Oleh Alauddin Sidal
14 Mei 2024, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alauddin Sidal menyelak-nyelak pantun lama warisan Melayu untuk mencari jika ada maksim yang arif tentang pengurusan risiko dalam sains pengurusan.

Perbincangan ini berusaha untuk mengesan sama ada kearifan akal budi manusia Melayu daripada jurus pengurusan juga tertuang dalam pengungkapan pantun-pantun tradisional.

Wacana dalam pantun Melayu berfungsi sebagai penyambung tradisi lisan yang memancarkan inti sari kehidupan dan ekspresi hubungan dengan alam semesta yang menaungi dan mengelilingi kehidupan komunitinya. Pantun Melayu sememangnya mengandungi falsafah, pemikiran dan pandangan alam Melayu yang terhasil daripada pengamatan mereka terhadap alam semesta dan isinya. Dengan itu, pantun mempunyai kedudukan dan peranannya tersendiri dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional.

Menerusi pantun, mesej (atau maksud pantun) disampaikan secara halus, berlapik dan penuh makna, khususnya dalam menyampaikan falsafah, pemikiran, pegangan, dan tuntutan kosmologi Melayu. Pembayang dan maksud dalam pantun sarat merefleksikan kearifan tradisi Melayu. Justeru, tema-tema yang diangkat menerusi pantun mencakupi pelbagai enklaf kehidupan.

Dalam pemerhatian secara umum, tema kebiasaan pantun Melayu banyak tertumpu pada hal ehwal keagamaan, kekeluargaan, budi bahasa, adat resam, kasih sayang, adat istiadat, nasihat, dan pelbagai sisi kehidupan sosial. Justeru, tidak hairanlah jika kajian mengenai pantun juga banyak memberikan fokus pada tema-tema berkaitan. Perbincangan ini berusaha untuk mengesan sama ada kearifan akal budi manusia Melayu daripada jurus pengurusan juga tertuang dalam pengungkapan pantun-pantun tradisional.

Terdapat kemungkinan yang pengurusan masih belum menjadi sebahagian lensa jaluran pandang dunia Melayu dan belum membentuk satu babak daripada keseluruhan episod kehidupan masyarakat agraria zaman dahulu. Jika pun bidang pengurusan telah muncul dalam kehidupan manusia Melayu ketika itu, namun keberadaannya belum ketara, sepertimana dalam bentuk disiplin pengajian dan kehidupan moden seperti sekarang.

Pengurusan risiko menjadi satu daripada dimensi pengurusan moden. Pengurusan risiko digunakan untuk mencegah dan meminimumkan kerugian dan kerosakan. Kate Gibson (2023)[1] menyatakan bahawa pengurusan risiko mengandungi pendekatan, strategi dan langkah efektif bagi mengurangkan implikasi negatif, misalnya mengelakkan individu/kumpulan/organisasi daripada mendapat bahaya, meminimumkan kerugian, menjaga reputasi, dan meningkatkan kecekapan.

Pengurusan risiko turut mengandungi elemen keputusan strategik, menekankan kepentingan perancangan, mengurangkan kebarangkalian, mengelakkan kejutan, menyuntik amalan positif, menghindari impak risiko, dan meningkatkan kesiapsiagaan (berjaga-jaga) menghadapi gejala (Din Ayub, 2023)[2].

Pengurusan risiko dari sudut syariat Islam pula diterjemahkan dalam konteks yang lebih jauh, iaitu merujuk tindakan, amalan dan tingkah laku semasa di dunia yang bakal menentukan baik atau buruk keadaan seseorang semasa di akhirat. Menurut Wan Mohd Al Faizee et al. (2021)[3], aktiviti mengurus risiko ini telah diterima pakai dalam Islam dan kepentingannya telah digariskan menerusi al-Quran: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan dan perbaikilah perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah 1:195).

Konteks ayat tersebut diperjelaskan menerusi kisah Rasulullah SAW yang meminta lelaki Badwi untuk menambat untanya dengan tali sebelum bertawakal kepada Allah. Selain menunjukkan maksud tawakal adalah dengan berusaha terlebih dulu kemudian barulah berserah kepada Allah SWT, nasihat Rasulullah SAW juga menunjukkan risiko perlu diurus sebaik-baiknya. Dalam konteks lelaki Badwi tadi, risikonya ialah kehilangan unta.

Pengurusan risiko juga menjadi kaedah untuk menjangkakan implikasi yang bakal diterima oleh pelaku akibat sesuatu perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan.

Analisis terhadap tema pengurusan risiko dalam pantun Melayu dilakukan berdasarkan koleksi pantun dalam buku Sekalung Budi Seuntai Bahasa (Cetakan Kelima, 2002) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Naskhah ini menampilkan 372 rangkap pantun dengan enam segmen pembahagian yang disusun mengikut fungsi, iaitu sebagai penyeri pada majlis rasmi, sanjungan kemuliaan budi, pengantara adat istiadat, korpus pemberian nasihat, dan rakaman isi hati atau perasaan.

Menerusi pendekatan pengurusan risiko, sesuatu kemungkinan risiko atau perkara yang boleh mendatangkan bahaya perlu diramal dari mula lagi. Dengan itu, risiko atau kemungkinan ditimpa akibat buruk dapat dielakkan lebih awal, seperti maksud peribahasa “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Budak-budak bermain tombak,
……………….Tombak diikat dengan rantai;
Kalau takut dilambung ombak
……………….Jangan berumah di tepi pantai.

Pantun di atas membawa maksud jika kita tidak mahu menerima padah sehingga mengundang ancaman keselamatan nyawa dan harta benda, maka melakukan perkara yang berisiko tinggi seperti “berumah di tepi pantai” perlulah dielakkan.

Hari panas mencucuk benang,
……………….Benang menjahit baju kebaya;
Air jernih lubuknya tenang,
……………….Jangan disangka tiada buaya.

Manakala maksud selapis (tersurat) dalam pantun selanjutnya pula menyarankan kemungkinan terdapat bahaya yang tersembunyi sebalik suasana aman dan tenang. Dalam konteks maksud berlapis (tersirat), pantun ini membawa pesan supaya berhati-hati kepada individu yang nampak pendiam kerana dia mungkin seorang yang berperwatakan bengis dan garang.

Pengurusan risiko juga menjadi kaedah untuk menjangkakan implikasi yang bakal diterima oleh pelaku akibat sesuatu perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan. Kesan atau risiko tersebut boleh mendatangkan sama ada keuntungan atau kerugian kepada seseorang.

Batang tengar dibuat rakit,
……………….Rotan di dahan dibelah-belahkan;
Jangan mendengar guruh di langit,
……………….Air di tempayan dicurahkan.

Pantun tersebut memberikan nasihat kewaspadaan: jangan terlalu mengharapkan keuntungan besar sehingga sanggup mengorbankan keuntungan kecil yang sedia dimiliki. Jika terlalu mengejar keuntungan yang belum pasti, kita mungkin terdorong untuk menghabiskan modal yang sedia dimiliki. Oleh itu, pantun di atas membawa makna tersirat agar menjauhi daripada melakukan sesuatu perkara yang berisiko untuk mengelakkan kerugian.

Puas saya bertanam ubi,
……………….Nanas juga dipandang orang;
Puas saya menabur budi,
……………….Emas juga dipandang orang.

Dalam pantun yang berikut pula, dapat ditelaah bahawa kerugian bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan harta benda, sebaliknya kerugian boleh dialami dari segi masa, tenaga, ikhtiar, dan maruah. Misalnya, pantun di atas membawa mesej kekesalan kerana “berasa rugi” lantaran “budi” (usaha, sumbangan) yang diberikan tidak lagi dihargai berikutan masyarakat lebih menyanjung pemilikan kekayaan (material).

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Datuk Dr. Alauddin Sidal dari Sungai Buloh merupakan mantan Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik yang sudah berkhidmat dalam sektor awam selama 37 tahun.

[1]. Kate Gibson, “What is Risk Management & Why is it Important?” dlm. Harvard Business School Online (24 Okotber 2023).

[2] Din Ayub, “Kepentingan Pengurusan Risiko Organisasi” dlm.  Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM (16 Jun 2023).

[3] Wan Mohd Al Faizee Wan Abd Rahaman, Salmy Edawati Yaacob, Mohd. Sabri Haron dan Suhada Ishak. “Pengurusan Risiko Menurut Perspektif Syarak: Satu Kajian Tinjauan di Institusi Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Terpilih” dlm. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities 6:6, hlm. 100-113, 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.