Oleh Sarah Ross
25 Ogos 2023, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyair muda Sarah Ross menyampaikan sisi reaksinya terhadap polemik lambakan puisi di media sosial yang tampaknya masih memberikan suntikan bicara yang bergema.

Seharusnya penulis pemula diraikan kerana bukanlah mudah untuk mereka mengetuk pintu dan menjemput diri sendiri masuk ke dunia penulisan melainkan kerana keinginan telah membenih dan berakar umbi dalam jiwa.

Mutakhir ini, isu tentang kualiti puisi yang dikongsikan di media sosial khususnya, menjadi gelombang yang hangat diperkatakan. Pelbagai reaksi dan pendapat diberikan. Namun begitu, menuding jari bukanlah jalan keluar, sebaliknya hanya mengeruhkan keadaan.

Lambakan puisi lemah dalam dunia sastera Malaysia hari ini memberi petanda bahawa pintu sastera sedang dimasuki secara berbondong-bondong! Betapa tidak, di media sosial khususnya, kita melihat nama-nama baharu yang mula berjinak-jinak menulis puisi, bagai cendawan tumbuh selepas hujan! Jika cendawan-cendawan kecil yang baru belajar menadah cahaya untuk memanjat naik ini dicantas, sepilah kembali dunia sastera.

Ada benarnya persoalan yang ditimbulkan oleh Hidayyah AT Mizi, “di gelanggang mana lagi penulis-penulis ini boleh berlatih untuk menajamkan kemahiran menulis mereka?”

Media sosial dilihat antara medium paling praktikal buat masa ini untuk para penulis menampal karya mereka kerana adanya hubungan dua hala antara penulis dengan pembaca. Reaksi dan kritikan pembaca antara suntikan yang memberi makna kepada perkembangan penulisan.

Sikap meletakkan label “puisi merapu” terhadap usaha menyemarakkan dunia sastera ini mungkin kurang tepat. Ibnu Din Assingkiri dalam tulisannya berpendapat, menulis puisi ialah sebuah proses seperti permulaan seorang bayi. Seharusnya kita mempercayai sesebuah proses itu tentulah mengambil tempoh masa yang tertentu, bergantung pada tahap perkembangan seseorang penulis tersebut.

Seharusnya penulis pemula diraikan kerana bukanlah mudah untuk mereka mengetuk pintu dan menjemput diri sendiri masuk ke dunia penulisan melainkan kerana keinginan telah membenih dan berakar umbi dalam jiwa. Biarkan benih ini berdikit-dikit mencari cahaya, dan akhirnya tegak menjadi pohon yang segar, meneduhkan dunia sastera dengan rendangnya.

Tatkala melihat gelombang yang dilancarkan oleh ramai penulis melalui banyaknya penyertaan penerbitan antologi puisi dan perkongsian puisi di media sosial, kita seharusnya bersyukur kerana dunia penulisan puisi kembali meriah. Kebimbangan terhadap perkembangan sastera negara yang lembap mungkin perlahan-lahan akan lenyap.

Cubaan-cubaan menulis itu perlu disambut baik, malah diberi perhatian yang lebih serius oleh pendukung-pendukung kuat sastera. Mungkin mereka perlu turun dan duduk sama rendah dengan lambakan penulis baharu untuk mengajar mereka menyelam dan berenang. Bukankah tindakan ini bersifat lebih teknikal dan membuahkan hasil yang lebih cepat dan berkesan?

Bukan hanya menjerit dan memberi arahan dari atas kolam. Sebaliknya turun dan ajar kaedah menggerakkan kaki dan tangan dengan betul supaya berenang tidak pincang.

Pertarungan di medan sastera ini bukan hanya pertarungan orang-orang kecil. Kita melihat usaha-usaha yang giat dilakukan oleh sesetengah kumpulan kecil sebagai kesinambungan bagi memastikan dunia puisi tidak sepi atau lebih dahsyat, mati!

Laman-laman buku wajah (Facebook) yang bergiat aktif meniupkan semangat berpuisi seperti Tukang Puisi, Grup Antologi Secawan Kopi, Pemuisi Nasional Malaysia, serta Kembara Seni dan Sastera (AKSARA) wajar diberi pujian dan galakan.

Tidak ketinggalan usaha yang dilakukan oleh SM Zakir dan kumpulannya yang menghidupkan puisi dan lagu di Kebun Puisi yang terletak di Kampung Batu 5, Bangi Lama. Di sini, para pengunjung duduk bersantai, makan sambil menikmati sembang seni dan lagu. Begitu juga usaha Man Kayan mengangkat puisi penulis-penulis kecil melalui lagu yang kini mencecah 522 buah lagu.

Meski kesemua kumpulan-kumpulan kecil ini dan sebahagian yang lain bergiat aktif, mereka masih belum mampu untuk memenuhi kelompangan sedia ada dalam dunia sastera yang memerlukan sumbangan tenaga yang lebih besar. Persoalannya, adakah pendukung sastera sanggup turun berjuang di gelanggang?

Penulis menyeru kepada semua pendukung sastera terutama tokoh-tokoh besar sastera untuk bersama-sama menggembleng tenaga, ilmu, pemikiran, dan kepakaran dalam usaha memartabatkan sastera tanah air kita. Seorang yang bijak tidak cukup untuk membangunkan sebuah negara, tetapi sekumpulan besar orang yang bijak pasti berhasil mengangkat sebuah tamadun.

Mari duduk bersama membentuk penulis yang berkualiti. Selain sastera diterapkan dalam kurikulum pendidikan sekolah, asas penulisan puisi ini perlu dikukuhkan pemahamannya untuk membantu penulis menulis dengan baik. Melabelkan puisi mereka sebagai puisi merapu tanpa turun mengajarkan asas yang betul, seolah-olah meletakkan pedang ke leher dan memaksa mereka terus berundur daripada dunia penulisan.

Namun begitu, dari sisi lain, Mana Sikana dilihat sengaja meledakkan isu ini untuk menjentik kotak fikiran para pemikir yang bijaksana. Tidak mungkin isu besar ini dianggap remeh setelah dipolemikkan, sehingga menjadi perbincangan hangat, baik di media sosial mahupun di lembar majalah.

Langkah awal yang diambil oleh Ibnu Din Assingkiri dan Fahd Razy dengan memimpin penulisan melalui beberapa siri bengkel penulisan puisi, merupakan tindakan yang wajar dicontohi. Mereka mengambil tanggungjawab sosial ini demi membantu penulis memantapkan penguasaan ilmu penulisan dan mengembangkan bakat sedia ada.

Bahkan, ada beberapa penulis mapan yang melakukan hal sama dalam kelompok penulis yang lebih kecil dan terpimpin. Persoalannya, sejauh dan sehebat mana usaha kecil begini mampu pergi?

Berbanding gerak kerja ini dilakukan oleh pendukung sastera yang berpengaruh dan mempunyai jaringan yang lebih luas, tentulah impaknya jauh lebih besar. Turunlah untuk memberi pemahaman, pengalaman dan motivasi agar semangat menulis yang membara ini terus menyalakan obor sastera tanah air.

Penulis pula perlu bersedia dan berlapang dada menerima kritikan agar dapat memperbaiki langkah ke tangga-tangga seterusnya. Jadikan proses kritikan sebagai proses pembelajaran yang efektif dan mampu memandu ke arah penulisan yang berkualiti tinggi.

Jelasnya, semua pihak harus memainkan peranan bagi menangani isu ini. Usaha yang berterusan daripada pelbagai pihak, terutama penulis dan pendukung sastera dipercayai dapat mengurangkan jumlah lambakan puisi lemah, sekali gus meningkatkan kualiti puisi yang dihasilkan.

Yakinlah, dunia sastera akan kembali bangkit perlahan-lahan. Ayuh, tangan kitalah yang menopang obor yang bakal dinyalakan!

Kredit Foto: Ryoji Iwata/Unsplash

_________________________

Sarah Ross tinggal di Melaka. Kumpulan puisi sulungnya, Empat Musim di Bibir Emak (Kata-Pilar, 2023) ialah Finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.