Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teka-teki mengenai pasukan media yang berjaya menjulang kejuaraan Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 akhirnya terjawab apabila pasukan pemantun dari Jabatan Pengisian Islam TV3 diumumkan sebagai johan dalam acara penuh gilang-gemilang bersempena dengan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada hari ini.
Turut mengiringi Perdana Menteri dalam majlis yang penuh tradisi dan mencerminkan apresiasi seni warisan bangsa itu ialah Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), YBhg. Dato’ Seri Wong Chun Wai.
Pasukan TV3 yang diketuai oleh figura media terkemuka, Encik Ahmad Fedtri Yahya, tampil segak dalam persalinan busana tradisional yang menonjolkan lambang kearifan budaya dan kepahlawanan bangsa, sewaktu menerima trofi kemenangan serta wang tunai berjumlah RM3,000.00 yang disampaikan oleh Perdana Menteri.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan pemantun dari ASTRO Radio News dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00.
Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 merupakan cetusan idea Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, yang menyasarkan kreativiti dan pengiktirafan terhadap keupayaan pengamal media khususnya wartawan dalam mengangkat martabat bahasa melalui keindahan warisan seni sastera lisan, khususnya pantun yang menjadi nadi budaya Melayu.

Buat julung kalinya, acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama antara DBP dan BERNAMA bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional. Program ini telah berlangsung pada 31 Mei 2025 lalu di Wisma BERNAMA dalam suasana yang penuh dengan adat dan budaya Melayu.
Keindahan acara turut diserikan lagi dengan kehadiran tokoh pantun tersohor negara, YBhg. Dato’ Haji Chuari Selamat, yang turut memegang peranan sebagai jurupantun rasmi dalam pertandingan tersebut, sekali gus memberikan sentuhan autentik terhadap keseluruhan persembahan.
Melalui usaha ini, DBP sekali lagi memperteguh peranan sebagai agensi yang mendukung kemuliaan bahasa dan kesusasteraan Melayu, dengan membuka ruang kepada pengamal media khususnya wartawan untuk menzahirkan kreativiti mereka dalam bentuk yang lebih santun dan bermakna.