Oleh Nizam Idris
18 September 2023, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nizam Idris melihat isu penterjemahan agar nadi bahasa Melayu dan sastera Melayu dapat diperkasakan.

Begitu pun, penggunaan sesuatu perkataan itu bagi mencerminkan sesuatu entiti itu adakalanya menimbulkan tanda tanya, malah seperti bercelaru identitinya, terutamanya dalam penjenamaan atau penjenamaan semula.

Bahasa Melayu kekal menjadi perkara utama yang diberikan perhatian oleh kerajaan baharu yang terbentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15. Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan yang kerajaan pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Namun begitu, sejak dua dekad ini, kita menyaksikan bahasa Melayu berdepan dengan cabaran yang bukan sedikit daripada dasar kerajaan sendiri yang sentiasa berubah-ubah. Mungkinkah dalam angan-angan kita, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diberi mandat yang lebih besar, biar berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan Goethe Institute kebanggaan Jerman atau British Council kemegahan United Kingdom seperti dihasratkan oleh mantan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik ketika tempoh Pakatan Harapan menerajui kerajaan? Atau dapatkah kita berimpian agar Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjadi popular dan ternama seperti Literature Translation Institute of Korea (LTI), walaupun tarikh penubuhannya tidaklah berbeza namun barangkali kini sudah tidak berada pada tahap yang sama?

Mungkin kita perlu menekan butang jeda sebentar terlebih dahulu. Kita harus dahulu perlu menyelak-nyelak (perkataan ini barangkali tidak sesuai lagi dalam era komunikasi digital ini) atau membuat carian Google mengenai kementerian dan agensi yang bernaung di bawah kerajaan. Barulah kita tersedar daripada mimpi (yang terlalu panjang sebenarnya), bahawa bahasa Melayu tidaklah digunakan secara meluas dalam dunia digital ini, bagi mewakili jenama sesebuah institusi.

Dalam konteks Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, maka penggunaan kedua-dua bahasa ini dalam komunikasi sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita, sama ada digunakan dalam urusan rasmi atau tidak rasmi. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan kedua-dua bahasa ini dalam penamaan sesebuah institusi. Sebagai contoh, nama sesebuah institusi pengajian tinggi (dan entiti di bawahnya) mempunyai kedua-dua bahasa dan diletakkan dalam papan tanda, laman sesawang dan logo institusi tersebut. Contohnya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggunakan The National University of Malaysia sebagai terjemahan dalam bahasa Inggeris pada logonya.

Menurut J.C. Catford (1965), terjemahan membawa maksud penggantian bahan teks dalam sesuatu bahasa (bahasa sumber) dengan bahan yang sepadan dalam bahasa lain (bahasa sasaran). Manakala dalam The Theory and Practice of Translation (1982), Nida dan Taber mentakrifkan penterjemahan sebagai “menghasilkan semula dalam bahasa sasaran padanan paling hampir dan sesuai dengan bahasa sumber, pertama sekali dari segi maknanya, dan keduanya dari segi gaya penulisan.” Begitu pun, penggunaan sesuatu perkataan itu bagi mencerminkan sesuatu entiti itu adakalanya menimbulkan tanda tanya, malah seperti bercelaru identitinya, terutamanya dalam penjenamaan atau penjenamaan semula. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan perkataan yang sama dalam bahasa Inggeris namun menjadi berbeza (atau sebenarnya sama dari segi tatabahasa dan maknanya?) apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Jika kita melayari laman sesawang kementerian, kita akan mendapati, kebanyakan laman web rasminya menggunakan singkatan daripada perkataan bahasa Inggeris. Contohnya, Kementerian Pendidikan Malaysia menggunakan www.moe.edu.my dengan MOE tersebut merujuk Ministry of Education. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggunakan MITI (Ministry of International Trade and Industry). Begitu juga Kementerian Kewangan menggunakan singkatan MOF (Ministry of FInance). Hanya beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggunakan singkatan bahasa Melayu, iaitu KPKT. Malah, penggunaan singkatan ini digunakan secara meluas dalam media.

Terjemahan asal daripada perkataan bahasa Inggeris ini juga berubah-ubah mengikut kerajaan yang terbentuk pasca pilihan raya umum. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sebelumnya dikenali sebagai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT; ya, pernah juga dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi pada awal penubuhannya pada tahun 2004), namun istilah dalam bahasa Inggeris kekal sebagai Ministry of Higher Education (MOHE). Begitu juga, Kementerian Pendidikan yang pernah dikenali sebagai Kementerian Pelajaran suatu ketika dulu tetap sebagai Ministry of Education (MOE).

Kita seolah-olah gagal menyedari betapa pentingnya jejak digital ini pada masa kini atau kita sebenarnya lebih selesa dengan singkatan dalam bahasa Inggeris itu, setelah bertahun-tahun menggunakannya.

Kekeliruan ini juga timbul di institusi pengajian tinggi di negara kita, terutamanya dalam hal nama entiti akademiknya. Antaranya, perkataan School. Universiti Sains Malaysia (USM) menterjemahkan perkataan school sebagai “pusat pengajian”. Berbeza pula dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menggunakan istilah ‘sekolah’ sebagai padanan pada school. Universiti Utara Malaysia (UUM) juga pada asalnya menggunakan sekolah, tetapi pada masa kini juga menggunakan “pusat pengajian” setelah melalui proses penjenamaan semula. Begitu juga, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pada mulanya menggunakan istilah school (sekolah) telah menukar kepada fakulti. Penggunaan pusat pengajian ini dilihat lebih tepat menggambarkan maksud school buat peringkat pengajian tinggi berbanding dengan terjemahan sekolah oleh UTM yang kedengaran aneh dalam bahasa Melayu.

Institusi Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
UTM School of Education Sekolah Pendidikan
USM School of Educational Studies Pusat Pengajian Ilmu

Pendidikan

Penggunaan ‘sekolah’ seperti tidak tepat dalam bahasa Melayu. Jika diperhatikan terjemahan UTM, terjemahan ini seolah-olah terjemahan langsung dengan menukarkan perkataan school kepada sekolah. Sedangkan di Malaysia, sekolah itu merujuk sekolah rendah atau menengah, bukannya sesebuah institut pengajian tinggi (IPT). Colorado School of Mines contohnya ialah sebuah IPT di Amerika Syarikat (AS), namun menggunakan school. Begitu juga Boston College ialah sebuah universiti penyelidikan di AS; sedangkan istilah kolej di Malaysia merujuk sebuah IPT yang hanya boleh menawarkan program pada peringkat sijil dan diploma sahaja.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga ketika menstrukturkan entiti akademiknya dengan menggabungkan beberapa fakultinya kepada kolej menggunakan istilah kolej pengajian sebagai terjemahan college berbanding UUM yang menggunakan istilah kolej sahaja.

Institusi Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
UUM College of Business Kolej Perniagaan
UiTM College of Engineering Kolej Pengajian Kejuruteraan

USM juga menggunakan perkataan rancangan bagi merujuk program (programme dalam bahasa Inggeris). Contohnya, Rancangan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris. Hal ini berbeza daripada universiti lain yang menggunakan perkataan program. Begitu juga istilah junior dan senior. Dalam konteks universiti di Amerika Syarikat, junior ialah pelajar tahun ketiga manakala senior ialah pelajar tahun keempat. Hal ini berbeza daripada pemahaman di Malaysia yang merujuk pelajar senior sebagai pelajar lama atau kanan (tanpa mengira tahun pengajian yang ke berapa).

Bukankah sepatutnya penterjemahan itu mengambil kira aspek budaya dan masyarakatnya? Hal ini dapat dilihat melalui satu babak dalam drama bersiri Korea, Romance Is a Bonus Book (2019). Watak utama lelaki Cha Eun-Ho (lakonan Lee Jong-suk) berkata kepada watak utama wanita, Kang Da-i (lakonan Lee Na-young), 月が綺麗ですね (tsuki ga kire) yang bermaksud: bulan itu cantik. Kang Da-i terpinga-pinga kerana tidak memahami maksud sebenar ungkapan tersebut yang membawa maksud “Saya cintakan awak.” Konotasi ini dibuat oleh novelis zaman Meiji, Natsume Sōseki (1868–1912) untuk mengekspresikan rasa kasih sayang secara tidak langsung, memandangkan dalam masyarakat Jepun, “Saya cintakan awak” tidak diterjemahkan secara literal.

Adakah kerana terjemahan bukanlah satu bidang yang ditawarkan secara meluas di institusi pengajian tinggi di Malaysia, maka kita bergelut dengan isu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ini? Satu-satunya program terjemahan yang ditawarkan di Malaysia ialah di USM, di bawah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, iaitu Sarjana Muda Sastera (Terjemahan dengan Interpretasi). Dan satu-satunya badan terjemahan di Malaysia ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Kita seolah-olah gagal menyedari betapa pentingnya jejak digital ini pada masa kini atau kita sebenarnya lebih selesa dengan singkatan dalam bahasa Inggeris itu, setelah bertahun-tahun menggunakannya. Maka, singkatan MOTAC yang mewakili Ministry of Tourism, Arts and Culture (MOTAC) itu kekal, biarpun kerajaan silih berganti. Tidak pula kita menggunakan istilah KPSB (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).

Apakah nanti akan ada usaha untuk menyelaraskan semula semua istilah dan singkatan ini dalam bahasa Melayu di peringkat kementerian dan juga institusi pengajian tinggi agar dua badan kerajaan ini benar-benar mewakili wajah dan suara Malaysia itu sendiri yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu? Mungkin dengan usaha awal ini, bahasa Melayu (dan sasteranya) akan menjadi megah dan gah sekali lagi setelah runtuhnya Kota Melaka pada tahun 1511 yang menghilangkan status lingua francanya di rantau Asia Tenggara ini.

Kredit Foto: Kishor/Unsplash
_________________________

Nizam Idris lahir pada 16 November 1986 dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Karya penulisannya pernah tersiar dalam Tunas Cipta dan Dewan Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.