Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGong Badak – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul johan keseluruhan dalam Pentas Akhir Gema Pantun Piala Citra Puisi (GEMALA Citra) 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak pagi tadi.
Kumpulan A UIAM (Nayana Manih) yang diwakili oleh Saudari Nurul Izzah Jaminan, Saudari Nur Eisya Fatihah Zainudin, Saudara Muhammad Akmal Azri Omar, dan Saudari Nur Fatihah Mohamad Nor bukan sahaja merangkul hadiah wang tunai RM2,000 sebagai Johan Berpasukan, malah turut membolot dua lagi anugerah berprestij, iaitu Pemantun Terbaik Akhir dan Pemantun Terbaik Keseluruhan, yang kedua-duanya disandang oleh Saudara Muhammad Akmal Azri Omar.
Majlis yang dirasmikan oleh wakil Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Roziah Md Yunus, menekankan betapa pentingnya pantun sebagai warisan budaya yang mencerminkan akal budi, nilai intelektual dan ketamadunan bangsa Malaysia.
“Pantun bukan sekadar seni sastera tetapi turut berfungsi sebagai medium komunikasi dan pendidikan.
“Maka, inisiatif seperti GEMALA ini penting bagi menyemarakkan kembali minat terhadap pantun dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau sebelum merasmikan acara penyampaian anugerah.
Puan Roziah turut menyeru agar bentuk sastera lain seperti syair, puisi moden, teater, dan pengucapan awam turut diperluas agar lebih ramai mahasiswa dapat mengasah bakat dan memperkaya kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu.
Pertandingan akhir yang menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan terbaik dari 12 universiti ini diadili oleh barisan lima hakim berpengalaman yang diketuai oleh Guru Kanan Bahasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, YBrs. Encik Azmi Md Said.
Menurut beliau, para peserta tahun ini berjaya mempamerkan kepelbagaian gaya dan kekuatan isi.
“Banyak topik yang diketengahkan sangat menarik, termasuk pantun berunsurkan saintifik, jualan dan belian pantun yang bijaksana, kiasan dan pembayang digunakan secara kreatif serta menyentuh nilai-nilai semasa, namun terdapat juga kupasan tema yang tidak menepati kehendak dan jawapan yang lari daripada isu sebenar,” ujar beliau.
Barisan lima orang hakim yang terdiri daripada tenaga pakar dalam bidang bahasa dan sastera turut menilai dari aspek isi, bahasa dan gaya.
Selain Encik Azmi sebagai ketua hakim dan hakim isi pertama, pertandingan turut dinilai oleh YBrs. Dr. Mohd Taufiq Mat Jalil dari UiTM sebagai hakim bahasa pertama, YBrs. Puan Nur Khairunnisa Odin dari JPN Perak sebagai hakim bahasa kedua dan YBrs. Encik Hanif Haikal Kamaruzzaman dari Institut Pendidikan Guru Malaysia selaku hakim gaya.
Naib johan pertandingan disandang oleh pasukan Universiti Sains Malaysia (Sempana) yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500, manakala tempat ketiga bersama dikongsi oleh Pasukan A Universiti Teknologi Petronas (Niskala Renjana) dan Pasukan B Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam (Gong Nekara) dengan hadiah RM800 setiap pasukan.
Bagi anugerah khas, Pasukan A Universiti Teknologi Petronas (Niskala Renjana) menerima anugerah Pengenalan Terbaik, manakala Pasukan A UiTM Shah Alam (Candra Kencana) memenangi anugerah Busana Terbaik, masing-masing membawa pulang wang tunai RM500.
Anugerah Pemantun Keempat Terbaik pula diberikan kepada wakil Universiti Malaya. Secara keseluruhan, jumlah hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi pertandingan ini mencecah RM7,500.
Antara pasukan lain yang turut berentap termasuklah Sri Genta Malaya (Universiti Malaya), Nirmanasila (UIAM B), KeRiSZ (UniSZA), Nafitri Galuh (UiTM PA A), Atma Sujana (UTP B), dan Seri Mersing (UiTM SA B).
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kesenian dan Warisan UniSZA, YBrs. Encik Shahzool Hazimin Azizam yang mewakili Naib Canselor universiti. Turut hadir, wakil dari Pusat Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu.
Pertandingan GEMALA Citra 2025 bukan sahaja menjadi pentas yang memperlihatkan keindahan warisan puisi Melayu, malah memperkukuh fungsi pantun sebagai alat penyubur minda, pengasah bakat dan penyampai budaya bangsa dalam kalangan generasi muda universiti masa kini.