Oleh Jack Malik
4 Ogos 2023, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik memberikan reaksi terhadap polemik lambakan karya di internet dan pengalaman membaca dan menulis yang membezakan perspektif dan kemampuan para penulis.

Apa yang Pak Teh maksudkan ialah kurasi. Tindakan memilih dan menyusun. Tindakan secara langsung, secara sedar dan secara aktifnya melakukan sesuatu perkara. Dan perkara inilah, selain membina perpustakaan peribadi yang tersendiri, juga yang membina seorang penulis yang berkemampuan.

Beberapa minggu yang lalu, ruang sastera tanah air rancak dengan polemik dan gosip sekitar isu sama, yang saban tahun tanpa gagal sudah sering timbul. Pelbagai pihak—daripada penulis muda kepada penggemar buku, ahli akademia dan sasterawan mapan—menaikkan pandangan masing-masing di ruangan digital secara terang-terangan dengan menghasilkan esei dan esei balas; atau secara sorok-sorok di ruangan komen Facebook dan ciapan Twitter atau X.

Dan, saya pula baru sahaja menaiki MRT perbincangan ini. “Biar lambat asal cakap,” ungkap Affendi Salleh di Facebook. Ada beberapa perkara yang saya ingin cakapkan.

Kurasi Buku

Kata-kata yang mata kita imbas akan menjadi darah dan daging. Buah fikir yang ternukil daripada sanubari tidak akan bercambah bunganya dengan sendiri. Suara orang lain dan pandangan orang lain—pengalaman luaran ini merupakan debunga yang membantu pertumbuhan yang merimbunkan dedaun, merantingkan dedahan, membesarkan batang, dan menjalarkan akar seorang penulis. Membaca dan pilihan bacaan. Dua perkara yang penting. Malah, hal kedua barangkali lebih utama.

Saya mengenali Faisal Tehrani pada tahun 2019. Kami masing-masing menghadiri Georgetown Literary Festival (GTLF), namun tidak berselisih sepanjang pesta itu berlangsung. Cuma hari terakhir sebelum berangkat pulang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, kami bertegur sapa. Ketika itu, Pak Teh (mulanya saya membahasakan diri beliau sebagai “Dr.” tetapi beliau lebih selesa dengan panggilan “Pak Teh”) menceritakan betapa pentingnya pembacaan yang kita hadap dan hadam. “Apa yang kita baca hari ini,” Pak Teh pesan, “akan memberi kesan terhadap penulisan kita lima hingga sepuluh tahun akan datang.” Kali terakhir saya menjejak ke Pulau Mutiara itu, dua tahun selepas perjumpaan kami. Kata-kata Pak Teh pula antara perkara penting yang saya bawa pulang empat tahun yang lalu.

Pak Teh sedikit berjaga-jaga dalam berkongsi pandangannya itu. Mungkin beliau risaukan hal itu disalahfahamkan nanti. Mungkin ada yang pernah tidak menerimanya dengan baik. Bukan saya. Saya faham dan menyambut kata-kata Pak Teh tentang pembacaan. Apa yang Pak Teh maksudkan ialah kurasi. Tindakan memilih dan menyusun. Tindakan secara langsung, secara sedar dan secara aktifnya melakukan sesuatu perkara. Dan perkara inilah, selain membina perpustakaan peribadi yang tersendiri, juga yang membina seorang penulis yang berkemampuan.

Saya percaya setiap buku ialah sebuah rangka tindakan (blueprint). Ia pintu gerbang untuk pelbagai dunia. Melalui sebuah buku, kita memecahkan langit tempurung kelapa kita; keluar dari sumur gelap dan melihat bagaimana ufuk sarwa pandang dan bahar perenungan bertemu dalam cahaya dan silau kebiruan. Melalui buku—dengan bidang dan dunia, iaitu mikrokosmiknya yang tersendiri—kita akan menemui suara, gaya dan bentuk yang menanti ditemui. Paling penting, kita ditemukan dengan “seribu kemungkinan/kecil dan besar”, seperti yang Salleh Ben Joned pernah nukilkan.

Internet Membesarkan Kami

Antara kemungkinan yang dibawa ke milenia baharu ialah internet. Saya masih ingat lagi bagaimana mesin dail-up berbunyi; bagaimana lucu mengingati kembali teriak ayah atau abang saya bilamana saya mengangkat gagang telefon lalu memutuskan sambungan internet. Kini, dengan sekeping kad sim sahaja kita semua boleh merangkai dan terangkai.

Generasi saya—Milenial atau Generasi Y—dibesarkan secara dua alam. Kami merupakan peribumi digital (digital natives) berbanding generasi sebelum yang dibesarkan sebelum kemunculan internet, iaitu pendatang digital (digital immigrants). Milenial kebanyakannya mengenal internet ketika remaja dan turut berkongsi beberapa pengalaman dunia nyata bersama abang dan kakak daripada Generasi X, berbanding Generasi Z yang masuk ke dalam dunia ini tanpa mendengar lagi ketuk-ketak mesin dial-up. Mereka inilah peribumi digital sejati. Antara kami dengan Generasi Z, penyanyi pop-alternatif iaitu Lorde paling cocok menggambarkan hal ini dalam lagunya berjudul A World Alone: “maybe the Internet raised us, or maybe people are jerks.

Secara peribadi, ruangan internet bukan dunia betul. Ada beberapa perkara yang internet tidak boleh menandingi sentuhan analog yang tampak. Akan tetapi, ia ruangan yang demokratik. Di samping adab dan tatacara yang tidak jauh bezanya terpantul daripada cerminan konkrit, ruangan-ruangan di internet menunjukkan (kepada kedua-dua pendatang dan peribuminya) bahawa di alam maya ini, tidak ada lagi sebarang penjaga gerbang (gatekeeper) yang menentukan siapa ahli bidang sesuatu dan siapa bukan. Maka, dengan adanya kebebasan untuk berkembang, sebarang percambahan akan semestinya mengakibatkan lambakan karya; namun hal ini bukanlah fenomena yang menggemparkan. Oksigen akan dihirup setiap hari. Karbon dioksida yang terhasil pula dihembuskan. Penulis menulis. Pembaca pula membaca dan menilai. Justeru, apakah yang meributkan rasa?

Soal kualiti, pasti. Ternyata hal ini merupakan satu urusan penting. Cuma, pada pengamatan saya, hal ini masalah biasa yang boleh diselesaikan dengan cara biasa: berdamailah dengan hakikat bahawa bukan semua orang ingin memenangi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan, apatah lagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Ada orang cuma ingin mengikuti apa-apa yang Red Smith nyatakan tentang penulisan—duduk dan keluarkanlah kata-kata. Tulis dan teruskan saja kehidupan. Sebaliknya, ada juga yang ingin apa-apa yang dihasilkan oleh dirinya itu dijulang sebagai sesuatu yang terbaik daripada kalangan yang terbaik. Faham. Ini pun sah dan adil.

Persoalan tentang karya lambakan yang sering dibangkitkan, bagi saya, bukanlah langsung tidak boleh disentuh. Selayaknya hal ini dikritik. Namun begitu, hala tuju dan hasrat perlu jelas dan ikhlas. Sikap memukul rata tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mana-mana pihak. Saya berpendapat bahawa pengkarya muda—sama ada suka-suka atau sungguh-sungguh—ada baiknya untuk perlu tahu susur galurnya; perlu tahu yang falak pembacaannya mampu diperluas; perlu tahu yang penulisan seseorang itu hanyalah sebagus pembacaannya. Waktu inilah enjin carian Google kita perlu diisikan dengan pertanyaan dan rasa ingin tahu yang berkaitan.

Mungkin saya boleh turut bersimpati dengan karya-karya yang terlahir di jagat digital kerana saya sendiri bermula dengan menulis di ruangan peribadi media sosial. Saya tidak ada latar belakang dalam sastera. Bukan alumni Minggu Penulis Remaja. Sebelum tahun 2015, saya tidak pernah terlibat, baik dalam arus perdana ataupun indie, malah dalam apa-apa acara pun tentang sastera. Langsung tidak tahu tentang sebarang teori, gerakan atau nama-nama besar dunia sastera tanah air. Saya hanya berbekalkan hati yang patah dan keinginan untuk memahami segala gelegak, gelodak, gelemat, dan gelora jiwa. Kemudian, saya menemuinya. Sudah lapan tahun berlalu, puisi tetap puisi bagi saya. Puisi tidak menawarkan jawapan tetapi tempat. Dan, saya menemui tempat saya dalam puisi—begitu juga sebaliknya.

Galau Suara (Setiap) Zaman

Barangkali, apa-apa yang masih lagi dibakar oleh matahari khatulistiwa yang garang ialah perasaan. Akan tetapi, lidah beralih. Bahasa menurut tuntutan zaman dan bertukar. Nafas pernah tidak akan kembali setelah dihirup dan dihembus—apa-apa yang menyusul seterusnya ialah udara akan datang.

Apabila melayangkan pandang ke belakang, saya menemukan yang setiap dekad ada kegalauannya yang tersendiri. Bukankah sajak Melayu Malaysia pertama, yang ditulis oleh Pungguk atau Mohd. Yassin Ma’amur, bermula dengan kerentanan ini:

Waktu senja burung terbang
waktu adinda bersedih cita
hancur dan lebur di kalbu abang
sedihkan adik panah dewata.

Inilah pusaka pemuisi kita. Pusaka perasaan yang dibawa oleh tahun ke tahun dan meredahi pelbagai ruang dan memakai pelbagai rupa. Inilah yang kita warisi: percubaan mencari bahasa yang tugasnya untuk memahamkan kita dengan keadaan diri bagi detik dan ketika tertentu. Untuk memaknakan dan mengertikan segala yang berada di sekeliling kita—sama ada luaran mahupun dalaman. Pada masa sama, kita juga tidak boleh samakan “Keluh-kesah” karya Pungguk serupa dengan “Dendang Rindu” oleh Anis Sabirin:

Rindunya sayang rindunya
lagu cinta membawa sayu
hibanya sayang hibanya
hati kasih ditinggal lalu.

Barangkali, apa-apa yang masih lagi dibakar oleh matahari khatulistiwa yang garang ialah perasaan. Akan tetapi, lidah beralih. Bahasa menurut tuntutan zaman dan bertukar. Nafas pernah tidak akan kembali setelah dihirup dan dihembus—apa-apa yang menyusul seterusnya ialah udara akan datang. Dan tidakkah kita ini dikelilingi oleh hawa yang baharu dan dahulu?

Seperkara lagi, bukankah kita juga mencerminkan alam, musim, bintang malam, anak sungai, dan pantai sebagai ketidaktetapan dunia? Jadi mengapa kita lekas menghukum apa yang sedang berlaku di depan mata? Apakah kita hanya melihat tetapi tidak nampak? Saksikanlah perubahan sebagai hadirin yang setia. Kita pula, tuan rumah yang tanpa henti cuba membiasakan diri. Sama ada menentang atau menyambut peralihan.

Belang yang Sepatutnya Ditunjukkan

Kita Bukan Anjing merupakan telefilem yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy, mengisahkan hubungan konflik dua beradik. Saya tidak habis menonton telefilem itu, tetapi satu babak dan dialog yang disampaikan oleh pelakon pembantu membuat saya terkesan: keadaan kedua-dua adik-beradik itu ibarat tali yang bersimpul mati—sama ada putuskan langsung dan maka selesailah, atau cari punca dan perlahan-lahan leraikan. Dialog itu sering terngiang-ngiang sambil memasuki sela-sela kehidupan seharian saya. Maka, saya melihat situasi dunia puisi Malaysia kini sama seperti itu. Kita boleh ambil jalan mudah dan melihat hanya pada permukaan dan secara langsung tidak menemukan punca sebenar mengapa hal ini berlaku. Sebaliknya, berjaga-jaga sebelum mengadili dan secara tidak langsung mulai nampak pangkal isunya dan perlahan-lahan menyedari masalah sebenar merupakan hal yang sudah lama membelenggu dunia penulisan di seluruh dunia.

Kurang membaca.

Jadi apakah ubat bagi penyakit di atas? Sudah tentulah jawabnya membaca, tetapi, membaca apa dan siapa? Sering kali, soalan yang betul lebih bermakna daripada jawapan yang salah. Di Malaysia, tentulah kita ada Kata-Pilar Books yang menawarkan suara muda serta mapan, atau Rabak-Lit yang menawarkan suara alternatif dan penerbit mandiri yang lain untuk menerbitkan buku kecil (chapbook), risalah (pamphlet) dan zine dalam skala mikro.

Walau bagaimanapun, secara peribadi saya merasakan banyak lagi yang kita perlu kejar—dari segi inti bicara (subject matter), gaya, bentuk, dan suara. Membaca karya tempatan semestinya tindakan yang terpuji, tetapi jangan sesekali menempurungkelapakan diri dengan tidak membaca karya luar dari Asia Tenggara. Membaca penerbitan seperti Graywolf Press, New Directions Publishing, Write Bloody Publishing, City Lights Booksellers & Publishers, dan Tin House Books sering membuat saya teruja memikirkan jika pemuisi Malaysia turut mampu menawarkan karya yang sama bertenaga. Naskhah tempatan yang membuat saya sama-sama teruja ialah Holokos oleh Ridhwan Saidi, Tubuh yang Tak Ingin Lagi Bersamaku oleh Cahaya Jais dan Mengingat Matahari oleh Rosli K. Matari.

Selain itu, penerbit universiti sebenarnya turut mampu menawarkan karya-karya hebat dan mencabar pembacaan, menggugat kuasa kedudukan (status quo) yang kita faham sebagai puisi. Contohnya, Universiti of Arkansas Press mengadakan setiap tahun Hadiah Puisi Etel Adnan (Etel Adnan Poetry Prize), iaitu sayembara yang bukan sahaja menampilkan karya pemuisi berketurunan Arab, tetapi juga memperkenalkan bentuk, gaya dan penyampaian yang kritikal—jauh meninggalkan karya konvensional ke belakang. Soal jati diri padat memenuhi setiap naskhah pemenang tahunan. Inti bicara dan gaya para pemuisi menghasilkan karya yang bukan diinginkan, tetapi karya yang diperlukan dalam dunia puisi mutakhir. Semestinya, eksperimentasi dan penerokaan dalam siri ini sesuatu yang semua pemuisi dunia perlu pelajari. Jika tidak mengikuti gaya-bentuk suaranya sekalipun, cukup sekadar membentangkan dengan lebih lanjut garis lengkung angkasa raya pembacaan para pemuisi dan pembaca puisi.

Koda

Penulisan bermutu datang daripada pembacaan bermutu. Menulis ialah hasil sampingan semula jadi daripada apa-apa yang sudah kita masukkan ke dalam diri. Tidak hairanlah, apa yang diterima perlu memberi. Demikian, sebarang pemberian ialah langkah pembukaan, namun segalanya masih bermula dengan menerima.

Dalam buku Ursula K. Le Guin: Conversation on Writing (2018), penulis prolifik Ursula K. Le Guin menyatakan sesuatu tentang peniruan:

Anda perlu belajar dengan membaca bahan bacaan yang bagus dan cuba untuk menulis seperti penulisan tersebut. Jika seorang pemain piano tidak pernah langsung melihat pemain piano yang lain, bagaimana dia hendak tahu apa yang perlu dilakukan? Kita tidak memanfaatkan peniruan dengan sepatutnya, saya fikir.

Berbalik kepada persoalan-persoalan yang sudah saya bentangkan di atas, mutu karya yang lemah, ubatnya ialah diperkenalkan dengan karya yang bermutu. Anak kecil belajar dengan melihat. Seorang guru mendidik dengan menunjuk dahulu apa yang perlu dibuat. Dengan mengenal karya, penulis muda akan mengenal cara. Sebegitu mudah.

Sebarang teori, gagasan mahupun gerakan boleh hadir kemudian. Tapak asas perlu diadakan dan apakah lebih asas daripada membaca, membaca dan membaca?

Seterusnya, sebagai permulaan, masing-masing perlu memainkan peranan dalam menjadi jauhari untuk mempernampakbezakan antara gelas dengan permata di samudera siber. Kita perlu memanfaatkan kehadiran sesama kita dan tidak merumitkan lagi keadaan dengan mencari jawapan yang tidak pun sebenarnya menyelesaikan apa-apa.

Akhir sekali, saya teringat dengan kenyataan Salleh Ben Joned tentang pekerjaan menulis puisi sebenarnya memerlukan tiga perkara sahaja: kemahiran, kejujuran dan kejernihan akal dan kalbu. Bagaimanakah kita hendak menulis dengan jelas, baik dan benar jika kita tidak melihat dan mendengar bagaimana penulis lain yang bagus melakukannya?

Kredit Foto: Cash Macanaya/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.