Oleh Lokman Hakim
9 November 2023, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lokman Hakim melihat kelesuan penterjemahan karya-karya sastera tempatan dan rangkaian capaiannya di luar negara.

Saya tidak tahu apakah usaha institusi-institusi sastera dan perbukuan di negara ini sedang lakukan untuk mengangkat penulis-penulis penting kita ke persada antarabangsa.

Pada tahun 2012, China Educational Publications Import and Export Corporation (CEPIEC) melantik Ken Liu, penulis fiksyen sains Cina-Amerika dan juga penterjemah Joel Martinsen untuk menghasilkan terjemahan ke dalam bahasa Inggeris bagi novel The Three-Body Problem, tulisan Liu Cixin. Pada tahun 2014, novel terjemahan tersebut berjaya diterbitkan oleh penerbit Tor di Amerika manakala di England pula, diterbitkan oleh Head Zeus.

A Minor Detail, karya warga Palestin, Adania Shibli pula diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Elisabeth Jaquette. Jika dilihat penglibatan Adania Shibli yang bertapak di Berlin, Jerman dan kerap berulang alik ke Jerusalem, tidak sukar membayangkan penulis warga Palestin ini membina namanya melalui beberapa penerbitan tulisannya dalam ruang lingkup kesusasteraan Eropah.

Bonsai, novel pertama Alejandro Zambra, penulis Chile, menjadi fenomena di negara kelahirannya itu. Novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Carolina Robertis, lalu diterbitkan oleh Melville Publishing House, sebuah rumah penerbitan di Brooklyn, New York yang mempunyai rangkaian jualan merentasi Amerika dan Eropah. Dalam masa lima tahun novel itu diterbitkan, sebuah filem adaptasi daripada novel tersebut telah ditayangkan di Festival Filem Cannes pada tahun 2011.

Saya boleh menyenaraikan beberapa kejayaan penulis-penulis luar negara yang berjaya menembusi tembok perbezaan bahasa sehingga meluaskan capaian dan jualan karya-karya mereka. Kita dapat melihat jalan-jalan yang berbeza untuk setiap penulis-penulis ini. Liu Cixin dibantu oleh kerajaan China untuk meluaskan capaian pembacaan karya-karyanya. Adania Shibli pula berjinak-jinak dengan pemain-pemain penting dalam kesusasteraan Eropah untuk membuka jalan penyebaran terjemahan karya-karyanya. Alejandro Zambra pula membina namanya di negaranya sendiri sehingga menjadi fokus penterjemah-penterjemah luar negara.

Saya tidak tahu apakah usaha institusi-institusi sastera dan perbukuan di negara ini sedang lakukan untuk mengangkat penulis-penulis penting kita ke persada antarabangsa. Teringin juga untuk melihat kertas-kertas kerja ataupun kertas cadangan yang dirangka oleh badan-badan sastera kita dibicarakan di pentas-pentas tertentu dalam agenda untuk menyebarkan kemegahan sastera Melayu ke seluruh dunia. Manalah tahu, ada idea bernas yang boleh dikongsi oleh para penulis kita, khususnya yang sedia maklum akan ranah kesusasteraan antarabangsa.

Harus diakui, kerja penterjemahan semata-mata tidak memadai, tetapi haruslah dilorongkan kepada penerbit dan ejen persuratan yang relevan untuk meluaskan capaiannya ke seluruh dunia. Namun begitu, meskipun kerajaan telah mengumumkan pemberian dana penterjemahan sebanyak RM20 juta pada 24 Februari 2023 kepada badan tertentu, saya tetap skeptikal bahawa peruntukan ini akan memberi perubahan besar pada landskap kesusasteraan negara. Malah, hal ini disusuli pula dengan nilai RM50 juta yang disalurkan kepada beberapa agensi yang berpotensi. Di negara ini, kita cenderung memberi ruang penterjemahan terhadap karya-karya yang tidak begitu universal temanya untuk diterima oleh khalayak pembaca antarabangsa. Hasilnya, karya tersebut diterjemahkan tetapi tidak berjaya mendapat capaian yang diharapkan.

Kita harus akur pada banyak kekangan dan juga ketentuan nasib. Mencari ejen persuratan yang berpengaruh dan mempunyai kuasa dalam menentukan karya siapa yang harus diterbitkan oleh penerbit-penerbit tersohor antarabangsa tampaknya tidak mudah. Apabila membayangkan kesusahan para perwakilan dan penerbit kita di pesta-pesta buku antarabangsa mempersembahkan senarai karya-karya penting kita kepada penerbit-penerbit berpotensi menyedarkan saya betapa kerdilnya sastera kita di mata dunia. Apa yang penting di mata kita, kelihatannya tidak begitu mengujakan di mata penentu ranah kesusasteraan dunia. Betulkah begitu?

Kita punya begitu banyak sekali persatuan sastera yang langsung tidak menyediakan platform untuk penulis-penulis tempatan, khususnya yang menggunakan medium bahasa Melayu, untuk berpencak di pentas kesusasteraan antarabangsa. Hal ini tidak menghairankan kerana peranan persatuan-persatuan ini dihadkan oleh kekangan kewangan dan kekontangan visi para penggeraknya.

Saya melihat beberapa usaha penerbit-penerbit kecil mewujudkan agensi ejen persuratan, yang bermaksud untuk mengetengahkan karya-karya penting kita di persada antarabangsa. Namun begitu, sejauh mana mereka boleh pergi dengan kekangan dana yang begitu sedikit dan bergerak mandiri kebanyakan waktunya itu?

Saya hanya penulis kerdil yang memasang angan-angan bahawa karya-karya saya akan diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa asing suatu hari nanti, dengan bantuan kerajaan dan penerbit-penerbit mandiri. Angan-angan ini tampaknya kekal angan-angan kerana keterbatasan saya sendiri yang tidak mempunyai begitu banyak waktu untuk meladeni usaha pencarian penterjemah dan ejen persuratan yang akan membawa karya-karya saya ke tahap seterusnya.

Kita harus membincangkan lagi pelbagai taktik dan strategi demi mengangkat sastera kebangsaan ke persada antarabangsa yang masih kabur dan tidak jelas capaiannya ini. Taktik dan strategi baharu itu seharusnya diimplementasikan dan dijayakan sebaik mungkin. Dapatan daripada ejen-ejen persuratan di agensi kesusasteraan antarabangsa harus diperoleh dan dikaji supaya karya-karya yang memenuhi kehendak mereka itu boleh dihasilkan dan diangkat ke tahap seterusnya.

Mungkin kita harus himpunkan karya-karya yang sedia ada dan meruntuhkan seketika tembok sastera perdana dan sastera hiliran demi memberi definisi semula, apakah kekuatan dalam karya-karya kontemporari kita yang dicari-cari oleh khalayak pembaca antarabangsa? Hanya dengan meluaskan capaian pembacaan karya-karya penulis kita pada peringkat antarabangsa itulah sahaja yang mampu memberikan pendapatan bermaruah untuk mereka berkarya dengan selesa, tanpa dikekang oleh masalah kewangan dan waktu.

Melihat polemik sia-sia yang dibangkitkan oleh para penulis kita seputar isu penulis muda dan penulis tua itu menyedarkan saya juga, betapa ceteknya visi para penulis kita secara keseluruhannya. Kita berdegar-degar membincangkan perkara yang tidak memberi manfaat pada pembangunan sastera dan terus-menerus melontar persoalan-persoalan yang tidak berjawab.

Kredit Foto: Freestocks/Unsplash

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.