Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pesta Pantun HAWANA 2026 menjadi medan memperkukuh warisan budaya dan bahasa Melayu dalam kalangan pengamal media apabila menghimpunkan wakil pelbagai organisasi media dan agensi kerajaan di Kompleks Kraf Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah yang menegaskan bahawa pantun merupakan lambang akal budi dan identiti bangsa yang perlu terus dipelihara dalam era digital.
Menurut beliau, penganjuran program berkenaan membuktikan wujudnya sinergi kukuh antara tiga kementerian, iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi pelibatan agensi seperti BERNAMA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kraftangan Malaysia.
“Pantun bukan sekadar permainan kata tetapi cermin akal budi bangsa. Dalam dua kerat pembayang dan dua kerat maksud tersimpan falsafah, diplomasi, kasih sayang dan teguran yang berlapik,” katanya dalam ucapan penutupan program itu yang berlangsung petang semalam.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengamal media memainkan tanggungjawab besar sebagai penyampai maklumat yang sahih dan beretika ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi serta lambakan maklumat palsu.
“Wartawan bukan sahaja menyampaikan berita, tetapi menjadi saksi zaman dan penjaga memori bangsa,” katanya.
Dalam ucapan sama, beliau menyentuh sejarah perkembangan institusi media dan bahasa negara termasuk ulang tahun ke-70 penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun ini serta ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia dalam dunia penyiaran.
Katanya, transformasi teknologi daripada analog kepada digital membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, namun aspek bahasa dan budaya tetap perlu menjadi asas utama dalam dunia kewartawanan moden.
Beliau turut mengimbau gaya penyampaian wartawan tersohor seperti mendiang Dato’ Karam Singh Walia yang terkenal dengan penggunaan pantun, bidalan dan peribahasa dalam laporan berita sehingga berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.
Selain itu, beliau turut memuji kebolehan pengacara terkenal Ahmad Fedtri Yahya yang disifatkan mempunyai gaya bahasa bersahaja dan dekat dengan penonton.
Mengangkat tema “Kewartawanan dan Teknologi”, pesta pantun itu dilihat selari dengan perubahan landskap media semasa yang kini berkembang pantas melalui media sosial, platform digital dan penggunaan kecerdasan buatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program berkenaan merupakan acara kedua yang dianjurkan bersempena dengan HAWANA 2026 selepas Forum Media yang berlangsung sebelum ini.
Beliau berkata, Pesta Pantun HAWANA yang diadakan pertama kali pada tahun lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan berjaya mengetengahkan kreativiti, serta kebijaksanaan peserta dalam menyusun pantun.
“Pantun bukan sekadar menyusun kata-kata indah tetapi mencerminkan nilai, adab dan warisan budaya bangsa. Dalam era digital dan teknologi yang berkembang pesat, warisan seperti pantun perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Tambah beliau, tema HAWANA 2026, iaitu “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” menekankan kepentingan pengamal media menyampaikan maklumat secara jujur, tepat dan bertanggungjawab demi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap industri media.
Sebanyak lapan pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu terdiri daripada BERNAMA, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Astro Awani, Berita Harian, TV3, Sinar Harian dan Media Selangor.
Dalam majlis itu, pasukan Berita Harian meraih tempat keempat dengan hadiah RM500 manakala pasukan RTM memperoleh tempat ketiga dan membawa pulang RM1,000.
Anugerah Busana Kumpulan Terbaik dimenangi oleh pasukan JAKIM.
Dua pasukan yang layak ke peringkat akhir ialah BERNAMA dan TV3, manakala pengumuman juara akan dibuat bersempena dengan kemuncak sambutan HAWANA 2026 di Kuching, Sarawak oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.