Oleh Hafizul Osman
17 Mei 2024, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hafizul Osman, peminat sukan bola sepak, memberikan reaksi tentang isu terkini insiden sabotaj para pemain bola sepak dengan mengaitkannya dengan novel Priiit! tulisan Alias Ismail.

Karya seperti novel Priiit! telah memberikan satu pendedahan baharu kepada khalayak sastera bahawa isu rasuah dan keganasan sentiasa ada di mana-mana termasuk dalam dunia sukan. Dua gejala ini telah merosakkan kemeriahan industri sukan itu sendiri dan akan menggalakkan satu stigma negatif dalam kalangan peminat.

Ketika setiap kelab sedang rancak mempersiapkan pasukan bola sepak masing-masing dalam aksi pramusim Liga Super 2024/2025, dunia sukan Malaysia dikejutkan dengan tiga episod hitam yang telah berlaku terhadap tiga orang pemain bola sepak.

Insiden itu bermula apabila pemain kebangsaan dan Terengganu FC, Akhyar Rashid telah disamun usai menjalani latihan di pusat latihan kelab di Kuala Terengganu. Selang beberapa hari kemudian, seorang lagi pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim telah disimbah dengan asid sulfurik ketika sedang bersantai dengan keluarganya di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor.

Tidak terhenti di situ, satu lagi insiden membabitkan kereta milik bekas pemain kebangsaan dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Safiq Rahim juga mengalami insiden sabatoj. Keretanya telah dirosakkan di pusat laithan kelab tersebut. Ketiga-tiga insiden ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan mewujudkan pelbagai persepsi dalam kalangan peminat sukan tanah air. Hal ini sekali gus menjadikan satu igauan kepada pemain dan tempiasnya kepada atlet sukan yang lain.

Menariknya, episod hitam dunia bola sepak kita pernah ditulis sedekad lalu oleh seorang penulis. Beliau ialah Alias Ismail. Alias Ismail sinonim dengan karya yang mengangkat dunia bola sepak sebagai jalan cerita. Melalui novel Priiit!, Alias membawakan isu rasuah dan keganasan dalam bola sepak tempatan. Novel ini telah memenangi Hadiah Ketiga dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2004 bagi kategori novel remaja.

Melalui Priiit!, Alias Ismail menonjolkan sisi gelap yang perlu dihadapi oleh seorang pengadil yang mengadili perlawanan peringkat daerah. Dalam novel itu, Nizam selaku seorang pengadil perlawanan bola sepak perlu berhadapan dengan sogokan seorang wakil rakyat yang inginkan kekecohan yang terjadi dalam satu perlawanan bola sepak “dibisukan”. Namun begitu, Nizam menolak sogokan itu dan rentetan daripada itu, Nizam telah diserang dengan pelbagai ancaman dan serangan oleh orang yang tidak dikenali, termasuk melibatkan pembantu pengadil yang sama-sama mengadili perlawanan itu.

Kisah yang cuba disampaikan oleh Alias Ismail hampir-hampir menyerupai beberapa insiden yang berlaku terhadap para pemain bola sepak di Malaysia sekarang. Bezanya dalam novelnya, watak utama merupakan seorang pengadil yang sememangnya akan menjadi sasaran utama tidak kira penonton, pegawai kelab malahan pemain bola sepak itu sendiri jika tidak memihak kepada mereka.

Teknologi pada masa kini semakin kehadapan dan perkara ini telah menjadikan sindiket perjudian di Malaysia menjadi lebih agresif dan lebih tersusun.

Sindiket ini akan bertindak mengatur perlawanan berdasarkan wang yang diperoleh daripada kegiatan perjudian sukan. Biasanya, bookie ini akan menghubungi beberapa pemain bola sepak untuk ditawarkan sejumlah wang bagi membolehkan pemain itu mensabotaj pasukannya.

Kegiatan ini telah menyebabkan sistem bola sepak Malaysia dipalit dengan isu rasuah sehingga menyebabkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik menggantung ramai pemain daripada bermain bola sepak untuk beberapa tahun. Malah, ada juga yang telah digantung seumur hidup.

Alias Ismail dilihat ketika menulis novel Priiit! telah membawa isu gejala rasuah yang semakin membarah dalam dunia bola sepak Malaysia pada ketika itu. Alias Ismail juga telah memaparkan sindiket perjudian ini dalam novelnya yang turut didalangi oleh orang-orang yang mempunyai kuasa. Pengadil atau pemain bola sepak yang tidak mengikut kehendak mereka akan diserang dan diancam.

Teknologi pada masa kini semakin kehadapan dan perkara ini telah menjadikan sindiket perjudian di Malaysia menjadi lebih agresif dan lebih tersusun. Sindiket ini bukan sahaja beroperasi di Malaysia, bahkan telah menguasai seluruh dunia termasuk liga bola sepak di Eropah. Semakin luas jaringan sindiket ini, semakin banyak keuntungan yang akan diperolehi mereka, maka semakin tinggi keinginan mereka untuk memenangi pertaruhan mereka. Oleh itu, sindiket ini akan melakukan apa-apa saja agar keinginan mereka berjaya dilunaskan waima menggunakan cara yang keji.

Melalui novel Priiit! pembaca telah didedahkan dengan beberapa perkara, iaitu isu rasuah dan keganasan sentiasa ada di mana-mana termasuk dalam dunia sukan. Dua gejala ini telah merosakkan kemeriahan industri sukan itu sendiri dan akan menggalakkan satu stigma negatif dalam kalangan peminat.

Situasi ini akan menimbulkan kegusaran kepada pemegang taruh, yakni pemilik dan penaja apabila perkara ini semakin serius, impaknya kepada penonton untuk hadir bagi menyaksikan perlawanan sesuatu sukan di stadium akan menurun. Harus diingat bahawa sesetengah sukan seperti bola sepak memerlukan kehadiran penonton di stadium kerana hal ini merupakan satu sumber pendapatan kepada pemain.

Semoga pemain bola sepak yang terlibat segera sembuh agar matlamat asal sukan itu dalam menyatupadukan masyarakat tercapai.

______________________________

Hafizul Osman merupakan penulis kreatif serta non-kreatif dan editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau telah menghasilkan 4 buah novel, 1 kumpulan cerpen dan lebih daripada 20 buah cerpen dan artikel. Kronikel Etanol  dan Misi 2050 antara karya yang ditulis oleh beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.