpa cuba melihat apakah itu permasalahan luaran puisi, iaitu pada subjek (boleh difahami) atau apakah itu permasalahan dalaman, iaitu pada objek (puisi).
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus menempatkan pertanyaan pada tempatnya yang betul. Salah meletakkan tempat atau meninggalkan salah satu persoalan, akan menyebabkan soalan ini terperangkap dalam dualisme objek-subjek, yang pada akhirnya, menyebabkan perbincangan ini tidak akan pernah selesai.
Untuk melihat apakah puisi yang baik boleh difahami, kita perlu mengetahui terlebih dahulu puncanya. Apakah sebab puisi itu tidak boleh difahami? Adakah kerana masalah pada subjek atau masalahnya pada objek?
Untuk menjawab persoalan yang menyentuh objek, iaitu puisi, saya ingin berpijak pada takrifan puisi sebagai suatu karangan yang bertujuan untuk menyatakan pengalaman insan. Pengalaman tersebut pula diungkapkan dengan memilih kata-kata yang paling baik dengan turut memanfaatkan unsur-unsur tercantik dalam sesuatu bahasa itu. Daripada takrif ini, ada tiga unsur yang paling jelas dalam puisi, iaitu (1) pengalaman, (2) kata dan (3) cara.
Unsur (1) ialah unsur paling penting. Dalam faham puisi Melayu, pengalaman yang bermakna dinyatakan sebagai elok. Walau bagaimanapun, unsur keelokan ini dibangunkan oleh unsur (2) dan (3). Jika unsur (2) dan (3) ini dimanfaatkan, maka kesannya ialah keindahan. Apabila ketiga-tiga unsur tersebut ada, maka, itulah puisi yang baik.
Biarpun unsur (1) ialah unsur paling penting, namun, kepentingannya tidak akan kelihatan jika unsur (2) dan (3) diabaikan. Pengabaian unsur (2) dan (3) akan menyebabkan dua kemungkinan sahaja.
Yang pertama, puisi itu hambar. Maksudnya, pengalaman yang ada dalam puisi dapat difahami namun tidak menimbulkan keindahan. Oleh sebab keindahan bahasa adalah sebahagian daripada kebaikan yang boleh didapati daripada puisi, maka, puisi yang memiliki kata-kata yang kurang baik dan tidak memanfaatkan unsur tercantik dalam sesuatu bahasa, bukanlah puisi yang baik. Maksudnya, puisi yang boleh difahami tidak menjamin sesuatu puisi itu baik.
Yang kedua, pengalaman tersebut tidak boleh difahami. Hal ini kerana, kata-kata yang dipilih tidak baik sehingga mengakibatkan pengalaman yang menjadi tunjang puisi tidak berjaya dimunculkan akibat kendala bahasa dalam puisi itu sendiri. Jika inilah puncanya, maka ramai yang boleh menerima puisi yang tidak boleh difahami ialah puisi yang buruk. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh tulisan asal yang membangkitkan persoalan puisi yang baik boleh difahami.
Walau bagaimanapun, apakah ada kemungkinan puisi itu tidak difahami biarpun ketiga-tiga unsur yang dinyatakan telah ada? Hal ini boleh sahaja berlaku. Namun, perbincangannya perlu diletakkan pada tempatnya yang betul terlebih dahulu, iaitu bukan pada puisi.
Dalam erti kata lain, puisi itu tidak difahami kerana sebab-sebab di luar puisi itu sendiri, bukanlah kerana puisi itu tidak baik. Soal ketidakfahaman di situ ada pada subjek, seperti isu kognitif dan pengalaman yang terhad atau isu-isu yang lebih kompleks seperti batasan kajian atau kekurangan-kekurangan tertentu dalam teori yang menjadi dasar penilaian. Dalam konteks inilah, saya fikir, anekdot di atas memberikan jawapannya.
Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.