Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Pantun merupakan puisi tradisional yang berperanan sebagai wadah penyatuan ummah yang diwarisi sejak zaman-berzaman tanpa sempadan ideologi dan politik bernegara.
Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Roziah Md. Yunus berkata, puisi tradisional itu berkembang seiring dengan perkembangan bahasa Melayu sebagai lingua franca di Nusantara seawal abad Masihi lagi.
Beliau berkata, pantun telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan ataupun Warisan Bukan Benda.
“Jadi, pengiktirafan pantun sebagai warisan dunia ini membuktikan puisi telah menjadi wadah komunikasi menyatukan masyarakat dalam rumpun Nusantara yang terdiri dari pelbagai bangsa, etnik dan kaum.
“Demikian dengan puisi-puisi tradisional yang lain seperti syair, gurindam dan seloka juga turut menjadi medium komunikasi merentasi generasi serta latar masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentang kertas kerjanya bertajuk “Ruang Hidup Puisi Nusantara” pada program Hari Sastera Nasional ke-20/2025 yang berlangsung di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menurut Roziah, anjakan masa dan geopolitik membawa perubahan puisi tradisional kepada puisi moden dengan persembahan yang lebih bebas dari segi bentuk, gaya dan pengucapan.
“Kita ingin bebas mengembangkan seni penulisan yang menjadi salah satu medium untuk kita menyatakan perasaan dan pemikiran secara indah dan penuh bermakna.
“Jadi, lahirlah bentuk sajak sebagai puisi moden yang bebas dari segi bentuk penulisan dan pengucapannya,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sejarah perkembangan puisi moden tanah air bermula pada era tahun 1930-an dengan bentuk penulisan atau persembahan yang lebih bebas berbanding puisi tradisional.
“Di Malaysia, beberapa sajak seperti “Oh Sarikoe”, “Menunggu Hati” dan “Di Tengah Segara” yang diterbitkan pada tahun 1933 dikatakan sebagai puisi Melayu moden terawal dengan ciri-ciri yang tidak lagi mengikut bentuk tradisional,” katanya.