Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gurindam, peribahasa dan pantun bakal menjadi santapan mata pengguna yang melalui lebuh raya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) apabila papan tanda elektronik akan menayangkan bait-bait tersebut.
Pesanan dan peringatan ini merupakan kerjasama antara pihak PLUS dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menyampaikan mesej dengan santun kepada masyarakat berlandaskan citra bahasa dan sastera.
Melalui kerjasama ini, DBP akan membekalkan pelbagai sumber bahan bahasa dan sastera yang bersesuaian dengan fungsi dan situasi di lebuh raya untuk dipaparkan di 16 paparan Papan Tanda Elektronik Berwarna (VMS).
Setiap paparan mempunyai tema tertentu, iaitu keselamatan jalan raya (umum dan motivasi), jiwa merdeka dan perlambangan kesepaduan.
Langkah ini merupakan serampang dua mata yang dirancang oleh DBP dan PLUS untuk mendidik pengguna lebuh raya agar mematuhi peraturan di lebuh raya dan turut mengangkat fungsi bahasa dan sastera sebagai wadah komunikasi yang berkesan serta bermakna dalam kalangan masyarakat.
Projek ini bermula dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini untuk mendidik jiwa pengguna yang menggunakan lebuh raya PLUS tentang sikap murni.
Bermula pada hari ini, para pengguna boleh melihat paparan pesanan tersebut di lokasi yang terpilih seperti Bangi dan Simpang Pulai.
Kredit Foto: Hafizi Ahmad