Oleh Alauddin Sidal
19 Jun 2024, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alauddin Sidal menyelak-nyelak pantun lama warisan Melayu untuk mencari jika ada maksim yang arif tentang pengurusan risiko dalam sains pengurusan.

Aspek pengurusan risiko dalam pantun Melayu turut bermatlamat untuk menyampaikan mesej supaya meningkatkan kesiapsiagaan sebelum menghadapi senario yang tidak diingini.

Menerusi amalan pengurusan risiko, organisasi dan individu dapat berusaha untuk membendung kesan buruk yang mungkin diterima dan dengan itu dapat memelihara imej daripada terjejas. Pantun di bawah menganjurkan supaya berpada-pada membuat kebaikan, jangan sampai orang lain mengambil kesempatan dan mengeksploitasi kebaikan kita. Akibatnya mungkin diri sendiri yang akan menanggung kesusahan kelak.

Baik-baik mengail tenggiri,
_____Takut terkena ikan parang;
Baik-baik merendah diri,
_____Jangan menjadi hamba orang.

Begitu juga, pantun berikut ini yang berkait rapat dengan keperluan memelihara imej dan reputasi, iaitu salah satu daripada faedah pengurusan risiko. Seperti yang diungkapkan, jika kita membuka aib keluarga, akibatnya diri sendiri juga yang akan mendapat malu.

Burung merbuk terbang melayang,
_____Hinggap bertenggek di dahan mati;
Kalau menepuk air di dulang,
_____Nanti mercik ke muka sendiri.

Aspek pengurusan risiko dalam pantun Melayu turut bermatlamat untuk menyampaikan mesej supaya meningkatkan kesiapsiagaan sebelum menghadapi senario yang tidak diingini. Sebagai contoh, kedua-dua pantun di atas membawa situasi dan kedudukan yang kurang menyenangkan dan boleh menyebabkan kerugian atau nasib malang menimpa.

Kusangka nanas atas permatang,
_____Rupanya durian tajam berduri;
Kusangka panas hingga ke petang,
_____Rupanya hujan di tengah hari.

Pantun di atas membawa maksud seseorang yang menyangka akan hidup senang berterusan sehingga hujung usia, tetapi malangnya jatuh melarat pada pertengahan jalan.

Tiada sarap bersihlah kebun,
_____Tebang nanas di tepi paya;
Jangan diharap setitik embun,
_____Apabila panas keringlah ia.

Manakala pantun selanjutnya juga membawa mesej yang sama, iaitu bersedia untuk menghadapi kehilangan sesuatu yang berharga kerana apa-apa yang dimiliki itu besar kemungkinannya tidak akan berkekalan.

Amalan pengurusan risiko meningkatkan kemungkinan organisasi dan individu untuk membuat perancangan dan persiapan rapi demi mengelakkan sesuatu projek atau perkara yang diusahakan itu mengalami kegagalan. Pantun berikut menganjurkan kita supaya menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin supaya risiko kebarangkalian menghadapi kegagalan itu dapat diminimumkan.

Kalau belayar ke Pulau Bekal,
_____Bawa seraut dua tiga;
Kalau kail panjang sejengkal,
_____Jangan laut hendak diduga.

Selanjutnya, pantun di bawah ini membawa nasihat agar setiap orang menimbangkan kemungkinan risiko yang timbul sebelum melakukan sesuatu perkara. Dengan itu, kebarangkalian mengalami kecelakaan atau tewas dalam pertarungan dapat dikurangkan.

Kayu besar kayu penaga,
_____Kayu kecil dahannya runduk;
Kalau besar jangan melanda,
_____Kalau kecil jangan menunduk.

Sikap berfikir secara teliti, cermat dan menimbang sesuatu tindakan semasak-masaknya sebelum melaksanakan sesuatu perkara juga dapat mengurangkan risiko kebarangkalian. Berdasarkan pantun berikut, mesej yang ingin disampaikan ialah kita perlu bijak untuk menilai dan membuat keputusan supaya memperoleh keuntungan yang diharapkan. Akan timbul penyesalan yang sia-sia sekiranya matlamat tidak tercapai, sebaliknya kerugian pula yang dialami akibat tindakan kita yang kurang usul periksa dan tidak cerdik.

Siti Wan Kembang perintah Kelantan,
_____Nama termasyhur zaman dahulu;
Baik-baik memilih intan,
_____Takut terkena kaca dan batu.

Bagi memastikan pengurusan risiko dapat membuahkan hasil yang diharapkan, kebolehan membuat keputusan strategik menjadi salah satu kunci utama. Keputusan strategik merupakan pendekatan efektif yang mampu membawa outcome positif yang diharapkan.

Untuk menjadi insan mulia, kriteria ketinggian akhlak dan budi pekerti perlulah menjadi keutamaan, disusuli dengan aspek kepandaian. Menerusi budi pekerti dan kepandaian, seseorang itu akan terus diingati kerana sumbangannya.

Pilih-pilih tempat mandi,
_____Pertama teluk kedua pantai;
Pilih-pilih tempat menjadi,
_____Pertama elok kedua pandai.

Pantun berikut membawa contoh bagaimana menerusi pilihan keputusan secara strategik, individu akhirnya mencapai kejayaan. Untuk menjayakan sesuatu misi, memerlukan ilmu pengetahuan dan strategi yang mantap. Menerusi ilmu dan kebolehan tersebut, seseorang dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan mencapai matlamat yang diharapkan.

Padi segemal kepuk di hulu,
_____Sirih di hilir merakap junjungan;
Kepalang duduk menuntut ilmu,
_____Pasir sebutir jadikan intan.

Keputusan strategik juga sering ditagih dalam proses kehidupan, misalnya dalam memanfaatkan harta benda dan kekayaan. Harta kekayaan biasanya digunakan untuk tujuan kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Namun begitu, agama mengajar kita supaya memanfaatkan harta kekayaan sebaik-baiknya, misalnya dengan membantu orang lain, bersedekah dan membuat infak sebagai amal jariah untuk kesenangan dalam kehidupan di akhirat kelak. Pantun di bawah ini membawa pesanan supaya kita membuat keputusan secara bijaksana dalam bentuk amal soleh supaya ganjarannya dapat diperoleh ketika berada di akhirat kelak.

Biduk laksamana menuju barat,
_____Arus menyongsong dari haluan;
Pakailah dunia untuk akhirat,
_____Harta yang banyak bakal rebutan.

Pantun merupakan antara genre pengucapan Melayu yang menjadi wadah pernyataan kearifan tempatan tradisional. Selaras dengan wacana pantun sebagai penyampai falsafah, pemikiran, pegangan dan tuntutan kehidupan kosmologi Melayu, mesej yang disampaikan sentiasa selari dan melengkapi ajaran Islam dan tuntutan budaya. Meskipun tidak banyak pembicaraan ditemui, terdapat ungkapan pantun Melayu tradisional yang membawa bersamanya inti sari pengurusan risiko. Dalam hal ini, citra pengurusan risiko yang terungkap dalam pantun Melayu membawa bersama mesej tertentu iaitu mengingatkan semua agar sentiasa berfikir dengan cermat, bertindak dengan teliti dan menguruskan sesuatu kemungkinan dengan baik.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Datuk Dr. Alauddin Sidal dari Sungai Buloh merupakan mantan Pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik yang sudah berkhidmat dalam sektor awam selama 37 tahun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.