2 Mei 2024, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nor Muhamad Mat Zain mengajak para pembaca berfikir, adakah menjadi penulis perlukan usaha atau sememangnya bakat semata-mata?

Melalui sastera jugalah tingkah laku manusia boleh berubah ke arah yang lebih baik jika tulisan tersebut bermanfaat, iaitu sarat dengan nilai ilmu dan pengajaran.

Karya sastera memperlihatkan kebijakan manusia menyalurkan pemikiran dan idea melalui tulisan dan kata-kata yang indah, gramatis dan berseni melalui kisah atau pengalaman manusia ke dalam bentuk genre yang beraneka (puisi, cerpen, novel, drama, dan esei kritikan).

Dikatakan bahawa ungkapan yang indah itu muncul apabila si penenun karya (pengarang) menguasai ilmu kebahasaan, bijak memilih istilah, serta faham asas penting gaya bahasa yang menjadi pelengkap dalam disiplin sastera.

Melalui sastera jugalah tingkah laku manusia boleh berubah ke arah yang lebih baik jika tulisan tersebut bermanfaat, iaitu sarat dengan nilai ilmu dan pengajaran. Hal ini secara tidak langsung boleh dianggap sebagai terapi minda dan senaman akal manusia, yang akhirnya menjadikan sastera itu sebagai instrumen merawat jiwa. Dari situlah, karya tersebut dikatakan mampu memikat dan menggoda pembaca untuk ditekuni dan lebih tinggi tahapnya apabila pembaca sudah mampu menaakul persoalan penting serta pemikiran pengarang dalam karya.

Pakar psikiatri Malaysia, Mohamed Hatta Shaharom melalui ucapannya dalam Siri Syarahan Keris Mas pada 10 November 2021 menjelaskan, “Karya sastera berfungsi sebagai penenang jiwa insan yang hidup dalam dunia yang fana dan sarat dengan dugaan.”

Katanya lagi, “Penulisan sastera mempunyai etika yang menjaga kemurniannya sehingga sastera itu dikatakan berguna untuk pembangunan tamadun insan. Tanpa etika, penulisan boleh menjadi tidak terkawal, lantas tidak menjana idea ke arah kemakrufan dan mencegah kemungkaran.”

Pada pandangan penulis, setiap pengarang mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Dalam kalangan Sasterawan Negara (SN) itu sendiri mempunyai perbezaan  pandangan dan pemahaman masing-masing, begitu juga pengarang-pengarang dalam kalangan penerima anugerah SEA Write, tokoh sastera negeri, serta seseorang yang sudah prolifik dalam dunia penulisan dan kepengarangan.

Sebanyak 23 orang penerima SEA Write Award yang masih hidup misalnya ada nilai pemberat yang berbeza terhadap genre yang dipilih, walaupun kebanyakan daripada mereka menguasai penulisan lebih daripada tiga genre. Hatta Azad Khan umpamanya, dalam bidang penulisan drama, S.M. Zakir dalam genre cerpen, Zainal Abidin Suhaili (Abizai) dalam bidang puisi, dan lain-lain.

Soal bakat dan usaha masih menjadi persoalan kepada penulis, yang juga baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan – bukan sahaja tertumpu kepada penulisan karya sastera malah penulisan umum.

Bakat dan usaha perlu seiring. Kalau ada bakat pun, tetapi ‘malas’ beranggapan diri sudah pandai dan serba tahu, sukar untuk ‘menjadi’.

Adakah seorang penulis itu diberi kemampuan untuk menulis dan mengarang kerana bakatnya? Atau kerana usahanya? Ataukah kerana minat yang mendalam.  Satu persoalan subjektif yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi yang berbeza.

Penulis pernah menemu bual SN Dato’ Seri (Dr.) A. Samad Said pada 20 Ogos tahun 2019 di Bangsar, Kuala Lumpur. Kata bapak (panggilan mesra kepada SN A. Samad Said), “Menjadi penulis itu memerlukan kesungguhan dan usaha. Soal bakat, ia datang kemudian setelah benar-benar berusaha, adanya ilmu, yakin, punya idea.

Mana mungkin menjadi penulis tanpa usaha.” Nasihatnya lagi, “Layaknya seorang penulis itu dipanggil penulis apabila berhasilnya menerbitkan karyanya ke dalam bentuk buku. Tanpa buku, kurang layak seseorang itu dipanggil penulis. Mungkin hanya pengkarya saja. Saya sebagai penulis bukanlah kerana bakat, tetapi kerana usaha. Pentingnya banyak membaca, menulis semampu daya, dan fikir perlunya lebih.

Kadangkala, terdetik juga persoalan bahawa seseorang itu menjadi penulis disebabkan wujud dalam kalangan keluarganya sebagai pengarang hebat, seolah-olah merupakan sebuah anugerah yang dapat diwarisi oleh anak cucu dan keturunan keluarga.

Umpamanya, S. Othman Kelantan meninggalkan bakatnya kepada S.M. Zakir yang kini juga seorang penerima SEA Write pada tahun 2011, atau Ahmad Patria Abdullah yang mewarisi bakat SN Abdullah Hussain, dan Siti Raihani Mohamed Saaid yang mewarisi bakat SN Zurinah Hassan dalam menulis puisi.

Bagi penulis, soal keturunan daripada pengarang hebat hanyalah sebagai inspirasi dan motivasi kepada keluarga yang bercita-cita untuk menjadi seorang pengarang. Dan, apa-apa sahaja yang melahirkannya seseorang itu menjadi pengarang dan sasterawan suatu masa nanti adalah kerana usahanya tanpa puas, kalah dan tewas.

Berkaitan dengan keberadaan bakat, yang diperkatakan anugerah semula jadi oleh sesetengah pengarang itu barangkali atau mungkin wujud, dan pandangan “mungkin” itu masih kabur untuk ditentukan oleh sesiapapun. Barangkali ada, atau pada dasarnya tidak akan muncul tanpa segunung usaha. Seolah-olah kita membayangkan tahap usaha kadar sederhana, tetapi kemahirannya di luar jangkauan dalam menukang idea dan ilham menjadi sebuah mahakarya.

“Bakat dan usaha perlu seiring. Kalau ada bakat pun, tetapi ‘malas’ beranggapan diri sudah pandai dan serba tahu, sukar untuk ‘menjadi’.

“Bakat perlu diasah. Memang benar karat itu ‘berbisa’, bisa yang memudaratkan. Perlu selalu rendah diri dalam bersikap dan berkarya kerana dengan kerendahan itu kita boleh berusaha mencapai ‘ketinggian’. Seperkara lagi, selalu percaya kepada proses, bukan kepada keajaiban”, jelas Zaen Kasturi, ketika penulis berborak dengannya pada 3 April 2024.

Oleh itu, mengharapkan semata-mata bakat atau sememangnya telah diperakukan seseorang itu ada bakatnya, namun tanpa usaha dan minat, proses lahirnya penulis hebat tidak akan bermunculan, jika muncul barangkali terhad, sedikit dan tidak dapat bertahan lama.

Namun, jika penulis itu dibangunkan atau dilahirkan melalui hasil usahanya, minat dan tekad, kesungguhan dan kerajinan, proses menulis dan sanggup memperbaiki karya secara berulang kali, maka bakat itu akan muncul secara alami dan tanpa diminta. “Pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang”.

Tidak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan flora. Buku beliau yang baru terbit ialah Kaki Gunung: Travelog ke Puncak Ardi. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.