Oleh Khoo Phau Liang
14 November 2023, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Khoo Phau Liang ternanti-nanti sebuah program audio siar yang khusus membicarakan hal sastera tempatan waktu ini.

Kita perlukan orang yang banyak membaca, tinggi pengetahuan, ada pendirian, berkecuali, dan berani bersuara – tidak takut kepada sesiapa.

Kalau nak ikuti perkembangan politik, saya dengar audio siar Keluar Sekejap. Kalau nak kenali personaliti berjaya, saya dengar Mamak Sessions. Kalau nak belajar tentang kewangan, saya dengar Mr. Money TV.

Saya boleh mendengar sambil memandu kereta dari Jerteh sampai ke Tanah Merah. Bahkan dah sampai di rumah pun, kalau audio siar atau podcast itu masih panjang, saya akan duduk di dalam kereta dan mengikutinya sampai selesai.

Bayangkan, hal-hal politik yang rumit pun saya boleh faham dengan mendengar audio siar. Saya boleh bawa ke meja makan dan bincang pula dengan kawan-kawan sekerja yang lebih senior. Mereka juga menonton kupasan-kupasan daripada saluran audio siar yang lain.

Akan tetapi, kalau tentang polemik sastera di Malaysia, saya nak dengar di mana? Katanya hendak merakyatkan sastera?

Tentulah, jawapan yang jelas ialah saya kena membaca karangan dalam JendelaDBP. Kadang-kadang, dua atau tiga reaksi bertalu-talu terbit dalam seminggu.

Saya bukan generasi malas membaca. Saya tidak ada masalah untuk membaca karangan-karangan panjang. Saya juga selalu membaca esei, cerpen dan novel. Cuma kalau boleh, saya hendak menjimatkan masa.

Kalaulah ada audio siar sastera, saya boleh mendengar sambil membuat kerja lain. Lagi seronok kalau dapat mendengar perbahasan antara panel tentang isu-isu sastera setiap minggu. Apa-apa isu yang tiba-tiba panas menggelegak, ajak beberapa orang panel dan bahaslah secara kritikal dalam gelanggang audio siar, kupas sampai puas. Bukankah hal itu lebih cekap daripada asyik berbalas reaksi sampai berbulan-bulan? Susahnya hendak mengikuti polemik sastera. Entah bila hendak berakhir, tidak ada kesimpulan yang dicapai. Semakin mengusutkan kepala pula sudahnya.

Rasa-rasalah, kalau betul-betul jadi, siapa yang boleh menjadi pengemudi audio siar sastera nanti? Editor Dewan Sastera mungkin, tetapi kurang sesuai juga kerana beliau terikat dengan tuntutan organisasinya. ZRA Strim juga boleh sebenarnya, memandangkan Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad sendiri ialah penulis dan kadang-kadang beliau ada juga memperkenalkan novel-novel sastera dalam strim. Akan tetapi, beliau lebih berjiwa wartawan. Selain sastera, banyak lagi isu mustahak berkaitan negara dan dunia yang hendak disampaikan kepada khalayaknya.

Kita perlukan orang yang banyak membaca, tinggi pengetahuan, ada pendirian, berkecuali, dan berani bersuara – tidak takut kepada sesiapa.

Tiba-tiba saya teringatkan Wan Nor Azriq.

Saya tidaklah mengenali beliau secara rapat, tetapi saya pernah membaca Mana Dadu Darjeeling?, sebuah kumpulan cerpen yang penuh misteri. Malah, setakat yang saya perhatikan di Facebook, beliau banyak pengetahuan dan cukup garang ketika mengkritik karangan orang. Saya sudah dapat membayangkan dalam audio siar nanti, beliau mengkritik isu-isu semasa sastera, membedah karya-karya puisi, cerpen dan novel penulis tempatan.

Cuma saya tidak pasti kalau-kalau beliau gemar bercakap.

Jack Malik, Hidayyah AT Mizi, Sanusi Ibnu Din Assingkiri, dan Lokman Hakim (sekadar memetik beberapa nama yang pernah menulis reaksi) atau sesiapa pun, harap-harap ada orang yang sanggup membuka jalan ke arah penyiaran audio siar khusus sastera. Takkan dalam lima tahun mendatang kita masih nak berbalas-balas surat reaksi lagi? Orang muda (yang lebih muda dan lebih sibuk daripada kita nanti) ada masa nak bacakah? Takut-takut, orang yang itu-itu juga asyik berbalas sambut reaksi di Jendela. Kemudian timbul pula soalan yang sama, ke mana menghilangnya orang muda? Sekali kena pada batang hidung sendiri kelak, baru tahu.

Kredit Foto: Will Francis/Unsplash

_________________________

Khoo Phau Liang seorang guru yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Jerteh. Gemar membaca dan pernah menulis beberapa puisi yang terbit di sana sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.