Oleh Karmila Azmi
23 Disember 2024, 07:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) III dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) IV, yang berakhir Jumaat lalu hangat dengan isu mengenai pendanaan dalam usaha mengantarabangsakan sastera Malaysia.

Dalam sidang yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 18 Disember itu, isu pendanaan sudah dihangatkan oleh dua panel pada sesi pertama PPMN, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Patriot, Jamalee Bashah dan Penolong Pengarang Berita, Berita Harian Hafizah Iszahanid.

Mengupas tajuk “Sastera sebagai Komoditi: Ruang dan Peluang”, kedua-dua panel bersetuju agar usaha untuk mengantarabangsakan sastera Malaysia harus disokong oleh pendanaan yang besar.

Memetik perkembangan gelombang Hallyu sejak 20 tahun lalu, Hafizah menyebut, keupayaan novelis Korea Selatan, Han Kang menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada Oktober lalu, tidak berlaku sekelip mata sebaliknya merupakan tempias daripada demam K-Pop dan gelombang Hallyu.

Jamalee turut bersetuju dengan menyebut, bermula dengan K-Pop, masyarakat dunia ikut teralun dengan kuasa lunak Hallyu hingga mula berminat untuk mengenali seni dan sastera negara itu.

Hal yang sama ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Dr. Ramzah Dambul dalam sesi pertama SKPM pada hari terakhir persidangan, yang mengupas tajuk “Pengantarabangsaan Sastera Malaysia”.

Datuk Dr. Ramzah Dambul

Tegas Ramzah, peruntukan yang diperoleh oleh bidang sastera tidak cukup besar berbanding sains.

“Tamadun dibina oleh persuratan dan kesusasteraan, namun peruntukan yang diterima oleh dunia sastera masih kecil.

“Dana yang diterima sangat rendah dibandingkan dengan bidang lain, sedangkan persuratan itu adalah akal kepada ilmu,” katanya.

Hal sama ditegaskan oleh Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faizal Sheikh Mansor yang menegaskan, walaupun menulis dalam bahasa kebangsaan sendiri, penulis Korea Selatan juga China dan Jepun mampu menarik perhatian dunia untuk menikmati karya mereka.

“Misalnya, novelis Korea Selatan, Han Kang menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, hal ini membuktikan kita perlu dana penterjemahan yang besar jika mahu mengantarabangsakan sastera kita,” katanya.

Dalam masa sama, Sheikh Faizal berkata bahawa keupayaan Korea Selatan melihat sastera dan seni sebagai komoditi membantu kejayaan mereka kerana melaluinya, kerajaan memberikan dana yang cukup besar untuk menyokong kejayaan dunia sastera dan seninya.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Tuan Sheikh Faizal Sheikh Mansor.
Kredit Foto: PENA
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.