6 Disember 2023, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Walaupun tidak boleh tetapi tetap mahu menyanyi, wajarkah seseorang itu mengaku dia seorang penyanyi? Walaupun tidak mampu tetapi ingin melukis, bolehkah seseorang itu mendakwa dia seorang pelukis? Begitu juga dengan menulis. Tanpa menyebut nama sesiapa, Raja Yusoff Ariffin gusar dan hairan dengan para penulis yang tidak menulis.

Jika menjadi penulis, perkara yang paling wajar dilakukan ialah menulis tanpa mengira sama ada seseorang itu menyertai persatuan penulis atau bergerak sendirian.

Banyak persatuan penulis di Malaysia bergabung di bawah naungan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) yang ditubuhkan pada tahun 1970.

Antara persatuan yang terkemuka dan aktif di bawahnya termasuklah Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA, pimpinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad selaku Presiden; Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang diketuai oleh Tuan Haji Abu Hassan Morad (Ketua Satu); Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS, pimpinan Ketua Satu, Tuan Haji Abd. Rashid Ahmad Rafie); dan Persatuan Kebajikan Penulis Selangor (KEMUDI, Encik Zainal Mohd. Jais sebagai Yang Dipertua).

Selain itu, termasuklah Persatuan Penulis Perlis (3P – Ketua Satu, Tuan Haji Muhammad Haji Harun); Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN – Ketua Satu, Puan Hajah Nisah Haron); Persatuan Penulis Melaka (PENAMA – Ketua Satu, Encik Ahmad Zauawi Che Kob); dan Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP – Ketua Satu, Dato’ Drs. Haji Anuar Ahmad).

Mahu menulis atau tidak, terpulang kepada masing-masing. Begitu juga dengan menyertai persatuan penulis. Tiada undang-undang yang mewajibkan kedua-dua penyertaan tersebut.

Walau bagaimanapun, setelah menyertai mana-mana persatuan penulis, seterusnya berada di bawah GAPENA, tentu sahaja penulis berkenaan perlu menghormati dan mematuhi perlembagaan atau peraturan persatuan yang disertainya. Mereka tidak boleh keluar masuk sesuka hati tanpa pemakluman berhemah, dan mencemarkan nama baik persatuan yang dianggotai.

Sebagaimana mukadimah tulisan ini, saya sekali lagi menarik perhatian bahawa jika menjadi penulis, perkara yang paling wajar dilakukan ialah menulis tanpa mengira sama ada seseorang itu menyertai persatuan penulis atau bergerak sendirian.

Tidak pelik kalau ada penulis yang prolifik dan cemerlang menulis walaupun tanpa menyertai persatuan penulis. Yang aneh dan menghairankan ialah penulis yang tidak menulis meskipun menganggotai persatuan penulis, malah menjadi pemimpinnya!

Apa tujuan mereka menyertai, apatah lagi mengetuai persatuan penulis? Apa yang mereka lakukan dalam persatuan yang dianggotai itu?

Ada yang menyertai persatuan penulis setelah menjadi penulis. Ada juga yang menyertai untuk mencari ilmu, dan mahu muncul sebagai penulis. Tidak salah, malah digalakkan.

Begitu juga kalau mereka yang berwibawa, suka bergiat dan berbakti. Mereka yang sedemikian berguna untuk bergiat atau merancakkan persatuan penulis. Hal itu sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi umum bahawa penulis hanya boleh menulis, tetapi tidak mampu mengurus organisasi.

Walau bagaimanapun, tidak wajar hanya bergiat dan berbakti tanpa menulis. Memang ada yang menulis pada awal-awal dahulu. Namun demikian, tiada ertinya jika mereka berhenti menulis setelah menjadi “orang kuat” persatuan penulis!

Menulis yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah menulis dan karya tersiar dalam media “rasmi” atau “yang diiktiraf” (berwibawa atau terkemuka), sama ada akhbar dan majalah (cerpen, puisi dan rencana), televisyen, radio, dan pentas (drama/teater), serta buku (novel, kumpulan dan/atau antologi dan rencana/kritikan).

Tulisan-tulisan yang tersiar atau disiarkan dalam media sosial seperti akaun Facebook dan blog sendiri tentulah tidak boleh dikira dalam hal ini.

Adakah setelah menulis dan karya diterbitkan baru seseorang itu boleh dipanggil penulis?

Ahli seumur hidup PENA yang telah muncul dengan kumpulan puisinya, Jawapan kepada Tuhan (ITBM, 2018), Dr. Faridah Jaafar, tanpa menyebut nama sesiapa, mengatakan, ada penulis yang hanya menjadikan persatuan sebagai pelantar untuk bergaul, dan suka bergambar.

“Saya tahu ada penulis yang lebih kerap berada dalam majlis-majlis anjuran persatuan penulis, berbanding kekerapan mereka berkarya dan tersiar di media massa berwibawa,” kata beliau yang bertugas sebagai pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Penyelaras Liga Penulis Kelantan, Mohd. Dahri Zakaria pula menegaskan bahawa menulis itu kerja seni. Begitu juga dengan memimpin persatuan penulis. Tambah beliau yang juga ahli PENA, penulis boleh memilih salah satu untuk dilakukan, ataupun mengerjakan kedua-duanya sekali.

“Jadi, tidak timbul soal memimpin persatuan penulis, tetapi tidak menulis. Memimpin dan menulis ialah satu pekerjaan,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa penulis yang tiada buku bukanlah penulis yang tidak menulis.

Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Norzuraina Mohd. Nor pula berpendapat, menulis itu kehendak, keinginan atau keperluan yang bergantung pada niat dalam diri masing-masing.

“Namun demikian, sebagai seorang yang dipanggil penulis, menulis menjadi kewajipan baginya. Memang aneh jika penulis tidak menulis,” katanya yang menulis menggunakan nama pena Ayudez Zuraina.

Walau bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PENA ini bertanya, adakah setelah menulis dan karya diterbitkan baru seseorang itu boleh dipanggil penulis? Hal ini kerana, katanya, menulis merupakan satu apresiasi terhadap sesuatu perkara atau mesej yang ingin disampaikan.

“Prolifik atau sebaliknya berperanan penting dalam menentukan kemenjadian seorang penulis. Jadi, wajiblah penulis menulis dan mengutarakan pemikiran yang mampu membuka medan keilmuan dalam masyarakat,” katanya, yang juga Presiden Katarsis Seni, dan seorang penggiat teater.

Namun demikian, Ayudez menegaskan bahawa penulis yang karyanya tidak diterbitkan masih boleh dipanggil penulis. Jika karya diterbitkan, tambahnya, mungkin boleh digelarkan sebagai “pengarang” pula.

Kredit Foto: Giuseppe Cuzzocrea/Unsplash

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.