Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Tidak semua orang mampu menghasilkan puisi yang baik kerana ada kala ia hanyalah sekadar susunan kata-kata, manakala definisi kapitalisme yang menjalar hampir di setiap ruang kehidupan menyebabkan sastera semakin terpinggir daripada sistem pendidikan.
Hal ini yang boleh disimpulkan menerusi forum hari pertama Festival Puisi Selangor 2024 bertajuk “Puisi: Mengenyangkan Perut yang Lapar?” Acara itu menampilkan penyair, Lutfi Ishak; penulis, Ahmad Muziru Idham dan penyanyi Wani Ardy dimudahcarkan oleh Qurratul ’Ain.
Ahmad Muziru ketika memulakan acara itu menyatakan persoalan sama ada puisi itu mengenyangkan atau tidak sudah pun berteraskan kapitalis. Hal ini seolah-olah memberikan konotasi, jika tidak memberi untung maka ia tidak berfungsi.
“Pendidikan sudah mula tinggalkan sastera kerana pembangunan negara diukur dengan seberapa besar, setinggi mana bangunan atau teknologi, sedangkan sastera tidak menawarkan hal-hal sebegitu.
“Persoalan puisi itu boleh kenyangkan orang lapar, kalau kita lihat dari segi kapitalistiknya, tentu saja tidak. Tetapi jika kita lihat dari segi bahasa dan kata-kata, terdapat hubungannya dengan penulis, pembaca atau audiens,” katanya.
Sementara itu, Lutfi ketika ditanya oleh moderator jika puisi itu mesti intelektual, beliau menyebutkan, selagi puisi menyatakan hal pengalamann manusia, dibina dengan kata-kata yang baik dan indah, jadi itulah puisi.
“Kita sebagai pembaca pula, membaca mengikut pengalaman kita dan worldview. Tahap menilai sama ada puisi itu baik atau tidak pula bergantung hanya pada puisi itu tetapi juga siapa orang yang membacanya,” katanya.
Tambah Lutfi, puisi bergerak dengan pengalaman penulis dan pengalaman itu mungkin pengalaman intelektual atau reaksinya terhadap pemikiran daripada buku yang dibacanya.
Penulis katanya, mesti menulis berdasarkan pengalamannya dan bukan menulis sekadar ikut trend semasa.
“Satu masalah dengan puisi ialah semua orang boleh mengakses kepadanya dan dia pun tulis puisi atau menyusun kata-kata tapi bila kita baca, hambar.
“Sebab itu, apabila kita jumpa puisi yang betul kita akan tahu bahawa puisi itu ditulis oleh penyair,” katanya.
Tambah Lutfi, satu hal lagi yang mungkin agak kontroversi ialah isu mengenai kesarjanaan sastera yang disifatkannya, jika tidak runtuh pun, mungkin berada dalam keadaan tenat.
“Hal ini bukan bermaksud kita tidak ada sarjana sastera yang berwibawa tetapi ada yang hanya duduk di dalam universiti sahaja dan menulis hanya untuk mengejar KPI.
“Mereka juga tahu hal itu dan ada yang cuba untuk mengubahnya tetapi terikat dengan sistem sedia ada,” katanya.
Festival Puisi Selangor diadakan pada 20 dan 21 Julai dan dikendalikan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (Kemudi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Kredit Foto: Kemudi