Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKhairol Anuar Harith Fadzilah menampilkan kehebatan ilmu pelayaran orang Melayu dalam novel Sukma Angin, karya Sasterawan Negara Arena Wati.
Kehebatan kapal Sukma Angin juga terserlah menerusi kemampuan kapal ini untuk belayar dari Makasar ke Surabaya dalam masa 39 jam sahaja, sedangkan kapal-kapal berenjin wap tidak mampu untuk melakukan siri pelayaran selama itu.
Tradisi penjelajahan dan penerokaan bangsa Melayu melambangkan keunggulan bangsa Melayu dalam ilmu pelayaran. Pelayar Melayu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam aspek geografi seperti menyukat keadaan ombak, jenis angin, arus lautan, ukuran laut, selain menganggar kedudukan tanjung, beting dan batu karang. Selain itu, masyarakat Melayu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang pelayaran digelar oleh para sarjana Barat sebagai masyarakat kelautan (Muhammad Yusoff Hashim, 1989:269).
Demikian juga dengan sejarah kehidupan Arena Wati sebagai pelaut ketika Perang Dunia Kedua seiring dengan sejarah kehidupan Nakhoda Supuk dalam novel Sukma Angin yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu maritim dan penjelajahan menerusi kapal Sukma Angin apabila kapal itu belayar meredah laut yang bergelora.
Dalam novel ini, kapal Sukma Angin menghadapi laut yang bergelora dan bakal menempuh arus Perang Dunia Kedua yang semakin hampir. Dua keadaan ini sangat memerlukan kecekalan, ketabahan, kemahiran, dan kearifan tempatan yang tinggi dalam ilmu maritim. Arena menampilkan kearifan Nakhoda Supuk mengendalikan pelayaran Sukma Angin dengan baik, diterjemahkan melalui simbolik abjad tiga S menerusi padanan perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kemahiran (skills), semangat (spirit) dan stamina.
Pelayaran Sukma Angin diterajui oleh pelayar berkemahiran tinggi dalam ilmu maritim dan ilmu batin. Dalam satu peristiwa, kapal Sukma Angin dipukul badai dan melanggar terumbu karang. Nakhoda Sapparak menggunakan ilmu batin dengan cara bertempik di tengah lautan yang mengganas dan membaca sebuah mantera untuk mengawal keselamatan kapal dan semua anak kapal: “Apungkan dirimu, kulit jagung!”, “Katup rekah! Luahkan segala basah! Keringkan bulumu!” dan “Sayap! Mengepak!” (Arena Wati, 1999).
Bacaan mantera Nakhoda Sapparak itu diiringi dengan laungan azan yang berkumandang oleh Pak Leh, menghasilkan satu keadaan yang luar biasa kepada Sukma Angin. Peristiwa luar biasa yang berlaku ketika pelayaran Sukma Angin telah disaksikan oleh semua anak kapal dengan rasa hairan, seperti yang diungkapkan dalam petikan yang berikut:
Sukma Angin bangun perlahan-lahan. Dia mengangkat badan dan tiang makin tegak ke atas, lalu terapung, ringan seperti sehelai kulit jagung kering dalam telaga yang berkocak. Bahtera itu bergerak maju ke hadapan dan terasa oleh semua orang. Sukma Angin seakan ditatang atas air. Dia ditolak oleh gemulang alun, ditiup angin lembut disokong air pasang di selat ke Singapura.
Keadaan luar biasa yang berlaku dalam siri pelayaran kapal Sukma Angin jelas menunjukkan bahawa kehebatan pelayaran Sukma Angin telah berjaya dikendalikan oleh nakhoda dan pembantu nakhoda yang memiliki kearifan dalam selok belok ilmu pelayaran dan ilmu batin.
Selain itu, kearifan Nakhoda Sapparak dalam ilmu batin memperlihatkan keistimewaan yang tidak mungkin dimiliki oleh nakhoda dari Barat yang hanya berlayar berdasarkan akal (Sohaimi Abd Aziz, 2003:250). Oleh itu, kekuatan kapal ini menempuh lautan yang luas tidak dapat dipersoalkan lagi kerana Sukma Angin dikendalikan berdasarkan akal dan rohani.
Kehebatan kapal Sukma Angin juga terserlah menerusi kemampuan kapal ini untuk belayar dari Makasar ke Surabaya dalam masa 39 jam sahaja, sedangkan kapal-kapal berenjin wap tidak mampu untuk melakukan siri pelayaran selama itu. Malah, kejayaan Sukma Angin bukan sahaja dicemburui oleh para pegawai kapal Belanda. Mereka turut dicemburui oleh kapal-kapal perang yang lain. Lebih membanggakan, kearifan Nakhoda Supuk, kearifan Sapparak dan kelemahan undang-undang yang dilaksanakan oleh penjajah Belanda menurut Khairul Anum Mohd Ali dalam “Warga Melayu Warga Maritim” (2015) merupakan satu kelebihan kepada Inlanders di Makasar untuk terus bangkit meruntuhkan keagungan penjajah dalam dunia maritim antarabangsa.
Hakikatnya, kehebatan pelayar Melayu yang diwakili oleh Panglima Awang sebagai manusia pertama yang mengelilingi dunia dan bukanlah Ferdinand de Magellan seperti yang disebutkan dalam lipatan sejarah dunia. Kejayaan ini tidak mustahil terjadi kepada orang Melayu di Nusantara kerana mereka merupakan sebahagian daripada warga maritim sejak dahulu lagi.
Keunggulan Panglima Awang dari Nusantara yang mengelilingi dunia menurut Armin Azhari Saleh dalam “Lancang Kuning Meredah Segara Luas” (2015) sedikit sebanyak telah menepis fakta sejarah yang dikemukakan oleh sejarawan Barat. Sejarawan Barat menyatakan bahawa Ferdinand Magellan merupakan antara pelayar terawal yang berjaya melakukan pelayaran mengelilingi dunia.
Apa-apa pun, legenda Panglima Awang terus hidup. Pelbagai nama telah diberikan oleh para sejarawan terhadap pelayar Melayu pertama yang belayar mengelilingi dunia itu, seperti “Awang Hitam”, “Enrique”, “Henry”, “Henrich”, dan “Ariberto”, manakala nama “Espinosa” telah diberikan oleh Orientalis Barat. Nama “Awang” turut diberikan oleh Harun Aminurrashid pada tahun 1958 dalam novel bertajuk Panglima Awang (1958), seperti nama watak Nakhoda Supuk yang dicipta oleh Arena Wati dalam Sukma Angin. Tegasnya, nama Panglima Awang merujuk watak lelaki yang sama, iaitu pahlawan Melaka yang terlibat dalam peperangan antara Melaka dengan Portugis, selain melakukan pelayaran bersama-sama Ferdinand Magellan.
Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511, menurut catatan Antonio Pigafetta, Panglima Awang telah dijadikan sebagai hamba di dalam kapal Ferdinand Magellan. Ferdinand Magellan membeli Panglima Awang daripada Alfonso de Alburque, panglima Portugis yang memimpin serangan terhadap Melaka dari Goa.
Kearifan Panglima Awang mengendalikan bahtera telah memberikan inspirasi kepada Arena Wati untuk menonjolkan kearifan watak Nakhoda Supuk dalam Sukma Angin. Nakhoda Supuk berserta sekumpulan pelaut berjaya mengendalikan pelayaran Sukma Angin dalam perdagangan maritim ke Australia dan Afrika Selatan. Nakhoda Supuk juga ditampilkan sebagai seorang pedagang maritim yang berjaya, berusaha dengan gigih, berilmu, dan berpandangan jauh. Beliau juga pedagang maritim aktif yang terkenal di Nusantara, menjalankan perniagaan berbentuk hasil pertanian, seperti jagung, beras, kacang tanah, agar-agar, teripang, lolak, kapur, damar, kopra, papan, dan kayu balak dari Kepulauan Borneo, Maluku, Kupang, Flores, Sumbawa, dan Lombok (Sohaimi Abdul Aziz, 2003:245–246). Jelaslah bahawa kearifan dan kehebatan Nakhoda Supuk mengendalikan pelayaran kapal Sukma Angin telah dicemburui dan dicurigai oleh penjajah Belanda, seperti yang diceritakan dalam Sukma Angin.
Kearifan Nakhoda Supuk mengemudi pelayarannya bukanlah sesuatu yang aneh dalam sejarah maritim Nusantara. Oleh itu, pelayaran Nakhoda Supuk bersama-sama bahtera Sukma Angin jelas membuktikan bahawa suku Bugis dalam rumpun Melayu di Nusantara sememangnya memiliki ilmu maritim yang diumpamakan seperti “kalau nakhoda kuranglah faham, alamatnya kapal akan tenggelam” (Armin Azhari Salleh, 2015:1).
RUJUKAN
Abdullah Zakaria Ghazali et al., 2004. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800 – 1963 Edisi Kedua. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Arena Wati, 1999. Sukma Angin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Armin Azhari Salleh. “Lancang Kuning Meredah Segara Luas” dlm Dewan Budaya Jun 2015.
Biografi Sasterawan Negara, 2004. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Bird, Isabella L. 1967. The Golden Chersonese and The Way Thiter. London: Oxford University Press.
Khairul Anum Mohd Ali. “Warga Melayu Warga Maritim” dlm Tunas Cipta April 2015.
Shaffer, Lynda Norene,1996. Maritime Southeast Asia to 1500. Armonk New York: M. E Sharpe.
Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2014. Sejarah Dunia (1500 – 1955) Penggal 1 Edisi Kemas Kini. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, 2001. Tamadun Dunia Edisi Kedua. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Sohaimi Abdul Aziz, 2003. “Sukma Angin: Menongkah Arus Wacana Kolonial” dlm. Teori dan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
Novel Sukma Angin boleh dibeli di sini.
_________________________
Khairol Anuar Harith Fadzilah merupakan seorang guru di MRSM Merbok, Bedong Kedah. Beliau mengajar mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.